Saturday, October 17, 2009

PKPIM anjur Solat Hajat Perdana




18 Oktober 2009 - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Masjid Negara telah menganjurkan Solat Hajat Perdana pada 16 Oktober 2009 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Solat Perdana yang didirikan sejurus selepas solat jumaat tersebut, telah diaminkan oleh hampir 10 ribu para jemaah yang hadir.

Tujuan Solat Hajat Perdana tersebut diadakan adalah untuk mengajak masyarakat mendalami dan menghayati makna sebenar penyerahan diri kepada tuhan khususnya dalam menghadapi bencana alam seperti di Padang, Indonesia baru-baru ini. Maka, dengan penganjuran majlis berkenaan, PKPIM mengajak masyarakat untuk benar-benar mendalami maksud penyerahan diri kepada tuhan.

Sementara itu, majlis Solat Hajat tersebut turut dianjurkan untuk bersama-sama memohon perlindungan Allah dari segala musibah yang melanda dunia hari ini. Hakikat bahawa musibah bencana alam seperti gempa bumi ini adalah satu ketentuan tuhan yang bukan hanya bersandarkan kepada kajian saintifik semata-mata adalah merupakan satu kepercayaan yang tidak dapat kita nafikan.

Dalam pada itu, kutipan derma untuk keluarga mangsa gempa di Padang, Indonesia turut dikendalikan oleh beberapa aktivis PKPIM yang hadir. Kutipan yang mencecah RM2100 tersebut telah dibuat sejurus selepas selesai majlis Solat Hajat berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Masjid Negara atas kesudiaan untuk berkerjasama dalam menjayakan majlis Solat Hajat Perdana tersebut. Sekalung penghargaan juga ditujukan khusus buat Imam yang mengendalikan solat hajat berkenaan, Ustaz Amru Alhaz b. Adnan dan seluruh jemaah yang menjayakan majlis berkenaan.

وَاسۡتَعِينُوا۟ بِالصَّبۡرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَي الۡخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software