Thursday, March 18, 2010

SERBUAN TERHADAP PREMIS GAJET SEKS: PKPIM MENYOKONG TINDAKAN PIHAK BERKUASA


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan tahniah dan syabas pada pihak berkuasa kerana bertindak menyerbu premis-premis yang membekalkan gajet-gajet seks secara haram di beberapa kompleks membeli-belah yang terkemuka di ibu negara.

Namun, PKPIM berharap agar tindakan susulan yang lebih tegas dipergiatkan lagi agar ia tidak terhenti di sini sahaja. Dalam pada itu, peranan untuk mencegah penjualan bahan seperti ini juga tidak seharusnya dilaksanakan oleh penguatkuasa tempatan serta wartawan akhbar semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan Malaysia bebas dari penjualan gajet-gajet seks secara berleluasa terutama kepada generasi muda.

Sementara itu, PKPIM juga menggesa agar pindaan serta-merta Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan 1986 yang sebelum ini mengecualikan alat cenderamata seks daripada dikenakan lesen kepada pindaan yang memberikan kuasa yang lebih luas kepada pihak berkuasa tempatan seperti DBKL. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang menerusi Seksyen 292 Kanun Keseksaan juga harus ditingkatkan dengan menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab yang terlibat dalam penjualan serta penyebaran gajet-gajet seks ini di pasaran.

Dalam masa yang sama, PKPIM juga menggesa kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengesan laman sesawang yang menjalankan transaksi pembelian gajet seks secara maya serta mengarahkan penutupan transaksi berkenaan dengan segera agar budaya gejala seks bebas dapat dikurangkan.

Malah, peranan Kastam Diraja Malaysia (KDM) juga perlu diperkemaskan dari sudut kawalan di semua pintu masuk. Dengan memperketatkan kawalan masuk gajet-gajet seks ini yang kebanyakannya dari negara China dan Hong Kong, sedikit sebanyak ia akan mengurangkan lambakan gajet-gajet yang tidak senonoh ini di dalam masyarakat Malaysia khususnya generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga berpendapat dengan peranan NGO sebagai pemberi maklumat dan pemantau kepada aktiviti-aktiviti sosial yang terlampau ini juga harus di ambil perhatian serius oleh pihak berkuasa dalam menjadikan mereka sebagai rakan pemantau agar gejala ini dapat dibendung dengan cepat dan pantas.

Dalam masa yang sama, bagi golongan pendidik di sekolah pula, antara peranan yang boleh dimainkan adalah dengan menjalankan pemeriksaaan serta mengesan pelajar yang terlibat dengan penggunaan gajet-gajet ini agar dirujuk kepada kaunselor untuk diberi khidmat bimbingan dan nasihat. Tidak lupa juga, peranan yang paling penting perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dengan memeriksa beg sekolah anak mereka serta mengambil peduli rutin harian anak mereka walaupun sentiasa dihambat kesibukan. Perhatian serta bimbingan ibu bapa sangat berkesan bagi memastikan generasi muda tidak mudah untuk terlibat dengan budaya negatif tersebut.

Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing , PKPIM percaya bahawa gejala budaya seks bebas akan dapat dibendung dan kes-kes pembuangan bayi juga akan dapat dikurangkan.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software