Sunday, August 15, 2010

PKPIM Lancar Tabung Mangsa Banjir Pakistan


Majlis Pelancaran di Putra World Trade Center (PWTC) baru-baru ini

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

17 Ogos 2010/ 7 Ramadhan 1431 H

PKPIM LANCAR TABUNG MANGSA BANJIR PAKISTAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada rayuan yang dibuat oleh Duta Besar Pakistan di Malaysia Masood Khalid kepada semua warga tempatan untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir besar di negara berkenaan yang telah mengorbankan hampir 2,000 nyawa serta mengakibatkan 14 juta penduduk hilang tempat tinggal termasuk 1.4 juta kanak-kanak.

Maka, susulan dari malapetaka yang terburuk pernah menimpa negara berkenaan dalam tempoh masa 80 tahun, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan Tabung Mangsa Banjir Pakistan bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa bencana.

Tabung Mangsa Banjir Pakistan ini bertujuan mengumpulkan dana yang secukupnya bagi menyediakan keperluan asas khususnya kepada mangsa di kawasan sekitar luar bandar seperti Sukkur dan lembah Swat yang masih terpinggir dari mendapat bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Justeru itu, PKPIM dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Mission (GPM) akan turut menghantar beberapa sukarelawan bagi menjayakan misi bantuan fasa pertama dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, tabung yang dilancarkan ini juga akan digerakkan di semua Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Justeru, PKPIM berharap agar kempen kutipan bantuan kewangan ini akan mendapat sokongan penuh daripada semua mahasiswa dan pelajar di semua peringkat.

Sementara itu, PKPIM selaku pengerusi sekretariat Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan gerak kerja bersama dalam mengumpulkan dana di peringkat mahasiswa dan mahasiswi di universiti-universiti di Asia Tenggara.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM mengalu-alukan sokongan dan sumbangan dari semua pihak seperti badan swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan, serta orang ramai untuk tampil menghulurkan bantuan menerusi tabung ini.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang terus atas nama “Tabung Mangsa Banjir Pakistan” melalui akaun Bank Islam 1402301-002922-4 atau Maybank 564221611602.

“Hidup Biar Berjasa”

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software