Monday, December 22, 2008

PPSMI, ugutan ke atas Hishammuddin mesti berterusan

HARAKAHDAILY

Ali Bukhari Amir
Sun | Dec 21, 08 | 11:37:41 pm MYT

Prof Dr Abu Bakar Abdul Hamid terdiam sebentar sejurus mendengar lafaz Dr Abdul Latiff Abu Bakar pada 19 Disember lalu di dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban dan Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu.
Iklan

Dr Abdul Latiff, mungkin oleh kerana terlalu lama memendam rasa, beliau mengeluarkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Suasana menjadi tenang untuk seketika. Maka, cabaran Pena yang meminta supaya Gapena menjelaskan pendiriannya berhubung PPSMI ini telah pun selesai untuk pusingan pertama. Hadirin semakin jelas dan faham.

Hanya tinggal beberapa persoalan lagi yang masih berlegar di fikiran para peserta forum itu. Walaupun jumlah hadirin sekitar 40 orang, namun jumlah yang kecil ini bukan suatu hal yang boleh dipermain-mainkan.

Setidak-tidaknya sudah ada saling cabar-mencabar antara Gapena dan Kumpulan Prihatin yang disifatkan sebagai pertubuhan yang longgar kerana tak didaftarkan secara sah. Tapi, inti semangat perjuangan Kumpulan Prihatin tak boleh dipandang rendah kerana landasan wadah ini menempatkan golongan cendekiawan universiti.

"Untuk pengetahuan semua," dalam nada suaranya yang rendah Dr Abu Bakar menyebut, "ada sebuah persatuan muda yang masih bergiat cergas dalam urusan membantah PPSMI ini. Nama persatuan itu ialah PKPIM."

"Tempoh hari, mereka ada buat program di Kuantan. Malangnya, saya seorang saja yang hadir dari Kuala Lumpur.

"Mereka juga ada membuat bantahan di internet tentang PPSMI ini. Jadi, saudara semua boleh war-warkan kepada semua orang agar sejuta tandatangan boleh dihimpunkan," kata beliau lagi.

"Boleh ulang sekali lagi laman web tu?" Dato' Dr Firdaus Abdullah mencelah dari bawah pentas forum. Dia kelihatan sedang mencatatkan sesuatu.

"http://www.pkpim.net," ujar Dr Abu Bakar dengan ringkas.

"Saya tak tahu pun tentang perjumpaan di Kuantan itu," Dr Abdul Latiff menoleh ke arah Prof Abu Bakar Abdul Hamid. "Kalau saya tahu, saya pun akan pergi.."

Bantahan di Putrajaya

16 Disember lalu persidangan meja bulat mengenai PPSMI dilakukan antara Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Dr Wee Ka Siong bersama pertubuhan pelajar itu.

Seperti biasa, Dr Wee Ka Siong berkata bahawa hasil persidangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ayat-ayat klise yang diberikan ini tentunya memenatkan. Tapi, hanya itulah yang mampu dilakukan buat sementara ini. Tetapi, ada sedikit ketegasan oleh Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz.

"Kami dengan tegas, terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang," kata beliau selepas menyerahkan 'Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI' kepada Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.

Bantahan itu, menurutnya, telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 tandatangan dalam tempoh 14 hari dalam kalangan mahasiswa seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.

Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu, katanya, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunakan segala saluran yang ada sebagai langkah bagi memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati semua pihak.

Ugutan pertubuhan pelajar

"Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak melangkah lebih jauh sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu," kata beliau.

Cara Dr Abdul Latiff agak kemas dan bernada serius apabila beliau menyebutkan tarikh 15 Mac sebagai tanda amaran kepada Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein.

Hanya, anjakan tarikh itu sepatutnya diawalkan dan janganlah terlalu dekat kepada tarikh Perhimpunan Agung Umno. Bukankah ugutan ini berasal daripada ahli akademik? Tidak perlulah diambil perhitungan sangat dengan tarikh yang ada kaitan dengan politik.

Selepas tarikh itu, kata Dr Abdul Latiff, beliau dan rakan-rakannya akan meminta menteri meletak jawatan. Jika ugutan, maka sebaik-baiknya 40 hari atau sebulan saja. Tiga bulan itu, akan menyebabkan menteri pelajaran tidak terasa sangat kesan ugutannya.

Namun, ugutan PKPIM itu tidak disertakan pula dengan tarikh ajal kepada Hishammudin itu. Apa-apa pun.. sekalung tahniah dan penghargaan dilafazkan kerana persatuan pelajar itu telah cuba melakukan segala yang terbaik setakat ini.

"Kesan dasar ini tidak dirasai pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya tanggung oleh generasi masa hadapan. Maka, perjuangan ini adalah tanggungjawab yang wajib digalas seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan Malaysia.

"PKPIM turut memandang tinggi kepada ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Dong Jiao Zong, dan sebagainya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Faisal berkata, PKPIM akan terus memberikan sokongan ke atas usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuang nasib bahasa Melayu.

http://bmppsmi.blogspot.com

11:09 p.m, 21 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Guru-guru di seluruh Malaysia yang mengajar Sains dan Matematik dalam BI digalakkan mengirim saranan dan bantahan ke mel-e ibnuamir@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya dengan subjek PPSMI.

Sunday, December 21, 2008

PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI


Naib Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz(tengah) bersama Exco Pendidikan Abu Qassim Nor Azmi(kanan) ketika menyerahkan Petisyen kepada Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Wee Ka Siong (kiri).


PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI

Rabu, 17 Disember 2008



PKPIM merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Dr Wee Ka Siong selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat PPSMI, yang menyatakan bahawa hasil dari sesi persidangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan bertegas untuk terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang.



Selepas berakhirnya Persidangan Meja Bulat semalam, Naib Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyerahkan “Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI” kepada YB Timbalan Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra (PICC), Putrajaya.


Petisyen tersebut telah berjaya mengumpulkan hampir seribu tandatangan dalam masa 14 hari dari kalangan mahasiswa di seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.


Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu dari pupus ditelan zaman, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunapakai segala saluran yang ada sebagai langkah untuk memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati oleh semua pihak. Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak untuk melangkah lebih jauh lagi sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu.


Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kami sebagai generasi masa hadapan. Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia .


PKPIM turut memandang tinggi ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, PLM, Dong Jiao Zong, dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM akan terus komited dan konsisten memberikan sokongan terhadap usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuangkan nasib bahasa Melayu.

Friday, December 19, 2008

35 warga Thailand kunjungi PKPIM

18 Disember 2008, Khamis

Seramai 35 orang warga Thailand telah mengunjungi Sekretariat PKPIM Pusat pada pukul 2.00 petang tadi bersempena dengan program lawatan selama tiga hari ke Malaysia . Program yang dianjurkan oleh Young Muslim Association of Thailand (YMAT) itu telah menghimpunkan ramai keluarga mangsa ketika insiden pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisik, Pattani empat tahun yang lalu.

Dalam insiden yang berlaku pada 28 April 2004 itu, beratus-ratus penduduk Islam di selatan bertindak menawan masjid tersebut dan pihak berkuasa telah membunuh 107 penduduk yang dipercayai anggota puak pemisah dalam serbuan balas.

Peristiwa itu dianggap pencetus kepada kebangkitan semula pejuang pemisah di wilayah didominasi oleh penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. Penduduk di wilayah itu mendakwa mereka dilayan sebagai warga kelas kedua oleh kerajaan yang dikuasai oleh penduduk beragama Buddha.

Menurut pengarah program Wan Abdul Rahman Wan Hussein, lawatan tersebut bertujuan untuk mempererat hubungan rumpun Melayu Muslim Malayisa-Thailand disamping mengeratkan lagi persefahaman yang terjalin antara PKPIM dan YMAT. Dalam pada itu, program tersebut juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman, gerak kerja, dan cabaran yang dilalui oleh gerakan Islam di Malaysia.



Dalam majlis kunjungan hormat tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah membentangkan satu persembahan multimedia yang bertajuk “Hala Tuju Gerakan Pelajar Islam”. Persembahan tersebut telah menerangkan beberapa sudut yang menjadi tunjang kepada gerakan dakwah di Malaysia yang mencakupi aspek visi dan method aktivism.



Dalam perkembangan berkaitan, wakil Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Najmuddin Nawi turut terlibat dalam sesi penerangan bersama semua tetamu yang hadir. Majlis yang telah dipengerusikan oleh Akmal Afiq itu turut melibatkan dua orang wakil kementerian Thailand yang datang sebagai mewakili pihak kerajaan.

Wednesday, December 17, 2008

Perhimpunan Agung UMNO : Apa yang Agung?



Saya masih teringat hikayat yang diceritakan kepada saya tentang sorakan kuat yang menggegar dewan sempena Perhimpunan Agung UMNO dahulu. Tidak kurang juga sokongan padu seluruh perwakilan kepada semua barisan pimpinan membuktikan keterampilan yang ada pada diri mereka.

Namun, segalanya berlalu... zaman keemasan iaitu era Mahathir-Anwar sudah mustahil untuk diganti. Mahathir terkenal dengan wawasan yang jelas dan pengaruh antarabangsa. Pelbagai gelaran dicanang kepada beliau membuktikan sifat kepahlawanan. Tidak kurang juga Anwar yang berpengaruh di kalangan NGO dan dunia Arab serta mahasiswa. Penglibatan beliau dalam gerakan pelajar (Presiden PKPIM), NGO (Presiden Abim)dan hubungan rapat beliau dengan tokoh barat dan Islam menjanjikan pemimpin perwira akan menggantikan pemimpin berkepahlawanan.

Kini segala-galanya hampa...sebelum perhimpunan lagi Presiden UMNO sudah mengibarkan bendera putih mengaku kalah kepada timbalannya yang lemah dari aspek susur galur aktivisme dan pemikiran.

Untuk tontonan umum saya muatkan Video khas Pidato Anwar ketika Perhimpunan Agung UMNO dahulu...Untuk kenang-kenangan


Perhimpunan Agung Umno ' 97 - Anwar Ibrahim - Click here for the funniest movie of the week

Tuesday, December 2, 2008

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI



PETISYEN ONLINE

Klik Petition Online di atas untuk menyatakan sokongan.

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan yang berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam pada itu, pelaksanaan dasar PPSMI yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah
menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan
oleh Menteri daripada subseksyen ini”

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin Melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.

Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia:

• Mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.
• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.
• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang
yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.
• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang
diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.

Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Gerakan Anti PPSMI (GAP)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
www.pkpim.net
spp@pkpim.net

Sunday, November 30, 2008

Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI Berjaya Capai Sasaran





AKTA BAHASA KEBANGSAAN

BERITA HARIAN 4 Disember 2008


30 November, Gombak - Forum Khas Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI anjuran Gerakan Anti-PPSMI (GAP) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan di sini pada hari ini berjaya mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Panelis-panelis forum tersebut terdiri daripada En. Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Koordinator Kampus TERAS dan Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM. Forum tersebut diselia oleh Sdr. Muhamad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM sebagai moderator.

Forum yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi tamat pada pukul 12.30 tengahari menyaksikan para panelis menyampaikan dasar-dasar penting sebagai landasan di dalam perjuangan Bahasa Melayu yang diusahakan oleh Gerakan Anti PPSMI ini. En. Kamal Shukri menyelar Persidangan Meja Bulat PPSMI anjuran Kementerian Pelajarn Malaysia (KPM) yang beliau sifatkan sebagai berat sebelah. Beliau juga menyatakan bahawa hasil perbincangan persidangan tersebut tidak boleh disama tarakan dengan hasil kajian yang dilaksanakan oleh cendekiawan-cendekiawan universiti di dalam isu ini sebagai contoh hasil kajian berhubung keberkesanan PPSMI di kalangan pelajar oleh Prof. Emiritus Dr. Isahak Haron daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau menyeru supaya Akta-Akta yang berkaitan dengan Bahasa Melayu tidak hanya tinggal sebagi Akta-Akta kosong yang tidak bererti. Akta-Akta tersebut perlu dikuatkuasakan dan dipatuhi. Beliau merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan lain-lain. Beliau turut memberi persoalan penting untuk difikir oleh pemikir-pemikir polisi di dalam KPM iaitu adakah kita ingin hancurkan Bahasa Melayu dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mengembangkan sains dan teknologi?

Panelis kedua, Sdr. Wan Ahmad Fayhsal pula menyentuh tentang hubungan di antara Bahasa Melayu dan Islam yang disifatkannya sudah berasimilasi sepanjang kehadiran Islam ke Tanah Melayu di dalam lipatan sejarah. Bahasa Melayu sudah melalui proses Islamisasi sehingga menjadikannya sebuah bahasa yang tidak boleh hidup tanpa Islam. Beliau memperkaitkannya dengan keperluan untuk Bahasa Melayu digunapakai sebagai medium transmisi ilmu. Sekiranya PPSMI diteruskan, ia akan menghilangkan sifat keagamaan yang ada di dalam Bahasa Melayu untuk diterapkan di dalam kebangkitan sains dan teknologi pada hari ini. Malah, pada beliau, sekiranya kita menolak kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa untuk transmisi ilmu, seolah kita menidakkan kepentingan bahasa sesuatu bangsa sebagai medium transimisi ilmu seperti yan disebutkan di dalam ayat 4 Surah Ibrahim. perantara untuk penyampaian ilmu yang Perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu pada beliau bukan sangat kerana isu PPSMI ini, tetapi ia sebenarnya isu yang lebih serius dan lebih dalam daripada apa yang dilihat secara luaran. Beliau turut menyifatkan segelintir kita sebagai terperangkap di dalam watak tertawan dengan menjadikan bahasa asing sebagai bahasa ilmu di dalam negara kita.Tampaknya, bangsa Melayu lebih kelihatan terperangkap dengan minda yang terjajah dan watak yang tertawan selepas daripada Malaysia mencapai kemerdekaan berbanding daripada sebelumnya.

Mohd. Hilmi Ramli menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan seperti yang terkandung di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dipegang sekian lama. Bahasa Melayu merupakan agen pemersatu untuk bangsa-bangsa yang hidup sebuumbung di Malaysia. Perjuangan untuk menamatkan PPSMI ini sudah pun dimulaakn sejak ia mula dilaksanakan pada 2003. Sudah pelbagai usaha melalui memorandum, resolusi, petisyen dan bermacam lagi yang dicapai di dalam kongres, seminar, konvensyen dan kolokium Bahasa Melayu yang dianjurkan. Sekiranya pihak pemerintah masih tidak memahami bahas diplomasi yang digunakan untuk menunjukkan protes rakyat terhadap pelaksanaan PPSMI ini, sudah tiba masanya untuk gerakan perjuangan Bahasa Melayu ini menggunakan bahasa advokasi. Beliau juga turut menyeru generasi muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk turut sama bangkit dan berdiri di barisan hadapan di dalam mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang benar-benar dihayati dan bukannya setakat omong-omong kosong atau sekadar tulisan di atas kertas. Di dalam hal ini, beliau dengan lantang menyatakan bahawa PKPIM akan membuat laporan polis terhadap KPM kerana didakwa mencabul Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan beberapa Akta lain yang berkiatan dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menasihati para perwakilan UMNO di dalam Persidangan Agung UMNO Mac hadapan untuk menolak pemimpin-pemimpin yang menjahanamkan Bahasa Melayu.

Forum pada hari ini turut menerima lontaran pandangan yang bernas daripada Prof. Emiritus. Dr. Abdullah Ahsan, seoarang cendekiawan dan pejuang bahasa. Beliau mengajak para hadirin untuk melihat isu ini daripada skop yang lebih luas. Bukan setakat isu PPSMI, Bahas Melayu harus diselamatkan di pelbagai lapangan. Isu PPSMI merupakan salah satu daripada cabang penting di dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, dan ia harus diteruskan. Namun, adalah perlu untuk kita melihat kempen selamatkan Bahasa Melayu ini dari aspek lain juga. Sebagai contoh kepentingan Bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa yang punya beban rohani yang cukup tinggi di dalam kehidupan kita seharian.

Forum tersebut diadakan bertujuan untuk meratakan kefahaman akan peri penting perjuangan memartabat dan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Jumlah peserta forum tersebut turut mencapai sasaran apabila berjaya menarik minat lebih daripada 50 orang mahasiswa yang mewakili organisasi masing-masing, guru-guru, cendekiawan universiti dan pejuang bahasa. Forum yang diajurkan pada hari ini hanya merupakan permulaan kepada satu protes panjang terhadap PPSMI dan usaha-usaha menyahtaraf Bahas Melayu di Malaysia. PKPIM dan gerakan mahasiswa lain melalui GAP akan terus memobilasi isu ini sehingga KPM mengembalikan hak Bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan Malaysia demi kebajikan dan masa depan keseluruhan generasi muda, para pelajar Malaysia.



Sekretariat PKPIM Pusat

Friday, November 21, 2008

Palestin: PKPIM Serah Memorandum Kepada PM


HarakahDaily.net



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas rasa prihatin dan sifat kemanusiaan, hari ini menyerahkan ‘Memorandum Penempatan Semula Pelarian Palestin yang Berada di Kem Pelarian Sempadan Syria-Iraq di Malaysia’ kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada pukul 10.30 pagi(21 November 2008). Memorandum tersebut bertujuan untuk menggesa kerajaan Malaysia menerima program penempatan semula pelarian Palestin yang kini berada di kem pelarian sempadan Syria-Iraq di Malaysia.

Penyerahan memorandum tersebut dilaksanakan oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM yang turut disertai oleh wakil daripada Citizen International dan Muslim Care Malaysia.

PKPIM diwakili oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz di dalam misi lawatan yang diselia dan diselenggara oleh United Nations High Commissioners for Refugees (UNHCR) pada 9 hingga 13 November 2008 lalu ke tiga buah kem Pelarian Palestin iaitu Al-Waleed (dalam Iraq berdekatan dengan sempadan Syria), Al- Tanf (di antara Syria dan Iraq di “no mans land”) dan El-Hol (di dalam Syria berdekatan sempadan Iraq). Matlamat akhir lawatan tersebut adalah untuk mencari jalan penyelesaian penempatan semula pelarian Palestin ke negara-negara lain agar penderitaan hidup yang mereka alami di perkhemahan pelarian yang wujud sejak hampir tiga tahun itu dapat diakhiri untuk menjamin masa depan anak-anak mereka.

Memorandum tersebut diterima oleh Mazwan Abdul Manan, Penolong Setiausaha Sulit Perdana Menteri mewakili Perdana Menteri di lobi tingkat 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Dalam sesi perbincangan bersama beliau, Muhammad Faisal Abdul Aziz bersama Tuan Haji Azmi Abdul Hamid yang mewakili Citizen International memberi penekanan kepada beberapa gesaan seperti yang terkandung di dalam memorandum yang diserahkan.

Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, PKPIM menggesa Malaysia untuk menjadi negara OIC yang pertama menerima penempatan semula pelarian Palestin di Malaysia sepertimana yang telah pun dilaksanakan oleh beberapa negara barat yang lebih dahulu memberi penempatan semula kepada pelarian Palestin di negara mereka. PKPIM turut menuntut Malaysia, sebagai negara yang sering dijadikan contoh di dalam OIC untuk menyeru dan menggesa negara-negara OIC yang lain untuk turut menerima program penempatan semula pelarian Palestin di negara masing-masing.

Penyerahan memorandum tersebut turut disaksikan oleh perwakilan daripada beberapa pertubuhan yang turut hadir memberikan sokongan iaitu Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad, Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Ahmad Shahir Abdul Aziz, Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak.

 
Photography Templates | Slideshow Software