Saturday, January 1, 2011

Perutusan Tahun Baru 2011 Presiden PKPIM



Perutusan Tahun Baru 2011 Presiden PKPIM


Syukur kepada Allah SWT atas kurnia dan rahmat yang diberikan lantas kita dapat terus bersama-sama berperanan sebagai penggalas gerakan dakwah nasional PKPIM yang Insya Allah akan dijanjikan Halawah atau kemanisan sekiranya keikhlasan mengiringi titi perjuangan mulia ini.


Berlalunya 2010 meninggalkan pelbagai suka duka dalam arena kehidupan kita apatah lagi dunia politik tempatan dan pentas agama tanah air yang diwarnai dengan aneka macam peristiwa dan kemelut ekoran daripada pelbagai spekulasi, provokasi dan propaganda yang merancakkan krisis masyarakat.


Tahun yang baru, secara simboliknya, menandakan satu permulaan kepada perubahan ke arah yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kemelut lalu dan kemungkaran mendatang.


Kita menyambut kedatangan tahun 2011 dengan penuh harapan, agar keadaan menjadi lebih baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara termasuk gerakan PKPIM yang sudah cecah usia 50 tahun penubuhannya.


Justeru, sewajarnya apa yang berlaku sepanjang tahun 2010 akan menjadi pedoman bagi meneruskan kesinambungan perjuangan kesekian kalinya lantas memikul amanah agama untuk terus menjadi wadah kepada generasi akan datang.


Namun, semestinya semua ini tidak bermakna sekiranya kita sebagai pemacu perjuangan NGO atau civil society ini hanya berpeluk tubuh dan gagal melakukan sesuatu.


2010 menyaksikan peranan NGO kembali ditagih oleh masyarakat malah diperakui oleh organisasi siyasah apabila landasannya sebagai kumpulan pendesak “the third force” kembali meniti di bibir bapak menteri. Tidak keterlaluan untuk menyatakan terdapat orang politik tertentu yang giat menyusun perencanaan untuk menghambur tawaran kepada the third force ini di saat genting hidup mati parti politik.


Ini yang seringkali diperingat oleh Allahyarham Bapak Mohammad Natsir bahawa dalam menelusuri jihad menerusi pentas gerakan dakwah, tidak dapat tidak harus bertembung dengan cubaan khususnya yang disebut sebagai cubaan bil-khair yang berupa kemewahan membukit dan harta emas berkilau.

Bersama kita bermunajat dan terus bermunajat agar cabaran seperti ini berjaya dipadam dengan iltizam lil islah dan keikhlasan yang senantiasa dituntut untuk diperbaharui.


Sebagai gerakan anak muda yang tidak dapat lari dari label “agen perubahan” perkara asas yang menjadi nadi kepada batang tubuh jemaah yang meliputi tarbiyah dan kederisasi perlu menjalani proses pengukuhan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.


Dalam pada itu, fungsi kita dalam gerakan perubahan massa sebagai penerus kesinambungan perjuangan sebuah generasi yang berkesedaran juga tidak harus dimatikan.


Lantaran itu, kita sebagai gerakan yang mencetus “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” secara serius mendokong usaha baru untuk memugar rencah dan ramuan penyelesaian kepada krisis pendidikan umat menerusi gelanggang kebudayaan.


Semoga kita diberikan kekuatan dan kebijaksanaan oleh Allah untuk melunaskan tanggungjawab serta ikrar yang kita laungkan buat jemaah ini. Lantas melangsaikan bai'atul 'amal yang menuntut komitmen semua untuk mengisi kedewasaan kita sebagai anak muda ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada seluruh generasi mahasiswa, anak muda, dan semua rakyat Malaysia.


Muhammad faisal Abdul Aziz

PKPIM UMUM 2011 SEBAGAI TAHUN KEBANGKITAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN



KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

1 Januari 2011/ 26 Muharram 1432 H

PKPIM UMUM 2011 SEBAGAI TAHUN KEBANGKITAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1971 yang telah melahirkan sebuah dasar yang dikenali sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi garis panduan dalam membentuk dan mengekalkan identiti kebangsaan.

Krisis identiti yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini khususnya dalam kalangan anak muda menuntut agar nilai-nilai tersebut kembali dihayati. Justeru, PKPIM berpandangan bahawa setelah 40 tahun dasar ini digubal, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan merangka beberapa inisiatif untuk memastikan agar dasar ini diangkat, dikuatkuasa, dan dimartabatkan.

Dalam masa yang sama, usaha mencorak budaya masyarakat berlandaskan identiti kebangsaan yang lebih agresif dan komprehensif perlu digerakkan agar hasrat dan impian pembinaan sebuah tamadun bangsa berlandaskan acuan keMalaysiaan dapat direalisasikan.

Lantaran itu, hasil persetujuan bersama dalam Diskusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1 Januari 2011 yang menampilkan tokoh budayawan seperti Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, dan Prof Emeritus Dato’ Nik Hassan Shuhaimi, PKPIM atas rasa tanggungjawab mengishtiharkan tahun 2011 ini sebagai “Tahun Kebangkitan Kebudayaan Kebangsaan” sebagai satu lonjakan kepada usaha yang lebih besar untuk menggerakkan momentum Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini.

Menerusi perisytiharan ini, PKPIM akan terus komited untuk menggerakkan perjuangan kebudayaan kebangsaan melalui dua peringkat. Pertama mewujudkan kesedaran massa menerusi penganjuran siri wacana, dialog, dan perbincangan terbuka antara kaum bagi menarik sokongan masyarakat dan meletakkan perjuangan ini sebagai perjuangan seluruh rakyat Malaysia.

Kedua, menerusi peringkat advokasi dan tekanan politik. PKPIM optimis untuk menjadikan perjuangan kebudayaan ini sebagai satu fenomena baru yang akan melahirkan kesanggupan politik oleh kerajaan untuk merealisasikan penggubalan Akta dan Falsafah Kebudayaan Kebangsaan sebagai langkah memartabat dasar berkenaan.

Resolusi diskusi pada hari ini juga menetapkan bahawa PKPIM bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan budayawan, sasterawan dan cendikiawan serta pemimpin masyarakat akan berganding bahu menubuhkanGerakan Kebudayaan Kebangsaan sebagai wadah untuk menggerakkan misi ini.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Presiden

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Wednesday, December 22, 2010

PKPIM Anjur Diskusi Kebudayaan Kebangsaan


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Diskusi Kebudayaan Kebangsaan pada 1 Januari 2011 iaitu pada hari Sabtu jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Besar, Bangunan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Cemerlang, Kuala Lumpur.


Tujuan diskusi ini diadakan adalah sebagai langkah pertama dalam memacu agenda PKPIM untuk memartabat Dasar Kebudayaan Kebangsaan. PKPIM sebagai gerakan yang mencetus “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” yang konsisten melihat kemafsadahan umat itu berakar dari menyimpangnya ilmu serta ketirisan umat dalam persoalan Ta’dib, Tarbiyah, dan Ta’lim secara serius mendokong usaha baru untuk memugar rencah dan ramuan penyelesaian menerusi gelanggang kebudayaan.

Menerusi diskusi ini secara asasnya dapat meningkatkan pemahaman khususnya dalam kalangan generasi muda berkenaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang masih belum diangkat sebagai dasar yang utama dalam Negara.

Dalam pada itu, diskusi ini akan menampilkan beberapa tokoh utama dalam masyarakat sebagai panel iaitu Datuk Dr Hassan Ahmad yang merupakan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pensyarah Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Emeritus Abdullah Hassan. Tokoh lain adalah Ketua Fellow Penyelidik Lestari UKM Prof Dato Dr Hood Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM berharap dengan penganjuran diskusi ini akan dapat menjadi wadah pencetus gerakan kebangkitan budaya sebagai mekanisme untuk mengangkat Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini.

Tuesday, December 14, 2010

Kempen Penghayatan Al-Quran



Allah SWT berfirman dalam Surah al-'Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

(Wahai Muhammad) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan seluruh makhluk. Ia telah menciptakan manusia dan segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.


Sempena sambutan Tahun Baru Hijrah 1432, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mengajak seluruh generasi muda dan lapisan masyarakat untuk kembali mengahayati Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan.

Situasi hari ini memperlihatkan umat begitu memerlukan satu langkah penyelesaian terhadap permasalahan sosial, moral dan akhlak. Oleh itu, penghayatan Al-Quran dilihat sebagai satu cara yang sangat komprehensif bagi menguraikan segala bentuk permasalahan yang membelit umat pada hari ini.

Justeru, PKPIM menerusi "Kempen Penghayatan Al-Quran: Sehari Baca Satu Muka, Sebulan Hafaz Satu Muka, Setahun Hafaz Satu Surah" mengajak seluruh masyarakat terutama generasi belia dan remaja agar bersama-sama mengamalkan pembacaan Al-Quran sebagai langkah 'tranformasi' diri, keluarga dan masyarakat.

Selamat menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1432! -MDPI PKPIM-

Saturday, October 23, 2010

Ekuiti 30%: PKPIM Saran Pemuda Hayati Tulisan Abdullah Munsyi



KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
24 Oktober 2010

Ekuiti 30%: PKPIM Saran Pemuda Hayati Tulisan Abdullah Munsyi

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada harapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berharap agar sasaran 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui Dasar Ekonomi Baru akan dapat dicapai dalam tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

PKPIM berpandangan bahawa segala dasar untuk memperkasa ekonomi orang Melayu tidak akan ke mana sekiranya kita masih terus mengamalkan sistem pengagihan kekayaan ala feudal yang hanya menguntungkan beberapa kerat golongan bangsawan Melayu.

Bagi PKPIM masalah kemiskinan orang Melayu bukan datangnya dari faktor luaran akan tetapi berpunca dari ketidakadilan yang dirancang oleh pembesar atau pemimpin Melayu sendiri. Dalam hal ini, PKPIM bersetuju dengan apa yang disebut oleh tokoh ‘Bapa Kesusasteraaan Melayu Moden' Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang menyebut perihal kemiskinan orang Melayu ini berpunca dari sikap masyarakat feudal Melayu sebelum kehadiran penjajah lagi.

Pada zaman berkenaan, Abdullah Munsyi menyebut beberapa kerosakan yang ditonjolkan pemimpin Melayu seperti mutu pentadbiran yang penuh dengan rasuah serta penindasan dan keserakahan kaum bangsawan yang berkuasa sehingga rakyat biasa takut untuk mengumpulkan kekayaan disebabkan takut dirampas oleh samseng-samseng penguasa.

Lantaran itu, orang Melayu kebanyakan semenjak waktu itu lagi sudah tidak berupaya meningkatkan tahap ekonomi masing-masing disebabkan wujudnya dasar diskriminasi yang diwujudkan oleh pembesar atau masyarakat feudal Melayu sendiri. Dasar yang diwujudkan ini antara lain bertujuan memastian kekayan Melayu kebanyakan tidak akan sama sekali mengatasi tahap kekayaan harta yang dimiliki oleh golongan bangsawan.

Namun, selepas kehadiran penjajah, Abdullah Munsyi memuji zaman kepimpinan Raffles di Singapura yang telah memperkenalkan jaminan hak untuk hidup dengan aman dan hak pemilikan. Maka, dari situ baru dapat dilihat harta kekayaan Melayu kebanyakan meningkat. Maka, rentetan dari apa yang disebut beliau adalah satu pengajaran bermakna buat mereka yang sentiasa memperjuangkan isu kemiskinan Melayu. Keikhlasan dan keadilan dalam mengagihkan kekayaan sama rata serta kesediaan menerima senario di mana golongan kebanyakan lebih kaya dan berharta dari kelompok bangsawan merupakan kunci yang harus dipegang mereka.

Dalam pada itu, PKPIM juga berpandangan bahawa dasar memperkasa Melayu seharusnya dilaksanakan dengan demi kepentingan Malaysia dan bukan kepentingan Melayu sahaja. Punca utama bangsa lain berasa kurang selesa dengan slogan memperkasa Melayu adalah disebabkan manfaat yang diperoleh ekoran dari pemerkasaan Melayu tidak turut diperoleh oleh mereka.

Sebaliknya kekayaan dan kemakmuran perniagaan orang cina umpamanya dari sudut manfaat berjaya dikembangkan kepada semua bangsa apabila permintaan barangan sentiasa dapat dipenuhi.

Wednesday, October 13, 2010

PKPIM Bantah Penganjuran Konsert Adam Lambert


KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
13 Oktober 2010/ 1431 H
PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konsert 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dianjurkan oleh Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music bakal diadakan pada hari khamis ini di Stadium Bukit Jalil.

PKPIM berpendirian tegas membantah konsert Adam Lambert yang bakal diadakan berkenaan memandangkan konsert tersebut melibatkan artis yang berlatar belakangkan peribadi moral yang negatif dan bertentangan dengan nilai agama dan norma-norma kehidupan serta kebudayaan negara ini.

Adam Lambert, atau nama sebenarnya Adam Mitchel Lambert yang berketurunan Yahudi dikenali sebagai artis gay atau homoseksual. Selain itu, beliau juga sebelum ini aktif membuat persembahan di Hebrew, Israel pada tahun 2005 sempena beberapa acara dengan menyayikan beberapa lagu popularnya seperti Shir LaShalom dan lagu tema Yahudi iaitu The Ten Commandments-The Musical.

Walaupun Adam Lambert menerusi laman Twitter beliau bersetuju untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi penganjuran konsert beliau ini melambangkan seolah-olah kita menerima dan membenarkan seorang individu yang tidak bermoral ke dalam masyarakat. Tambahan pula, konsert seperti ini jelas melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu antara lain menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan dan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

PKPIM meluahkan kebimbangan yang sangat besar akan kesan penganjuran konsert seperti ini kepada generasi muda kerana melihat kepada trend ikutan budaya Barat semakin menjadi-jadi di Malaysia. Gejala hedonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini. Perlu disedari bahawa, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalan budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya Barat ini.

Justeru itu, PKPIM menggesa supaya penganjuran konsert terbabit dibatalkan. PKPIM juga menyeru agar semua kembali bersama-sama menghayati dan menjadikan kesenian Islam dan kemurnian bangsa itu menjadi teras kepada pemerkasaan budaya kita. Sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menitik beratkan kepada implementasi elemen Islam dan unsur budaya timur dalam segala program kebudayaan dan penyiaran yang diadakan di negara ini.

Masyarakat dan kerajaan umumnya perlu sedar bahawa kita sudah mempunyai acuan kita sendiri untuk berjaya. Usah hanya menjadi pengagum budaya orang lain, sedangkan kita tidak sedar akan kemuliaan budaya kita sendiri. Kekuatan tradisi keagungan Islam dan ketuanan Melayu yang kita warisi berabad lamanya sudah cukup utuh menjadi gagasan kukuh mengangkat kita menjadi umat gemilang atau “khayra ummah” menjelang tahun 2020.

MOHD AKMAL AFIQ BIN MOHAMAD (870216-10-5119)
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Saturday, October 9, 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan: Budayakan 1 Malaysia dengan Bahasa Melayu


Bulan Bahasa Kebangsaan tiba lagi dan pastinya seperti tahun sebelumnya mereka yang komited terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu,Bahasa Kebangsaan akan terus melaung-laungkan seruan agar semua pihak khususnya pemimpin politik benar-benar serius untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Rakyat Malaysia yang serius untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menguasai Bahasa Melayu dengan sebaik mungkin.

Pada era dunia globalisasi yang semakin terbuka ini pastinya kita tidak berfikiran sempit untuk mengabaikan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia bahkan penguasaan mana-mana bahasa sekalipun perlulah digalakkan khususnya buat generasi muda.

Namun begitu,kita pastinya tidak mahu mengabaikan Bahasa Melayu yang mempunyai seni keindahan gaya bahasanya yang sendiri terutamanya apabila kita mendalami keunikan makna tersirat disebalik puisi,pantun,syair,gurindam,sajak,seloka dan sebagainya.

Agak memalukan kita rakyat Malaysia tatkala sebilangan rakyat negara asing seperti Rusia,China,Jepun dan sebagainya yang mampu menguasai Bahasa Melayu dengan tepat manakala masih ramai rakyat Malaysia yang gagal dan tidak berusaha untuk menguasai Bahasa Melayu dengan tepat bahkan lebih gemar mencemarkan keindahan Bahasa Melayu dengan bahasa rojak yang celaru.
Pencemaran Bahasa Melayu yang berleluasa seperti di papan iklan,dialog filem,dan juga dalam perbualan seharian perlulah diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ia juga mencerminkan kecelaruan dalam pemikiran.

Pemimpin utama negara perlu berani dan tidak malu untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam siri ucapan mereka serta jangan ada krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu dalam diri mereka supaya ia dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Dalam keghairahan mahu dilihat bersifat antarabangsa juga pihak pentadbiran awam,swasta,universiti dan sebagainya tidak perlu mengabaikan Bahasa Melayu dalam program-program anjuran mereka. Kuasailah bahasa-bahasa asing sebanyak mungkin ,ungkapkan bahasa-bahasa tersebut dengan betul dan pastikan bahasa ibunda tetap diperjuangkan.

Semoga Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berlangsung ini mampu meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan,Bahasa Melayu demi negara Malaysia yang tercinta.

Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

 
Photography Templates | Slideshow Software