Tuesday, August 25, 2009

Perutusan Kemerdekaan oleh Presiden PKPIM

Merdeka & Sarwa Pandang Anak Muda

Abad ini telah menyaksikan dunia Islam telah mengalami proses untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Akan tetapi perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di setengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murninya yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.

Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin dengan tujuan untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.

Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.

Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.

Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.

Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.

Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.

Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada pemikiran dan jiwa yang bebas serta asal usul budaya. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.

Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.

Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.

Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.

Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.

Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.

Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.


Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.

Dari Robohan Kota Melaka,
Kita Bina Jiwa Merdeka,
Bersatulah Seluruh Baka,
Membela Keadilan Warisan Pusaka...

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Pemansuhan PPSMI: PKPIM GESA KERAJAAN BERTEGAS

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan pada pada 8 Julai lepas terlalu rapuh dan boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.


Dalam pada itu, terdapat juga ura-ura yang menyatakan bahawa tempoh pemansuhan dasar PPSMI berkenaan akan berlanjutan dari 2012 sehingga ke tahun 2016. Bagi PKPIM tindakan untuk melanjutkan tempoh pemansuhan dasar berkenaan menunjukkan suatu petanda bahawa dasar PPSMI ini mungkin tidak akan dimansuhkan dan sebaliknya akan terus dikekalkan dalam sistem pendidikan negara.

Persoalan yang perlu dijawab adalah mengapa tempoh pemansuhan ini memakan masa terlalu lama? Sedangkan tempoh yang digunakan oleh kerajaan untuk memperkenalkan dasar PPSMI ini hanya memakan masa selama lima bulan 11 hari.

Sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Maka, PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan.

Dalam pada itu, PKPIM juga menggesa pihak kerajaan untuk menyediakan “pelan penyelamatan” kepada pelajar-pelajar yang terkorban ekoran dari dasar PPSMI ini khususnya mereka yang tinggal di luar bandar dengan memberikan suatu bentuk alternatif yang terbaik untuk mereka melanjutkan pelajaran.

Menurut statistik kerajaan, dasar PPSMI yang telah dijalankan selama enam tahun telah mengorbankan lebih kurang tiga juta pelajar yang tinggal di luar bandar. Maka, sebagai kerajaan yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memikirkan cara yang terbaik bagi menyelamatkan golongan yang terkorban ini.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengkritik hujah Tun Dr Mahathir dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia ahad lalu yang menyatakan bahawa jika PPSMI berpatah balik hubungan kaum akan renggang memandangkan mereka belajar di sekolah pelbagai aliran. Adakah kita mahukan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa perpaduan kaum sedangkan teras dalam membentuk identiti bangsa Malaysia adalah bahasa Kebangsaan.

MUHAMMAD FAISAL BIN ABDUL AZIZ

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Monday, August 10, 2009

Ramadhan shahrul tarbiyyah

Laksana idea bernas generasi muda

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kerajaan kini melaksanakan pendekatan pengupayaan golongan muda bagi mendapatkan idea bernas mereka untuk memacu pembangunan negara yang lebih cemerlang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tiga ciri pentingnya ialah menghormati permintaan orang muda, menjadikan mereka sebagai rakan kepimpinan dan memberi ruang lebih luas mereka berfikir serta berorientasi mengikut ajaran Islam.

"Orang muda lebih mudah 'duduk semeja', mempunyai pendapat yang bijak dan mampu berbincang lebih rasional walaupun berbeza fahaman politik dan ini sudah terbukti sejak dulu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 di Kompleks MAYC di sini hari ini.

Acara anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) itu bersempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48.

Antara tujuannya ialah memberi makna dan kefahaman jelas mengenai teras-teras kenegaraan dan merintis usaha mengubah Malaysia ke arah lebih baik.

Saifuddin berkata, kerajaan akan mengamalkan dasar terbuka dan memberi peluang kepada golongan muda memberi apa saja pendapat.

Menurutnya, jika pendapat mereka mempunyai kebaikan kepada rakyat dan negara ia akan dibincangkan ke peringkat tertinggi secara terperinci.

"Salah satu usaha kerajaan dalam mengutamakan pendapat golongan muda ini dapat dilihat apabila kerajaan menggubal Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)," katanya.

"Kini golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bebas bersuara dan memberi pendapat mengenai sebarang isu berkaitan negara selagi tidak menyertai demonstrasi haram atau berjuang untuk mana-mana parti," katanya.

Menurut Saifuddin, ketika ini terdapat 50 persatuan mahasiswa berorientasikan Islam di IPT yang membabitkan 15,000 ahli.

Sehubungan itu, katanya, golongan muda boleh menyertai persatuan yang sedia ada untuk menyuarakan sebarang pendapat.

"Walaupun berbeza persatuan, golongan muda yang kaya dengan idea dan cerdik ini perlu mengambil perbezaan di kalangan mereka sebagai rahmat, bukannya titik perpecahan."Apabila kerajaan melaksanakan pendekatan pengupayaan ini, diharap ia merapatkan hubungan dan kerjasama dengan golongan muda," tambahnya.

Wednesday, July 29, 2009

PKPIM ANJUR KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009


dari kini: EN. NASRULLAH, Ketua Umum Pengurus Besar Pelajar Islam Indonesia (PII), EN. MUHAMMAD FAISAL ABD. AZIZ, Naib Presiden PKPIM dan EN. MOHD. SYAMSUL SALLEH, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK.

Sidang Khas Generasi Muda "Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda"


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.


Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.


PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.


Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.


Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.

Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;


1. ”Kerangka Melayu Islam Sebagai Teras Kenegaraan”

Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM

Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM


2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM


3. ”Integriti dan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM


4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM


Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.


PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.


Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.

Thursday, July 9, 2009

Natrah oh natrah...


Semalam Khamis (10 Julai 2009), engkau telah menghembuskan nafas engkau yang terakhir. Dikala itu engkau sudahpun berusia 72 tahun.

Wahai NATRAH, entah mengapa kesedihan menyelubungi jiwaku setiap kali terkenangkan tragedi berdarah lebih 50 tahun lalu, di Singapura. Atas nama cinta, nama-nama seperti Che Aminah, Mansur Adabi, Prof Ahmad Ibrahim, Dr Burhanuddin Al-Helmy telah bermatian melawan usaha penjajah "menculik" engkau....

Mungkin kerana engkau telah lupa? Atau mungkin juga ketika itu engkau masih mentah untuk memahami erti konflik agama...


Kerana teramat cintakan engkau, Che Aminah telah bermatian mencari mereka yang dapat membela engkau dari dikristiankan melalui pelbagai usaha seperti berunding hanya semata-mata untuk mempertahankan engkau.

Prof Ahmad Ibrahim, seorang pejuang dan peguam berjasa yang bertungkus lumus mempertahankan engkau di sisi undang-undang. Walaupun Che Aminah tidak berharta, kerana keikhlasan, beliau sanggup menerima kes engkau.

Manakala Dr Burhanuddin Al-Helmy memimpin gerakan besar-besaran di Singapura sebagai menunjukkan rasa protes orang Islam terhadap perlakuan penjajah belanda. Dengan lantang beliau menyeru "Dari robohan kota Melaka, Kita bina Jiwa Merdeka, Bersatulah Melayu Seluruh Baka, Pertahan Keadilan Warisan Pusaka". Akhirnya beliau telah ditangkap oleh polis penjajah.

Tidak dilupakan, suami tercinta engkau, Mansur Adabi telah menyerahkan segala yang ada padanya demi memastikan engkau sentiasa disisinya...Namun, engkau ditakdirkan untuk pergi juga. Pemergian engkau telah mengalirkan air mata seluruh umat Islam di Singapura dan aku percaya yang hikmah telah menyelubungi segala kesedihan.

Dalam rusuhan angkara atas nama cinta dan konflik agama itu, 18 orang dilaporkan terbunuh dan 200 cedera. Mereka telah bertempur dengan polis dan tentera British sehingga berlakunya perintah berkurung. Segala-galanya hanya kerana mereka teramat sayangkan engkau.

Namun, walaupun engkau wahai Natrah telah menghembuskan nafas terakhir semalam, Natrah dan peristiwanya akan terus terpahat dalam sejarah kita...

Wednesday, July 8, 2009

PKPIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN MANSUHKAN PPSMI

PKPIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN MANSUHKAN PPSMI

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PKPIM menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat.

PKPIM berpandangan bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui Bahasa Kebangsaan.

Keputusan tersebut dianggap sebagai hadiah kepada PKPIM dan seluruh mereka yang telah bertungkus lumus memperjuangkan pemansuhan PPSMI termasuk daripada kalangan pejuang bahasa, tokoh akademik, sasterawan, budayawan, gerakan pelajar dan seluruh rakyat Malaysia.

PKPIM mewakili seluruh pelajar Malaysia terutamanya dari kawasan luar bandar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di atas komitmen yang ditunjukkan untuk menyelesaikan permasalahan yang telah berlarutan selama lebih enam tahun ini.

PKPIM merupakan persatuan yang mewakili pelajar dan mahasiswa Malaysia yang terawal menyatakan bantahan dan menggerakkan usaha pemansuhan PPSMI sejak pelaksanaan dasar tersebut pada tahun 2003. Dalam masa yang sama, PKPIM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dimana penubuhan gerakan tersebut adalah hasil cetusan idea dari perbincangan PKPIM bersama sekumpulan pejuang bahasa di Yayasan Penataran Ilmu. Justeru, PKPIM menuntut jaminan kerajaan untuk berpegang pada keputusan tersebut untuk memansuhkan dasar PPSMI ini menjelang tahun 2012.

PKPIM mengulangi komitmen untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada pembangunan pendidikan Malaysia khususnya dalam membantu kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris di kalangan pelajar keseluruhannya.

 
Photography Templates | Slideshow Software