Saturday, December 26, 2009

Kebijaksanaan Bendahara Tun Perak

Friday, December 25, 2009

Friday, December 11, 2009

Konsep Ta'dib: Satu Penjelasan Ringkas

Dalam memberi takrif pendidikan secara sistimatik dan komprehensif, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan dan menjelaskan bahawa tujuan pendidikan menurut Islam adalah untuk melahirkan seorang individu manusia yang baik. Justeru, bagi beliau apa yang perlu kita tekankan dalam pendidikan adalah nilai manusia sebagai manusia sejati.

Maka, beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap individu bukan hanya penting, tetapi juga merupakan strategi yang dilihat ampuh hari ini. Mekanisme pelaksanaannya adalah dengan memberi penekanan terhadap individu yang mengimplikasikan pengetahuan tentang akal, nilai dan spiritual, dan tentang tujuan dan maksud yang sebenar kehidupan ini memandangkan akal, nilai dan spiritual adalah unsur-unsur yang diwarisi oleh setiap individu.

Lantaran itu, konsep Ta'dib yang dipelopori Syed Muhammad Naquib al- Attas merupakan suatu gagasan pendidikan dalam Islam yang bermatlamat untuk menjadikan manusia yang seutuhnya serta mempunyai kecerdasan intelektual yang berlandaskan pada moral dan agama dalam melaksanakan kewajibannya. . Hal ini dapat dilihat menerusi konsep ta’dib yang telah mencakupi konsep ilmu dan amal. Dalam konsep ini dijelaskan bahwa setelah manusia dikenalkan akan kedudukannya, ia diharapkan dapat mengamalkan ilmunya dengan baik dalam kalangan masyarakat berdasarkan nilai-nilai moral dan ajaran Islam.

Menurut Prof. Naquib al-Attas, adab adalah:
“Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia karana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” (SM Naquib al-Attas, Risalah untuk Kaum Muslimin, (ISTAC, 2001).

Sebagai contoh manusia yang beradab terhadap orang lain akan tahu bagaimana mengenali dan mengakui seseorang sesuai harkat dan martabatnya. Dalam masyarakat yang beradab, seorang penghibur tidak akan lebih dihormati jika dibandingkan dengan golongan ulama dan terpelajar. Begitu juga seorang wanita fasik, seharusnya ditempatkan pada tempatnya yang tidak lebih tinggi martabatnya dibandingkan muslimah yang shalihah. Itu merupakan antara contoh cabang adab kepada sesama manusia.

Al-Qur'an menegaskan bahawa contoh ideal bagi orang yang beradab adalah Nabi Muhammad s.a.w., yang disebut sebagai manusia Sempurna atau “al-insan al-kulli”. Maka, matlamat utama dalam sistem pendidikan Islam haruslah menjadi cerminan ke arah melahirkan manusia yang beradab dan sempurna.

Dalam pada itu, jika benar-benar diteliti, konsep TA'DIB adalah konsep yang paling tepat untuk pendidikan dalam Islam berbandingTarbiyyah dan Ta’lim. Menurut Syed Naqiub,"Struktur konsep Ta'dib sudah menyangkut unsur-unsur ilmu ('ilm), instruksi (ta'lim), dan pembinaan yang baik (tarbiyah), sehingga tidak perlu lagi dikatakan bahawa konsep pendidikan Islam itu adalah sebagaimana yang terdapat dalam tiga serangkai konotasi Tarbiyah-Ta'lim-Ta'dib."

Sementara itu, beliau juga mendefiisikan orang yang terpelajar sebagai orang baik, dan 'baik' yang dimaksudkan di sini adalah adab dalam erti kata yang menyeluruh iaitu yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, serta yang berusaha menyemai kualiti kebaikan yang diterimanya.Oleh karena itu orang yang benar-benar terpelajar menurut perspektif Islam didefinisikan al-Attas sebagai orang yang beradab.

Dalam pada itu, seorang tokoh ulama Indonesia, Kyai Hasyim Asy’ari menyatakan bahawa Tauhid mewajibkan wujudnya iman. Barangsiapa tidak beriman, maka dia tidak bertauhid; dan iman mewajibkan syariat, maka barangsiapa yang tidak ada syariat padanya, maka dia tidak memiliki iman dan tidak bertauhid; dan syariat mewajibkan adanya adab; maka barangsiapa yang tidak beradab maka tiada syariat, tiada iman, dan tiada tauhid padanya.

Syeikh Wan Ahmad al Fathani dari Pattani, dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin (Terj. Oleh Wan Shaghir Abdullah ““Jadikan olehmu akan yang sekedudukan engkau itu (majlis) perhimpunan ilmu yang engkau muthalaah akan dia. Supaya mengambil guna engkau daripada segala adab dan hikmah” Dalam tulisannya, beliau menyatakan keperluan seseorang individu itu untuk secara konsisten mempunyai adab, maka antara kunci terbaik kearah penyemaian sikap tersebut adalah kewajipan untuk seseorang individu untuk sentiasa berada dalam lingkungan majlis ilmu.

Dalam realiti kehidupan kita hari ini, dunia pendidikan kita seharusnya memberi penekanan terhadap proses ta’dib, iaitu sebuah proses pendidikan yang mengarahkan para siswanya menjadi orang-orang yang beradab. Ini penting memandangkan sekiranya adab itu hilang dalam diri seseorang, maka ia akan mengakibatkankemudharatan, kezaliman, kebodohan, dan kerosakan.

Justeru itu, adab harus ditanam dalam diri seluruh manusia di segenap lapisan masyarakat, sama ada pada murid, guru, pemimpin rumah tangga, pemimpin perniagaan, pemimpin masyarakat, dan sebagainya. Sekiranya golongan yang memegang amanah untuk mengurus tadbir institusi sebagai contoh tidak beradab, maka akan terjadilah kerosakan yang lebih parah.

Wednesday, December 2, 2009

PKPIM anjur Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) akan menganjurkan Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 13 Disember 2009 iaitu pada hari Ahad bermula pukul 8.30 pagi di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Antara objektif seminar ini diadakan adalah untuk menekankan keutamaan pandangan alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam serta memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.

Dalam pada itu, PKPIM dalam membawa suatu rencah bagi memulihkan permasalahan umat telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” yang bertujuan untuk membina kembali suatu generasi Islam baru yang ideal dan menjadi suri tauladan kepada semua, yang luhur adab dan keperibadiannya, tinggi disiplin ilmunya, kukuh pegangan tauhidnya serta memiliki nilai integriti dan kepimpinan yang hebat.

Rentetan itu, penganjuran Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah merupakan satu program induk dan menjadi perintis kepada pelaksanaan program Majlis Tarbiyah dalam memperkasa agenda kefahaman Ta’dib dan pendidikan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi pelajar.
Sementara itu, seminar yang akan dianjurkan juga akan diisi dengan tujuh pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh intelektual terkemuka dalam negara. Antara yang terlibat termasuklah Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr Mohd Farid Mohd Sharan, Dr Mohd Sani Badrun, Dr Adi Setia Mohd dom, dan sebagainya. Acara kemuncak kepada penganjuran seminar tersebut adalah Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang bertajuk “Reviving The Worldview of Islam: Internal & External Challenges” pada sebelah malam.

Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk menghadiri seminar ini untuk menyelesaikan permasalahan utama umat memandangkan segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan ta’dib dan pendidikan yang membentuk alam pemikiran mereka.

Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan berhubung terus dengan pihak penganjur Sdr Abdul Muntaqim Zulkifli di talian 019-8285019 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, yuran seminar yang ditetapkan untuk program tersebut adalah sebanyak RM100 untuk golongan professional dan RM35 untuk golongan pelajar. Namun, bagi yang mahu menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sahaja, bayaran yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 untuk golongan professional dan RM20 untuk pelajar.

 
Photography Templates | Slideshow Software