Monday, October 17, 2011

Kg.Binjai: Tunggu ketetapan Mahkamah, kata peguam




Sumber: Buletin Mutiara Pulau Pinang

GEORGE TOWN
- Peguam Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pihaknya telah pun menghantar jawapan balas pada saman pemula oleh pemaju Duta Palm Sdn Bhd ke Mahkamah Seksyen Georgetown 9 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu pihak mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan atau rundingan mengenai kes tersebut yang membabitkan kira-kira 48 keluarga yang diusir dari tanah Lot 792, Kampung Binjai, Bayan Lepas.

"Kita baru sahaja menghantar jawapan balas ke mahkamah. Proses hari ini sekadar itu sahaja oleh kerana hari ini adalah hari akhir menghantar jawapan balas pada saman tersebut," ujar beliau ketika dihubungi Buletin Mutiara.

Sabtu lepas, beliau bersama Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kampung Binjai, Hashim Ismail telahpun mengadakan interaksi bersama-sama penduduk berkenaan di Dewan Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Binjai bagi mengumpulkan butiran sejarah untuk proses pembelaan di mahkamah.

Jaafar Mahshar , pegawai khas kepada Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof turut hadir bagi memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Sehingga hari ini, sebanyak dua saman telahpun diterima oleh penduduk bermula pada 11 Januari lepas.

Penduduk berkenaan didakwa duduk di atas tanah tersebut secara tidak sah walaupun sudah mendiami kampung berkenaan hampir 100 tahun.

Bagaimanapun majoriti penduduk berkenaan berkata, pemukiman mereka di atas tanah itu atas kebenaran pemilik asal tanah, arwah Pak Hassan. -ZFY

Isu Kampung Binjai ke mahkamah 9 pagi ini


Sumber: Buletin Mutiara Pulau Pinang

BAYAN LEPAS -
Saman pemaju Duta Palm Sdn Bhd ke atas 48 keluarga di Kampung Binjai, Bayan Lepas dijadualkan bermula 9 pagi ini di Mahkamah Seksyen Georgetown.

Muhammad Faisal Abdul Aziz (dua dari kiri) dari firma guaman Fahda Nor & Yusmadi dalam satu interaksi dengan penduduk berkenaan Sabtu lepas berkata pihaknya sedang mengumpulkan butiran sejarah pendudukan di kampung tersebut sebagai membalas surat saman dari pihak plantif.

“Prosesnya masih panjang, biasanya ia di kamar rundingan dahulu,” ujarnya di Dewan Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Binjai.

Jaafar Mahshar (kanan), pegawai khas kepada Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof pada majlis yang sama menasihatkan penduduk berkenaan supaya bersatu menghadapi saman oleh pemaju.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kampung Binjai, Hashim Ismail berkata sebanyak dua saman telahpun diterima oleh penduduk sejak 11 Januari lepas.

Penduduk berkenaan didakwa duduk di atas tanah tersebut secara tidak sah walaupun sudah mendiami kampung berkenaan hampir 100 tahun.

Bagaimanapun majoriti penduduk (bawah) berkenaan berkata, pemukiman mereka di atas tanah itu atas kebenaran pemilik asal tanah, arwah Pak Hassan.

Difahamkan, tanah tersebut kemudiannya berpindah tangan kepada seorang ceti sebelum dibangunkan bersama dengan pemaju. -ZFY

 
Photography Templates | Slideshow Software