Sumber: Buletin Mutiara Pulau Pinang
BAYAN LEPAS - Saman pemaju Duta Palm Sdn Bhd ke atas 48 keluarga di Kampung Binjai, Bayan Lepas dijadualkan bermula 9 pagi ini di Mahkamah Seksyen Georgetown.
Muhammad Faisal Abdul Aziz (dua dari kiri) dari firma guaman Fahda Nor & Yusmadi dalam satu interaksi dengan penduduk berkenaan Sabtu lepas berkata pihaknya sedang mengumpulkan butiran sejarah pendudukan di kampung tersebut sebagai membalas surat saman dari pihak plantif.
“Prosesnya masih panjang, biasanya ia di kamar rundingan dahulu,” ujarnya di Dewan Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Binjai.
Jaafar Mahshar (kanan), pegawai khas kepada Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof pada majlis yang sama menasihatkan penduduk berkenaan supaya bersatu menghadapi saman oleh pemaju.Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kampung Binjai, Hashim Ismail berkata sebanyak dua saman telahpun diterima oleh penduduk sejak 11 Januari lepas.
Penduduk berkenaan didakwa duduk di atas tanah tersebut secara tidak sah walaupun sudah mendiami kampung berkenaan hampir 100 tahun.
Bagaimanapun majoriti penduduk (bawah) berkenaan berkata, pemukiman mereka di atas tanah itu atas kebenaran pemilik asal tanah, arwah Pak Hassan.
Difahamkan, tanah tersebut kemudiannya berpindah tangan kepada seorang ceti sebelum dibangunkan bersama dengan pemaju. -ZFY
0 comments:
Post a Comment