Thursday, December 1, 2011

Perhimpunan Membela Penduduk Matau


Ayuh Bersama Penduduk kampung Matau Untuk Melawan!

Sebuah perhimpunan bagi membantah perobohan rumah penduduk asal Kampung Matau, Bandar Tun Razak Jengka (Bandar Pusat Jengka) Pahang akan diadakan. Perhimpunan ini memerlukan sokongan ramai dari pelbagai pihak dalam masyarakat supaya perobohan rumah mereka ini akan mendapat pembelaan.

Tempat tinggal mereka sekian lama bakal dirobohkan. Butiran perhimpunan adalah seperti berikut:-

Tarikh: 2hb 12 2011 (Jumaat)
Masa: 2.30 petang (selepas solat Jumaat)
Lokasi Berhimpun: Pintu Masuk Kampung Matau


Matau merupakan sebuah kampung yang diwujudkan sekitar tahun 50-an oleh pekerja-pekerja yang menerangkan tanah hutan Jengka (sebelum dijadikan Felda). Mereka membina kampung ini dan terus bermastautin di sana. Melalui info yang BTJ perolehi, tanah kampung ini adalah milik kerajaan. Ya, benar ia milik kerajaan tetapi wajarkah menghalau penduduk kampung ini tanpa memberi sebarang pampasan? Di mana tempat mereka akan tinggal dan berteduh?

Kampung ini dianggarkan didiami kurang lebih 200 keluarga yang terdiri dari 100% orang Melayu. Tanah kampung Matau ini akan dimajukan oleh Majlis Daerah Maran untuk tujuan pembangunan iaitu mendirikan bangunan kedai. Tujuannya baik untuk ekonomi tetapi di mana rasa perikemanusiaan Majlis daerah Maran yang mahu meroboh rumah mereka tanpa sebarang timbal balik yang menguntungkan kedua-kedua belah pihak. Kita boleh kata itu tanah kerajaan dan ia hak mutlak kerajaan kerana mereka ini bukan dari kalangan keluarga kita. Bagaimana jika mereka ini adalah sanak saudara kita? Sanggupkah kita biarkan mereka merempat?

Sekarang ada beberapa individu dan pihak walaupun tidak ramai yang sudi menghulurkan bantuan. Saudara Ahmad Nizam Hamid, seorang peguam di Temerloh akan mengfailkan injuksi bagi menghalang operasi merobohkan rumah penduduk kampung Matau ini. Namun, mereka yang prihatin dan simpati ini perlukan juga sokongan dari seluruh masyarakat sekitar Jengka atau seluruh Malaysia untuk memberi kekuatan mental, fizikal dan kewangan bagi mendapatkan jaminan bahawa nasib penduduk kampung ini terbela.

Jika ada sebarang pertanyaan boleh hubungi saudara Ahmad Nizam Hamid di nombor 019-9554246.

 
Photography Templates | Slideshow Software