Wednesday, November 14, 2007

Perjuangan Dari Jakarta Ke Kuala Lumpur....

Dalam ruangan ini, ingin saya membawa saudara dan saudari ke sebuah negara jiran yang corak berpolitik mahasiswanya cukup berbeza berbanding dengan negara kita ini, iaitu Indonesia, negara yang masih kuat berpegang kepada prinsip konsensus “Pancasila” yang dipersetujui oleh nenek moyang mereka.

Pada 21- 24 Julai 2007 lalu, saya bersama rakan-rakan PKPIM telah berada di Jakarta untuk mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara yang dianjurkan di negara tersebut. Sepanjang keberadaan saya di sana, sesuatu perbezaan dapat dirasai dalam konteks persepsi masyarakat terhadap golongan mahasiswa seperti saya. Mahasiswa dipandang tinggi dan begitu dihormati oleh setiap lapisan masyarakat dari golongan kelas atasan sehingga ke golongan bawahan. Saya akhirnya dapat merumuskan tiga faktor penting yang telah membina titik perbezaan tersebut.

Pertamanya, mungkin ia akibat dari kejayaan mereka menjuarai pentas pembelaan masyarakat secara umum. Ia juga mungkin ekoran dari nilai keberanian dan kelantangan mahasiswa di negara tersebut yang tiada tandingan jikalau dibandingkan dengan “sindrom kurang upaya” yang menyelubungi gerakan mahasiswa kita.

Dari tingkat atas Hotel Grand Chempaka, Jakarta, saya melihat Bandar Jakarta yang begitu padat dengan rumah setinggan. Secara rambang ia menunjukkan permasalahan sosial di sana seperti kemiskinan masih di tahap kritikal. Namun, dalam situasi negara mereka yang menghadapi pelbagai konflik politik, ekonomi, dan sosial yang agak meruncing, atas dasar kesedaran dan tanggungjawab, gerakan mahasiswa di sana telah berperanan untuk menampilkan diri dalam merungkaikan pelbagai jenayah politik yang berlaku seperti korupsi, penyalahgunaan kuasa, dan sebagainya. Faktor sikap positif yang diwariskan sebagai prinsip perjuangan mereka ini seharusnya diteladani oleh mahasiswa Malaysia.

Dalam masa yang sama, peranan kerajaan telah menjadi faktor kedua dalam permasalahan ini. Peranan yang dimainkan oleh pihak pemerintah dengan memberi ruang yang luas kepada mahasiswa untuk mengkritik secara membina telah membuahkan budaya “critical thinking” di kalangan mahasiswa. Ia secara tidak langsung akan mencetuskan seribu satu persoalan dalam pemikiran mahasiswa tentang kekurangan dan kelompongan yang masih wujud dalam sesuatu dasar negara. Sebagai hasil, ia akan memupuk perasaan ingin tahu dan akhirnya membawa mahasiswa kearah pembudayaan berfikir. Berbanding kebanyakan kita yang masih menyanjung sikap individualistik, ia menyebabkan pembekuan otak pemikiran kita masih kekal berterusan.

Sementara itu, faktor ketiga pula adalah sikap pentadbiran Universiti sendiri. Pihak pentadbiran Universiti yang memberi kebebasan dan penghormatan yang tinggi kepada Mahasiswa disana untuk menjalankan kegiatan berdasarkan acuan mereka sendiri telah merungkaikan sikap kebergantungan mereka dengan pihak lain. Berbanding situasi dalam negara, segala bentuk acuan program, termasuk aturcara dan penceramah wajib ditentukan oleh pihak pentadbiran. Situasi ini cukup memalukan kerana pihak pentadbiran Universiti tempatan menganggap mahasiswa tak ubah seperti budak sekolah yang masih berhingus dalam menjalankan program. Maka tidak hairanlah mengapa mahasiswa kita masih lagi belum bersifat matang dalam berfikir, beraktiviti, dan menyelesaikan permasalahan semasa.

Lantaran itu, saya amat bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Saifuddin Abdullah bahawa aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam Universiti tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada tahap aktivisme gerakan mahasiswa. Takrif kepada aktivisme dalam gerakan mahasiswa sendiri adalah terjemahan daripada idealisme perjuangan dan disiplin intelektulisme mereka sendiri dan bukan ditentukan oleh pihak lain.

Kelesuan dan kelemahan Mahasiswa Malaysia berpolitik sememangnya berada pada tahap yang cukup kritikal. Dikala kita berbangga dengan pencapaian kita yang dihidangkan di hadapan mata, kita sebenarnya telah dilupakan dan dikaburkan dengan pelbagai bentuk kelemahan yang kian menyelubungi situasi masyarakat kampus. Mungkin ramai yang tidak sedar akan kesan buruk ekoran kebobrokan kita ini. Lebih menyedihkan ada yang menganggap perjuangan berpolitik secara matang ketika berada di dalam kampus adalah sesuatu agnda yang disifatkan sebagai membuang masa.



0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software