Saturday, December 8, 2007

Pertumbuhan Inflasi : Bebanan Rakyat Perlu Ditanggung

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2006




Fenomena kenaikan harga barang termasuk yang terbaru ayam dan roti dalam pasaran domestik negara berada pada tahap yang semakin membimbangkan. Dasar pasaran kita yang terlalu bergantung kepada ukuran permintaan dan penawaran tanpa kawalan dari pihak bertanggungjawab akan menyebabkan berulangnya krisis inflasi yang melanda negara dahulu. Isu ini telah mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia berikutan ianya bersangkutan dengan kos sara hidup yang perlu ditempuhi oleh mereka. Hanya yang menjadi titik perbezaan adalah tahap pendapatan yang diperolehi mereka. Bagi golongan yang berpendapatan rendah, seperti petani, buruh, nelayan, dan pengusaha kecil, fenomena ini akan dianggap sebagai suatu yang amat membebankan untuk mereka meneruskan kehidupan seharian.
Jika dinilai, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang ini yang dimana secara tidak langsung membawa kepada krisis inflasi. Faktor yang dilihat paling utama adalah kenaikan harga bahan api. Kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang mencecah AS$100 dolar setong berikutan keengganan Organisasi Negara-negara Pengekspot Minyak (OPEC) untuk melakukan pertambahan pengeluaran mewujudkan keadaan yang amat merumitkan.
Dalam masa yang sama, pasaran minyak Malaysia juga seolah-olah seperti pasaran di negara “pengimport bersih” kepada bahan bakar tersebut, yang terlalu bergantung kepada kadar harga di pasaran antarabangsa. Lantaran itu, sepertimana yang diramalkan, tindakan yang bakal diambil kerajaan untuk menangani masalah tersebut adalah dengan mengurangkan pemberian subsidi minyak sedia ada kepada rakyat.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal, kenaikan harga minyak mentah global yang melonjak melebihi paras AS$100 setong kini memberi tekanan kepada harga minyak tempatan dan seterusnya mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan lain.
Akibatnya, kenaikan harga komoditi keperluan masyarakat akan bertambah lagi kerana ia adalah merupakan bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Industri perumahan juga akan mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak kerana industri pembinaan rumah, bangunan dan sebagainya juga memerlukan sumber minyak. Sementara itu, bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi. Kesimpulannya, kenaikan harga minyak tempatan akan terus berlaku walaupun kita tersenarai sebagai negara pengeluar minyak.

Dalam pada itu, sumber minyak negara juga dipercayai semakin berkurangan sedangkan keperluan meningkat sebanyak enam peratus setahun. Berikutan itu, dijangka pada tahun 2011 negara terpaksa menjadi pengimport bersih kepada petrol dan persoalannya, berapakah kadar peratus kenaikan harga bahan tersebut dalam pasaran tempatan pada waktu itu?

Sementara itu, faktor yang turut mempengaruhi kenaikan harga barang adalah sikap pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan terhadap permintaan barang keperluan yang bersangkutan dengan keperluan isi rumah seperti gula, garam, gandum dan sebagainya. Maka tidak hairanlah mengapa situasi ini kerap berlaku apabila menjelangnya musim perayaan. Situasi ini akan terus berlaku dari setahun ke setahun dan dalam masa yang sama, harga barang-barang tersebut tidak akan mengalami kemerosotan apabila berakhirnya musim tersebut.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa bebanan kos yang ditanggung oleh pengusaha khususnya pengusaha bumiputra seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan juga antara faktor kepada masalah ini. Sebagai contoh berdasarkan laporan dari akhbar Sinar Harian yang bertarikh 7 Oktober 2007 kadar sewa sebuah restoran di Pusat Membeli–belah terkemuka Suria KLCC meningkat sebanyak RM520,000 setahun berbanding RM360,000 pada tahun 2004 serta RM180,000 pada tahun 2001. Situasi ini memperlihatkan bagaimana pemilik restoran Kelatan Delights Juhaidi Yean Abdullah terpaksa menutup restorannya ekoran dari kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Menurut beliau restoran beliau adalah satu-satunya restoran bumiputra yang bernyawa disitu dan alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah kerana mengikut harga pasaran. Maka demi mempertahankan ‘survival’ perniagaan para peniaga, mereka terpaksa menaikkan harga barang keperluan yang dijual.

Dalam menangani permasalahan ini, beberapa dasar kerajaan perlu diubah. Ini turut melibatkan pemerkasaan kepada dasar pertanian. Jikalau dilihat, pelaksanaan dasar ini hanya bergantung kepada kesanggupan politik atau political will pemimpin kerajaan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2006 negara, pengeluaran sektor pertanian telah menunjukkan penurunan ynag begitu drastik iaitu 7.9% berbanding 33.6% pada tahun 1970 dan 32.5% pada tahun 1975. Maka, suatu usaha perlu dilakukan untuk memastikan pemerkasaan kepada dasar ini dikekalkan walau siapa pun yang menjadi pemimpin. Sekiranya dasar pertanian kita diperkasakan, kita berupaya mengeluarkan produk bahan keperluan isi rumah dan secara tidak langsung mampu menampung permintaan kepada bahan tersebut. Maka, sudah tentu kenaikan harga bahan keperluan tersebut dapat dikawal memandangkan hasil pengeluaran selari dengan permintaan.
Teori ekonomi Ibnu Khaldun pernah menyatakan untuk meningkatkan perbelanjaan rakyat, maka pengurangan bebanan seperti cukai dan harga minyak perlu dilakukan. Ini termasuk pemberian subsidi dari pihak kerajaan kepada peniaga-peniaga khususnya bumiputra bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barang. Apabila bebanan rakyat seperti kadar cukai, harga minyak, dan sebagainya berjaya dikurangkan, maka ia akan menggalakkan lagi rakyat untuk berbelanja. Maka, akan bertambahlah bilangan pengusaha dan pembekal. Kesannya, kerajaan akan memperoleh semula hasil dari perbelanjaan rakyat tersebut menerusi cukai yang dikutip dari pertambahan bilangan pengusaha dan pembekal tersebut.
Pihak kerajaan juga perlu menggiatkan usaha penyelidikan untuk mencari sumber lain sebagai alternatif kepada keperluan petrol seperti minyak kelapa sawit. Hasil dari penemuan bahan gantian tersebut akan dapat membantu kita mengurangkan kadar kenaikan harga minyak. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga perlu berperanan dengan meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barang. Jika kerajaan tidak menangani kenaikan harga barang, inflasi akan meningkat seterusnya kos hidup mencanak sekaligus rakyat menderita.

1 comments:

Afham said...

erk...teringat masa dahulu kala belajar ekonomi asas..subjek fav tue..:P

 
Photography Templates | Slideshow Software