Wednesday, July 9, 2008

Anwar tidak perlu bersumpah : Mufti Perak


Sahibu Samahah Dato Seri Dr Harussani Zakaria (Mufti Perak)

Beberapa ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato’ Seri Dr Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hashim Yahaya dan beberapa yang lain telah menegaskan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.

Dato’ Seri Dr Harussani dalam membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati dasar undang-undang Islam.

Ini kerana tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum qazaf.

Kaedah dalam kes ini, ialah ‘orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti (burden of Proof) dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud(qazaf)yang membawa kepada 80 sebatan.


Mengulas mengenai cadangan Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, “itu cadangan dari orang yang terlebih pandai.”
Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Disamping itu, Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

Menurutnya, tiada kaedah langsung perlu untuk bersumpah dengan al-Quran dan perbuatan itu meniru budaya agama lain, dan tegas beliau sumpah yang ada dalam Islam hanyalah ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh ke atas Anwar adalah yang membabitkan hukum qazaf dan bukannya li’an.

Beliau menegaskan bahawa sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li’an, dan perbuatan menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan qazaf menyalahi hukum syarak.

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara, dan isunya tidak ada sumpah dalam bab qazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software