Cenderamata khas dari PKPIM kepada Rektor UNM
Kubu yang dibina kerajaan Bugis untuk menghalang penjajahan Belanda
Mungkin dikalangan kita tidak menyedari bahawa terdapatnya tokoh ulama Nusantara yang berjaya membawa seruan dakwahnya sehingga diterima di beberapa benua lain di seluruh dunia.
Namanya mungkin agak kurang dikenali berbanding tokoh mujahid dan Ulama lain seperti Imam Hasan al-Banna, Abu A’la Al-Maududi, Syed Qutb, dan sebagainya tetapi itulah Sheikh Yusuf Abul Mahasin Al-Taj Al-Khalwati Al-Makassari Al-Banteni seorang tokoh ilmuan yang dikagumi dan mujahid kepada pembebesan Makassar dan seluruh pulau Sulawesi.
Dalam menjejaki tanah asal dan sejarah hidup Ulama tersebut, saya berkesempatan untuk mewakili mahasiswa Malaysia menerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam suatu Ekspidisi Pendidikan yang dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Union of NGO’s of the Islamic World (UNIW) di Makassar, Indonesia.
Ekspidisi yang dianjurkan selama empat hari itu iaitu bermula dari 18 hingga 22 Oktober 2008 turut disertai oleh beberapa tokoh terkenal yang mewakili Malaysia seperti Ustaz ‘Uthman el-Muhammady, Dr Muhammad Nur Manuty, En Ahmad Azam Abdul Rahman, Datuk Hasbullah L. Isa, En Haris A.Hamid, Wan Abd Hamid Wan Teh, dan beberapa tokoh lain.
Dalam pada itu, dengan kerjasama Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia (DDII), Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), dan Universitas Negeri Makassar (UNM) suatu Seminar yang membahaskan aspek pemikiran Sheikh Yusuf berjaya dianjurkan. Seminar ini telah mencatat sejarah tersendiri kerana ia merupakan seminar yang pertama kali dianjurkan di Universitas Negeri Makassar. Dalam pada itu, seminar ini juga berjaya mendapat sambutan yang hangat apabila ia berjaya menghimpunkan ramai peserta yang terdiri dari tokoh ilmuan dan mahasiswa dari beberapa buah negara seperti Indonesia, Malaysia, dan Turki.
Pembentang Kertas Kerja
Dalam berbicara berkenaan tokoh ulama ini, empat tokoh ilmuan telah diundang untuk membentangkan kertas kerja masing-masing. Pembentang kertas kerja pertama, Dr Mustari Bosra dari UNM banyak menyentuh tentang aspek biografi dan perjuangan Ulama tersebut. Ulama yang berdarah Bugis ini telah dilahirkan pada 8 Syawal 1036 Hijrah di Istana Raja Tallo dan dibesarkan di situ. Semasa usia muda beliau begitu dikenali sebagai guru mursyid yang masyhur dengan mempunyai ramai murid. Atas sebab itulah beliau diberikan penghormatan oleh Raja Bugis yang melantik beliau menjadi Mufti Kerajaan Banten. Semasa penjajahan Belanda, beliau bersama Sultan Ageng dan murid-muridnya bersatu berjihad mengangkat senjata untuk menentang tentera Belanda.
Kesan daripada itu, beliau telah dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan Belanda. Namun setelah mendapat bantahan yang luar biasa dari penduduk setempat hukuman itu telah dikurangkan kepada pembuangan negeri. Beliau bersama 49 pengikut lain berangkat meninggalkan Makassar menuju ke Sri Lanka dan seterusnya dipindahkan ke Cape Town, Afrika Selatan.
Sementara itu, pembentang kertas kerja kedua pula, iaitu ustaz ‘Uthman el-Muhammady membicarakan tentang ajaran teologi dan tasawwuf Sheikh Yusuf al-Makassari. Dalam kertas kerja tersebut, beliau menggelar Sheikh Yusuf seumpama ‘puting beliung’ iaitu tenang didalamnya dengan amalan tariqat dan sufi tetapi menggerunkan apabila dilihat secara zahir apabila memimpin peperangan menentang penjajahan Belanda.
Dalam aqidah, beliau dilihat seperti pengikut aliran Imam Abul Hasan al-Asy’ari RA menerusi beberapa kenyataan dan penulisannya. Sementara itu, merujuk kepada surat Sheikh Yusuf kepada Wazir Goa, ia merupakan surat yang berbicara tentang aqidah ahli sunnah wal jamaah. Dalam surat tersebut, beliau menyatakan “berkata semua ahli sunnah wal jamaah ‘Sesungguhnya Allah itu berdiri sendiri, sedang roh berdiri dengan Allah, badan berdiri dengan roh, lahir berdiri dengan batin, seperti alam berdiri kerana Allah, tidak kerana tempat dan waktu, Allah pencipta segala sesuatu”.
Para hadirin yang hadir
Penelis ketiga, Dr Muhammad Nur Manuty(Bekas Presiden ABIM) pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Keteladanan Sheikh Yusuf Dalam Dakwah & Jihad: Beberapa Refleksi Mengenai Cabaran Dan Pengukuhan Strategi Gerakan Islam Kontemporer Di Alam Melayu. Dalam kertas kerjanya, beliau banyak menyentuh tentang strategi dakwah ulama tersebut yang telah menyemai disiplin “fiqh al-waqi’” iaitu dengan membezakan pendekatan ketika berada di kawasan yang berbeza. Dalam pada itu, beliau juga telah melaksanakan pensejagatan ilmu iaitu menyebarkan dakwah dan ilmu di pelbagai lapangan di dunia seperti Mekah, Nusantara, Sri Lanka, dan Afrika Selatan.
Dalam pada itu, panel terakhir, En Ahmad Azam Abdul Rahman (Naib Presiden Wadah) pula membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Sheikh Yusuf: Menghimbau Sejarah, Melakar Strategi Dakwah Masa Depan”. Dalam kertas kerjanya, beliau menerangkan bagaimana orientasi Sufisme sebenarnya bersifat aktivis dan hanya tidak menyendiri di rumah ibadat semata-mata. Ini dapat dilihat dengan semangat antusiaz yang ditunjukkan oleh beliau ketika berperang dan berdakwah ke lapangan.
Hakikatnya, tokoh Ulama dan pendakwah sebegini harus dijadikan sebagai sumber inspirasi oleh kita sebagai pendokong gerakan dakwah di Nusantara khususnya Malaysia. Beliau telah membuktikan bahawa keberhasilan dan keagungan dalam gerakan penyebaran dakwah Islam ini tidak hanya terletak pada mereka yang berada di Timur Tengah sahaja, tetapi mampu dikecapi oleh rumpun Islam di Asia Tenggara. Semoga seluruh jasa dan pengorbanan yang dicurahkan Sheikh Yusuf serta pemikirannya sentiasa dikenang dan menjadi sumber ilmu yang mampu dijadikan motivasi oleh seluruh penggerak dakwah di Malaysia.
Setelah selesai seminar tersebut, kami berkesempatan untuk menziarahi Maqam Sheikh Yusuf yang terletak tidak jauh dari Universiti tersebut. Dalam ekspidisi tersebut, kami juga berkesempatan untuk bertemu Andi Muhammad Rum, Bupati Kabupaten Barru (Pengerusi Majlis Daerah Barru). Dalam pertemuan tersebut, banyak dapatan yang diperoleh khususnya berkenaan dengan situasi dakwah dan kedudukan Islam di sekitar kawasan setempat khususnya mereka yang berumpun Bugis.
Maqam Sheikh Yusuf
2 comments:
Bagaimana selepas ini ke Cape Town pula?
bestnye
Post a Comment