Thursday, February 19, 2009

Kandungan Laporan Polis PKPIM terhadap dasar PPSMI


Boleh digunapakai oleh mana-mana pertubuhan yang mahu membuat laporan polis.




LAPORAN POLIS TERHADAP KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BERHUBUNG ISU PPSMI

Balai Polis : Gombak
Daerah : Gombak
Kontinjen : Selangor
No Repot : Gombak/001215/09
Waktu : 1.54 Petang

Saya bersama seluruh ahli dan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat bantahan terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia kerana meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah Rendah dan Menengah di seluruh negeri-negeri di Malaysia.

Sebab-sebab bantahan kami adalah:

1. Pelaksanaan PPSMI adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 2 dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Seksyen 2 Akta Pendidikan, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen ini.

Manakala Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain. Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.

2. Pelaksanaan PPSMI ini akan membunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

3. Pelaksanaan PPSMI telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar bandar dalam bidang sains dan teknologi.

4. Kita menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran sains dan matematik.



Bertarikh : 18 Februari 2009


_______________________
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Naib Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software