Monday, March 2, 2009

PKPIM seru mahasiswa seluruh kampus turun perhimpunan 7 Mac


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang merupakan badan penggerak Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menyeru seluruh mahasiswa di semua kampus untuk turun beramai-ramai ke Perhimpunan 100 ribu rakyat pada 7 Mac ini bagi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di hadapan Istana Negara.
Iklan

Sebelum ini PKPIM telah bertegas menyatakan kesediaan dan kesetiaan untuk bersama-sama GMP menggerakkan perhimpunan 100 ribu di peringkat mahasiswa memandangkan suara kami yang disalurkan melalui pendekatan berlembut masih tidak didengari.

Rentetan itu, PKPIM telah mengambil keputusan untuk melakukan apa saja termasuk untuk turun ke jalanan menggerakkan demonstrasi 100 ribu rakyat sebagai wadah terakhir mendesak pihak pemerintah mendaulatkan kembali martabat Bahasa Melayu.

Sebagai golongan anak muda yang berada pada zaman ketidaktentuan dasar pendidikan negara, kita harus sedar bahawa dasar PPSMI ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan dasar ini menyentuh isu pendidikan negara dan pendidikan secara tidak langsung akan melibatkan generasi pelajar.

Maka, dasar seperti ini sebenarnya yang akan menentukan corak dan identiti generasi masyarakat Malaysia pada masa akan datang.

Dalam pada itu, dasar ini juga dilihat akan mengorbankan puluhan ribu anak-anak pelajar luar bandar memandangkan mereka berada dalam suasana yang jauh dari kemudahan untuk memperoleh pendidikan di peringkat asas lebih-lebih lagi dalam soal Bahasa Inggeris.

Berdasarkan situasi tersebut kita dapat melihat bahawa PPSMI ini adalah satu bentuk diskriminasi yang hanya menguntungkan segolongan elit di bandar-bandar saja.

Wajarkah kita berbangga dengan kejayaan segelintir rakyat ke peringkat tertinggi tetapi dalam masa yang sama kita menggagalkan masa depan majoriti besar anak-anak marhein di kampong-kampung?

Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kita sebagai generasi masa hadapan.

Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia.

Maka, sebagai gerakan pelajar yang membawa idealisme anak muda, adalah wajib bagi kita untuk berjuang menjayakan agenda 7 Mac ini.

Biar kali ini kita mencatat sejarah dengan menjadi golongan yang bertanggungjawab mencorak masa depan Malaysia berbanding menjadi golongan yang tidak membuat apa-apa sehingga akhirnya dicaci oleh generasi akan datang.

-----

Muhammad Faisal Abdul Aziz ialah Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). _

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software