Wednesday, October 7, 2009

PKPIM SERU SELURUH MAHASISWA SEMARAKKAN BULAN BAHASA





Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan yang diambil kerajaan untuk mengisytiharkan bulan Oktober ini sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Selaras dengan perisytiharan tersebut, PKPIM menyeru kepada seluruh anggota masyarakat khususnya generasi pelajar untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing untuk menyemarakkan kempen Bahasa Melayu sepanjang bulan Oktober ini.
Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini adalah suatu usaha berterusan yang mampu untuk dijadikan sebagai batu loncatan untuk mengangkat kembali kedudukan Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan sekiranya sepanjang tempoh bulan ini diisi dan dimanfaatkan oleh kita sebaik-baiknya.

Maka, untuk menjayakan usaha murni ini, semua pertubuhan pelajar di universiti khususnya pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) harus meletakkan sasaran untuk menganjurkan setidak-tidaknya satu program yang khusus bertujuan untuk memperkasa kempen Bahasa Kebangsaan ini.

Dalam pada itu, PKPIM menyambut baik arahan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Sri Muhyiddin Yassin kepada semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan Oktober setiap tahun. Arahan yang dikeluarkan ini telah mencerminkan keseriusan pihak berwajib untuk menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan berkenaan.
Sementara itu, saranan Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said kepada seluruh pihak khususnya generasi muda untuk memainkan peranan secara bersama meluhuri Akta Bahasa Kebangsaan harus disahut dengan sikap tanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Peruntukan Undang-undang yang menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan tanpa penguatkuasaan dan kempen susulan akan menjadikannya sebagai peruntukan yang hanya akan dianggap sebagai perhiasan kepada kedaulatan undang-undang negara. Maka, tindakan susulan oleh generasi muda untuk menterjemahkan aspirasi Akta Bahasa menerusi penglibatan menyeluruh adalah perlu untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita.


Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan untuk bersama-sama menjayakan kempen Bahasa Melayu ini sempena Bulan Bahasa Kebangsan.

Langkah-langkah sebegini wajar direalisasikan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda dan masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.

“HIDUP BIAR BERJASA”

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
PRESIDEN,
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software