Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) akan menganjurkan Forum “Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid” pada 4 Mei 2010 iaitu pada hari Selasa pukul 8.00 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.
Tujuan forum ini diadakan adalah sebagai platform untuk menjawab persoalan-persoalan yang belum terungkai di samping memahami isu ini dengan lebih mendalam khususnya dalam aspek hak asasi manusia dan perundangan. Selain itu, penganjuran forum ini juga adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat sivil sebagai pendukung hak asasi rakyat secara umum dengan menitikberatkan peranan mereka yang sememangnya penting dalam usaha memastikan masyarakat terus konsisten menyedari akan hak asasi yang dimiliki mereka.
Dalam pada itu, Forum “Keadilan untuk adik Aminulrasyid” ini akan menampilkan tiga orang panel jemputan. Mereka adalah N. Surendran selaku peguam untuk keluarga adik Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham merangkap pensyarah Undang-undang Prosedur Jenayah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), dan Wong Chin Huat dari Civil Rights Committee. Sementara itu, forum yang akan dipengerusikan oleh Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz juga akan dimulakan dengan bacaan puisi “Jeritan Senja September” oleh Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said.
Sehubungan dengan itu, pihak PKPIM menjemput kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk hadir beramai-ramai dalam forum berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni yang dijalankan ini untuk memastikan keadilan dan ketelusan ditegakkan khusunya dalam siasatan yang akan dilakukan oleh pihak polis.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengharapkan semoga kehadiran seluruh anggota masyarakat dapat menjayakan objektif forum yang akan dijalankan tersebut untuk menjana tenaga mahasiswa dan masyarakat sebagai pendukung hak asasi rakyat di samping melahirkan sebuah masyarakat yang mengambil peduli tentang isu yang berlaku ini.
Thursday, April 29, 2010
PKPIM anjur Forum "Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid"
Posted by Faisal Aziz on 6:18 PM
0 comments:
Post a Comment