KUALA LUMPUR - Sempena bulan Ramadan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) tahun ini melancarkan pelbagai program 'Sinar Ramadhan 1433H' yang bertujuan membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata antara program yang diadakan ialah Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Kem Rakan Muda Masjid (RAPID), Program Khatam al-Quran, Ziarah Hospital dan 'Iftar for the Needy'.
"Program ini telah kita jalankan setiap tahun di beberapa negeri serta daerah, cuma pada tahun ini kita memperluaskan lagi ke seluruh Malaysia agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan terutamanya mereka yang miskin, ibu tunggal serta saudara baru," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pada tahun lepas sempena program bulan Ramadan ia meliputi 1,200 penerima di Kuala Lumpur dan Selangor, serta lebih 4,300 penerima di seluruh negara.
"Kita harap pada program kali ini ia akan melibatkan lebih ramai penyumbang sekaligus dapat membantu lebih ramai penerima yang memerlukan," katanya.
Menyentuh mengenai program KSSB, Mohamad Raimi berkata ia dijalankan sejak tahun 2006 bagi membantu golongan fakir miskin serta saudara baru memperoleh makanan asasi.
Selain itu, program Rapid dilaksanakan di cawangan Abim seluruh negara dengan menyasarkan penglibatan golongan belia melalui aktiviti pengukuhan asas Fardhu Ain, Smart Solat, tazkirah dan tadarus al-Quran.
Beliau berkata program yang bertemakan 'Taqwa Dihayati, Ramadhan Dimaknai' itu turut mendapat kerjasama Global Peace Mission (GPM) untuk membantu komuniti Muslim di 15 negara termasuk masyarakat minoriti Islam Rohingya (Myanmar), Selatan Filipina dan Thailand, Kemboja serta Afghanistan.
"Melalui program 'Iftar for the Needy' Abim dan GPM turut bekerjasama membantu rakyat Syria yang menjadi mangsa konflik di negara itu dengan menyampaikan bantuan bekalan makanan.
"Mereka yang berminat boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Abim bernombor 14023010011177 di Bank Islam atau menghubungi Sekretariat Abim pusat di talian 03-41084500," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment