Pada era pascamodenisme ini, Mahasiswa seharusnya mengorak langkah menjana perubahan untuk memperkasakan kembali kekuatan Mahasiswa dalam seluruh aspek yang menyentuh tentang persoalan spiritualisme, idealisme, intelektualisme, dan aktivisme. Mahasiswa harus keluar dari kepompong lama yang menyaksikan bagaimana mahasiswa tidak lagi menjadi bahan instrumen yang penting dalam masyarakat. Mereka dangkal dengan persoalan dan isu-isu nasional dan antarabangsa, kekok untuk berbicara dalam menyatakan pendirian mereka berkenaan sesuatu isu, dan cetek dalam persoalan disiplin ilmu.
Setiap hari, kita sering kali dihidangkan dengan pelbagai isu-isu semasa yang cukup signifikan sama ada yang bersifat nasional mahupun yang menyentuh tentang perkembangan luar negara. Namun sejauh manakah isu-isu sebegini diberikan perhatian oleh Mahasiswa pada masa kini? Apakah punca utama yang menyebabkan mereka hanyut dalam buaian mimpi yang indah lagi melalaikan? Munkinkah kerana mereka terperangkap dengan gejala hedonisme dan krisis jati diri sehingga mereka melupakan tanggungjawab sebenar mereka kepada masyarakat? Mungkin juga kerana mereka terikat dengan peraturan yang tidak masuk akal sehingga mereka menjadi budak pinggiran, yang hanya tahu tentang perkembagan dalam kampus tetapi dangkal terhadap persoalan nasional dan antarabangsa.
Sedangkan sebagai generasi muda merekalah yang akan menentukan masa depan negara. Kepimpinan negara pada masa akan datang ditentukan oleh Mahasiswa pada masa kini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali bahawa "sekiranya kita ingin melihat pemimpin sesuatu negara pada masa akan datang, maka lihatlah generasi muda negara tersebut"
Dalam pada itu, Bapak Sukarno dalam pidatonya menegaskan bahawa "Kepimpinan tidak bisa lahir dari Mahasiswanya yang hanya terperap dalam dewan kuliah dan menjadi ulat buku semata-mata, tetapi kepimpinan lahir dari Mahasiswanya yang turut terjun kedalam kancah masyarakat".
Profesor Diraja Ungku Aziz dalam tulisan puisinya tahun 1973 menyatakan "bangsamu tidak akan termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar". Lebih parah lagi mahasiswa pada masa kini seringkali dikaitkan dengan kebejatan sosial, krisis jati diri dan keruntuhan moral. Perkataan Mahasiswa seolah-olah sudah sinonim dengan gejala negatif.
Sekiranya kita menyusur kembali sejarah mahasiswa, merekalah golongan yang sebenarnya menjuarai isu-isu besar dalam negara.Mereka dianggap sebagai suara hati rakyat dalam membela nasib dan merungkaikan keperitan hidup golongan marhein. Lantas, mereka telah digelar sebagai juru bicara masyarakat. Setiap denyut nadi masyarakat difahami oleh meraka.
Dalam usaha untuk memperkasa jati diri dan memartabatkan idealisme perjuangan mahasiswa, kebebasan harus diberikan kepada mereka. Mahasiswa seharusnya diberikan kebebasan berfikir, bersuara, menilai dan mengkritik berlandaskan pemahaman, kajian dan ilmu yang dimiliki.Kita menyambut baik usaha pelbagai pihak untuk memberi kebebasan kepada Mahasiswa untuk terlibat dengan pertubuhan luar kampus yang berdaftar tanpa mendapatkan kebenaran Naib Canselor demi memastikan Mahasiswa berada di atas pentas dan kedudukan yang sebenarnya dalam masyarakat.
Justeru, cadangan usul yang sudah lama dibuat untuk meminda Akta Universiti & Kolej Universisti (AUKU) harus disokong dan dipersetujui oleh seluruh pihak.Ramai pihak yang hanya tahu mengkritik anak muda mahasiswa dengan kritikan yang cukup pedas berkenaan dengan kerencaman sosial dan budaya hedonisme yang melanda mereka, tetapi tidak langsung memikirkan usaha yang sepatutnya dilakukan mereka dengan memberikan hak dan kebebasan bagi mengembalikan jati diri dan memperkukuh semangat juang Mahasiswa demi kepentingan negara. Lantaran,menerusi kehebatan penampilan, pemikiran, pengorbanan dan keberanian boleh dijadikan sebagai Ikon dan contoh kepada masyarakat dan remaja lain.Maka disitu akan terbit perubahan dikalangan remaja untuk berubah dari hanya suka berfoya-foya dengan budaya hedonisme kepada remaja yang berfikiran kritis dan memiliki jati diri yang cemerlang. Sedar atau tidak suara gelombang mahasiswa masih gagal dibangkitkan setelah hampir empat dekad mahasiswa dilanda kelesuan dan mimpi indah.
Apa yang harus diakui, Mahasiswa adalah komponen terpenting dalam masyarakat yang harus gagah dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan demi negara yang kita sayangi, serta berperanan dalam mewaraskan isu-isu yang gawat. Namun persoalannya adakah perjuangan Mahasiwa pada masa ini masih relevan? dan adakah kita mampu memiliki pemimpin negara yang hebat pada masa akan datang sekiranya Mahasiswa masih lagi dididik untuk menjadi robot suruhan dan budak pinggiran?
Saturday, October 20, 2007
Auku harus dipinda
Posted by Faisal Aziz on 7:21 AM
0 comments:
Post a Comment