Tuesday, December 11, 2007

Hindraf : Dakwaan Yang Memerlukan Penjelasan



Dalam perkembangan sejarah sebelum merdeka, kaum India telah dibawa oleh pihak British untuk berkhidmat di ladang-ladang getah milik mereka. Setelah sekian lama mereka menetap di Tanah Melayu, sebahagian mereka telah menyesuaikan diri dengan budaya dan cara hidup di sini sehingga pada ketikanya, mereka enggan untuk dibawa pulang ke India apabila ditawar British. Mengapa? Hal ini ekoran dari kemewahan dan kesenangan hidup yang dikecapi oleh mereka di sini yang dimana ianya sukar untuk diperolehi di tanah asal mereka.

Maka untuk menyelesaikan permasalahan ini, pihak British telah mengemukakan pelbagai pendekatan termasuk perjanjian antara kaum yang dikenali sebagai kontrak sosial bagi memastikan masyarakat India memperoleh hak untuk terus menetap di Tanah Melayu. Jikalau kita menelusuri sejarah kontrak sosial ini, dua bentuk persetujuan telah dicapai antara bangsa Melayu dan kaum bukan Melayu. Pertama, kaum bukan Melayu hendaklah menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah pewaris Tanah Melayu, maka warisan Melayu seperti agama Islam, bahasa Melayu, tanah-tanah orang melayu dan hak-hak untuk memerintah negeri Melayu hendaklah dipelihara, dijamin dan dikekalkan selepas kemerdekaan dicapai.

Perjanjian yang kedua ialah orang Melayu bersetuju i) bahawa tiap-tiap penduduk Tanah Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum merdeka hendaklah diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu menerusi undang-undang secara automatik, ii) hak budaya kaum lain termasuk bahasa dan agama mereka dipelihara iaitu tidak dihapuskan, iii) orang melayu bersetuju berkongsi dengan kaum-kaum bukan Melayu dalam aspek pemerintahan.




Kontrak sosial yang menjadi salah satu tunjang kepada kemerdekaan harus
dipertahankan.


Maka persetujuan ini telah diletakkan sebagai isi kandungan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Perkara 153 yang menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu termasuk peribumi Sabah dan Sarawak dalam bidang pendidikan (seperti biasiswa, kemudahan latihan dan kuota tempat di institusi pendidikan awam), perkhidmatan awam (kuota dalam pengisian jawatan), bidang ekonomi dan perniagaan (kuota dalam pemberian permit dan lesen) dan hak Melayu dalam tanah rizab.

Pada hakikatnya, prinsip yang meliputi kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu tidak boleh disentuh, dicabar atau dijadikan bahan permainan termasuk dalam Parlimen. Menurut Akta Hasutan 1948, tindakan seperti membentangkan draf cadangan pindaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen sudah dianggap sebagai “menghasut” dan bersalah di sisi undang-undang.

Hasil daripada penerimaan hak istimewa orang Melayu inilah kaum lain memperolehi kerakyatan sebagai warganegara Malaysia dan tidak dihantar pulang ke negara asal mereka.

Maka dakwaan pihak Hindu Right Action Force atau Hindraf tentang diskriminasi dan kesengsaraan hidup yang dialami mereka sepanjang menetap di bumi Malaysia jelas menyimpang dari kebenaran sejarah. Sejarah menunjukkan nenek moyang mereka sendiri yang bersungguh-sungguh mahu menetap dan berzuriat di bumi yang serba mewah ini. Namun demikian, ada pihak yang sengaja mewujudkan kontroversi dengan menyatakan bahawa kontrak sosial itu dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan tidak lagi releven pada masa kini. Jikalau dilihat, sekiranya pemimpin India terdahulu tidak memperakui hak istimewa orang Melayu, sudah tentu mereka tidak akan memperolehi hak untuk terus tinggal di sini. Maka sebahagian masyarakat India kini yang mempertikai relevensi kontrak sosial tersebut pasti tidak akan lahir di sini.

Dalam masa yang sama, tuduhan bahawa berlakunya pembersihan etnik atau “etnic cleansing” ke atas kaum India juga tidak berasas. Saya bersetuju dengan pandangan Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar yang menyatakan bahawa golongan yang menggunakan perkataan tersebut perlu benar-benar memahami konotasi dan tafsiran kepada perkataan itu yang dimana pembersihan etnik itu dilakukan bagi memastikan sesuatu bangsa terus lenyap dari muka bumi. Contoh jelas adalah sepertimana yang dilakukan oleh tentera Serbia ke atas rakyat Bosnia dan situasi tersebut masih belum dapat dilihat berlaku di Malaysia khususnya ke atas kaum India.



Sementara itu, dakwaan mereka bahawa kaum India adalah kaum yang amat jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum Melayu dan Cina amat bertentangan dengan fakta. Berdasarkan statistik ekonomi yang dikeluarkan pihak kerajaan, ianya jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang baik malah lebih baik dari kaum Bumiputra. RMK-7 sendiri menunjukkan betapa pertumbuhan pesat pada beberapa tahun lalu telah menyebabkan bertambah besarnya jurang di antara kumpulan-kumpulan tertentu. Berdasarkan kepada RMK-7, jurang di antara Bumiputra dengan kaum India telah meningkat daripada 1:1.29 dalam tahun 1990 kepada 1:1.35 dalam tahun 1995. Dalam masa yang sama, jurang antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina juga telah meningkat daripada 1:1.74 dalam tahun 1990 kepada 1:1.81 dalam tahun 1995. Seterusnya, jurang di antara isi rumah desa yang majoritinya Bumiputra berbanding dengan isi rumah di bandar juga meningkat dari 1:1.7 dalam tahun 1990 kepada 1:2.0 dalam tahun 1995.

Sementara itu, berdasarkan statistik purata pendapatan isi rumah bulanan pada tahun 2004 juga jelas menunjukkan kaum India berada pada tahap yang lebih baik berbanding kaum Bumiputra. Statistik tersebut menunjukkan purata pendapatan bagi kaum Bumiputra berada di tangga tercorot dengan jumlah pendapatan sebanyak RM 2,711 berbanding kaum India yang memperlehi pendapatan sebanyak RM 3,456 dan India sebanyak RM 4,437.

Dalam pada itu, statistik peratus kemiskinan mengikut kaum yang dikeluarkan pihak kerajaan juga menunjukkan perkara yang sama. Berdasarkan statistik 2004, peratus kemiskinan Bumiputra yang berdaftar berada pada tahap tertinggi dengan peratusan sebanyak 8.3% berbanding kaum India sebanyak 2.9% dan Cina sebanyak 0.6%. Maka fakta ekonomi dari tahun 1990 sehingga kini menunjukkan bahawa paras ekonomi masyarakat India beada pada kedudukan yang semakin baik. Sebaliknya kaum Bumiputralah kaum yang paling jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Maka pada hakikatnya, mereka perlu bersyukur dan berterima kasih kepada nenek moyang mereka yang tegas untuk menjadi warga negara Malaysia, jika tidak agak mustahil kaum India di Malayisa dapat menikmati kesenangan hidup yang mereka perolehi sekarang di Malaysia.





Interview with Malaysian IGP

1 comments:

Yudi said...

faizal, saya nak bertanya. Bagaimana hak warga melayu yang menjadi warga negara malaysia? Umpama, orang melayu dari riau Indonesia dayang dan menjadi warga negara malaysia. Apah hak mereka sama dengan orang melayu asli malaysia ataukah sama dengan warga keturunan India atau cina? Kalau boleh, reply ke yudihelfi@gmail.com. Syukran..

 
Photography Templates | Slideshow Software