Thursday, April 17, 2008

Pasca PRU 12 : Isu generasi muda perlu diutamakan

Secara adatnya golongan muda seringkali dikaitkan dengan elemen-elemen yang bersifat negatif seperti jumud, pasif, dan sebagainya. Kehidupan mereka seolah-olah hanya diwarnai oleh pengalaman yang tidak berfaedah, bererti, dan bermanfaat. Benar atau tidak, inilah ukuran yang digunapakai oleh sebahagian besar masyarakat untuk menentukan imej golongan ini. Inilah lumrah pemuda yang disifatkan oleh William Shakespeare sebagai "cold in blood and green in decision" atau berdarah sejuk(berani menanggung risiko) dan mentah dalam membuat keputusan.

Secara umum, dari semasa ke semasa, sememangnya pemikiran generasi muda terlalu unik dan sukar untuk dibaca. Namun, dalam membuat penilaian tentang cara berfikir generasi muda menerusi beberapa siri Pilihanraya Umum yang lalu, keputusan Pilihanraya Umum 2008 ini menunjukkan kelainan generasi muda dalam menggunakan kuasa akaliah.

Pilihanraya yang lalu telah menjadi tunjuk arah tentang keupayaan kelompok ini menggunakan akal serta kepintaran mereka dalam menterjemahkannya untuk merialisasikan apa yang dimahukan mereka. Paling utama, pasca pilihanraya ini jelas menunjukkan masej generasi muda khususnya mahasiswa yang menganggap suatu perubahan besar-besaran itu perlu berlaku.



Jika kita melihat perangkaan daftar pemilih yang berumur di antara 21 tahun ke 29 tahun, jelas memperlihatkan gelombang kesedaran generasi muda ini dalam sosio politik negara. Mengambil contoh beberapa negeri seperi Selangor, Johor, dan Perak, masing-masing mencatatkan angka daftar pemilih yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 214,881 (Selangor), 165,342 (Johor), 156,705 (Perak). Perangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ini telah menunjukkan bilangan keseluruhan pendaftar muda dalam lingkungan umur tersebut di seluruh Malaysia telah mencecah angka satu juta iaitu sebanyak 1,573,096.

Dalam pada itu, suatu revolusi akliah telah mencorak pemikiran golongan ini dalam mendapatkan sumber maklumat. Mereka dilihat telah membezakan diri mereka dengan golongan muda 50-an dan 60-an dahulu serta beberapa zaman selepasnya yang hanya bergantung kepada media yang bersifat tradisi seperti media arus perdana.

Ini dapat dilihat menerusi kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies Malaysia. Kajian yang dibuat dari 20 Februari hingga 5 Mac 2008 tersebut jelas menunjukkan golongan ini mula mencari bahan-bahan alternatif baru sebagai sumber maklumat. Berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 64.5 peratus kelompok dalam lingkungan umur 21 ke 29 tahun lebih mempercayai blog serta media online bagi memperoleh maklumat. Dalam pada itu, sebanyak 23.1 peratus dari mereka bergantung kepada maklumat yang dipaparkan televisyen dan hanya sebanyak 12.4 peratus dari golongan ini yang bergantung kepada surat khabar tempatan.




Sebelum ini, mungkin kita hanya melihat beberapa isu yang melibatkan tuntutan generasi muda sebagai perkara yang remeh. Siri-siri tuntutan yang dibawa mereka khususnya menerusi persatuan pelajar yang menyentuh beberapa aspek seperti AUKU, PTPTN, biasiswa pengajian, pengangguran dan sebagainya dilihat sebegai sesuatu yang tidak akan membuahkan hasil. Akan tetapi ketetapan yang dibuat mereka ini telah menjadi isyarat kepada seluruh masyarakat akan kepentingan suara mereka ini didengari.

Maka, seluruh pihak perlu menilai kembali isu-isu yang melibatkan golongan muda ini sebagai perkara pokok dan perlu diberi keutamaan. Mungkin sebelum ini, sesetengah pihak beranggapan dengan wujudnya kekangan ke atas generasi muda terpelajar seperi AUKU ini mengakibatkan mereka bersifat pasif dan berfikiran tertutup.

Tetapi segala-galanya nyata meleset apabila kita melihat golongan ini sudah tahu menggunakan kuasa yang berada di tangan mereka untuk dijadikan sebagai pentas untuk menyuarakan pandangan. Maka, segala isu yang dibangkitkan generasi muda tidak lagi boleh disifatkan seperti “memukat atau menjaring angin”.

Sebagai kesimpulan, revolusi akliah dan gelombang kesedaran ini harus kita lihat dari sudut yang positif dan perlu diteruskan. Ini kerana seluruh masyarakat bertanggungjawab dalam membentuk golongan muda atau gologan pelapis yang sempurna akhlak dan akal budinya untuk memikul tanggungjawab sebagai pewaris zaman.

Maka, bagi memastikan denyut nadi kelompok ini sentiasa diberi perhatian, pihak pemerintah khususnya harus tangani segala isu yang melibatkan kelompok ini seperti pengangguran, AUKU dan sebagainya dengan komitmen yang tinggi dan bijaksana serta bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

3 comments:

Afham said...

tadi ade baca malaysia today..
kerajaan cuba hidupkan akta AUKU menghalang mahasiswa terlibat di dalam politik.. pe pendapat saudara..

Hasbullah Pit said...

Kenapa catatan blog ini tidak meletakkan tajuk di ruangan tajuk?

Afham said...

biarkan bro sebol bg tajuk..

 
Photography Templates | Slideshow Software