Sunday, December 21, 2008

PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI


Naib Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz(tengah) bersama Exco Pendidikan Abu Qassim Nor Azmi(kanan) ketika menyerahkan Petisyen kepada Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Wee Ka Siong (kiri).


PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI

Rabu, 17 Disember 2008



PKPIM merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Dr Wee Ka Siong selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat PPSMI, yang menyatakan bahawa hasil dari sesi persidangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan bertegas untuk terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang.



Selepas berakhirnya Persidangan Meja Bulat semalam, Naib Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyerahkan “Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI” kepada YB Timbalan Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra (PICC), Putrajaya.


Petisyen tersebut telah berjaya mengumpulkan hampir seribu tandatangan dalam masa 14 hari dari kalangan mahasiswa di seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.


Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu dari pupus ditelan zaman, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunapakai segala saluran yang ada sebagai langkah untuk memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati oleh semua pihak. Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak untuk melangkah lebih jauh lagi sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu.


Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kami sebagai generasi masa hadapan. Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia .


PKPIM turut memandang tinggi ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, PLM, Dong Jiao Zong, dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM akan terus komited dan konsisten memberikan sokongan terhadap usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuangkan nasib bahasa Melayu.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software