Tuesday, December 23, 2008

Melihat PPSMI Dari Sudut Undang-Undang

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman


SEJAK beberapa tahun yang lepas banyak perdebatan dan perbincangan berlangsung tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Di peringkat permulaannya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar, kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menukarkannya ke bahasa Inggeris.

Sekarang pihak kerajaan sedang mengkaji semula perkara ini dan banyak perbahasan telah dan sedang berjalan. Adalah elok bagi kita memfokuskan perkara ini dari sudut undang-undang sebelum pihak kerajaan membuat apa- apa keputusan.

Kegunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada pendapat saya adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi seperti berikut:

Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa:

- (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula menyebut dengan perkara ini "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Perkara-perkara berhubung dengan sistem pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kerajaan melalui kementerian pendidikan adalah bagi 'maksud rasmi' seperti dinyatakan oleh Artikel 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 152 hendaklah dipatuhi oleh kerajaan.

Mengikut sistem pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan adalah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan sebagaimana ternyata oleh seksyen 17 (1) Akta 550 yang berbunyi seperti berikut:

''Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada sub seksyen ini".

Peruntukan seksyen 17(1) Akta 550 adalah sebagai mematuhi kehendak Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut seksyen 18(2) Akta 550, kurikulum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dan beliau sudah pun menetapkan mata pelajaran teras yang menjadi asas utama pendidikan murid di semua sekolah. Sebagaimana ditetapkan, mata pelajaran teras pada peringkat sekolah rendah yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains, Kajian Tempatan dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid bukan Islam.

Pada peringkat sekolah menengah, mata pelajaran teras yang memerlukan bahasa pengantar ialah Matematik, Sains dan Pendidikan Islam bagi murid Islam atau Pendidikan moral bagi murid yang tidak beragama Islam.

Berasas kepada kehendak Artikel 152(1),(6) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi kesemua mata pelajaran teras yang tersebut diajar di semua sekolah menggunakan bahasa pengantar utama iaitu bahasa Melayu. Tetapi sebagaimana kita tahu sekarang mata pelajaran Matematik dan Sains adalah diajar dalam bahasa Inggeris.

Adalah jelas bahawa sudah ada pelanggaran undang-undang iaitu apabila seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi.

Mungkin ada pihak yang menghujah bahawa mata pelajaran teras yang disenaraikan dalam Jadual mengikut seksyen 18 Akta 550 itu bukanlah mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu) pada keseluruhannya.

Pada mereka sebahagian besar daripada mata pelajaran teras sudah mencukupi, untuk mematuhi syarat, tetapi itupun sudah ada pelanggaran seksyen 17 (1) Akta 550 juga.

Ini kerana bagi kurikulum sekolah rendah, mata pelajaran yang memerlukan bahasa pengantar ialah dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris dan dua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu.

Maknanya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris manakala kajian tempatan dan pendidikan Islam dalam bahasa Melayu.

Ini adalah nyata bahawa tidak sebahagian besar dari mata pelajaran teras diajar dalam bahasa pengantar utama (Bahasa Melayu). Bagi sekolah menengah pula, dua mata pelajaran iaitu Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, dan satu mata pelajaran sahaja iaitu pendidikan Islam dalam bahasa Melayu. Ini adalah lebih jelas bahawa seksyen 17 (1) Akta 550 tidak dipatuhi dan adalah salah di sisi undang-undang.

Kesimpulannya kegunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perkara itu mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan meja bulat PPSMI hari ini.

Monday, December 22, 2008

PPSMI, ugutan ke atas Hishammuddin mesti berterusan

HARAKAHDAILY

Ali Bukhari Amir
Sun | Dec 21, 08 | 11:37:41 pm MYT

Prof Dr Abu Bakar Abdul Hamid terdiam sebentar sejurus mendengar lafaz Dr Abdul Latiff Abu Bakar pada 19 Disember lalu di dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban dan Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu.
Iklan

Dr Abdul Latiff, mungkin oleh kerana terlalu lama memendam rasa, beliau mengeluarkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Suasana menjadi tenang untuk seketika. Maka, cabaran Pena yang meminta supaya Gapena menjelaskan pendiriannya berhubung PPSMI ini telah pun selesai untuk pusingan pertama. Hadirin semakin jelas dan faham.

Hanya tinggal beberapa persoalan lagi yang masih berlegar di fikiran para peserta forum itu. Walaupun jumlah hadirin sekitar 40 orang, namun jumlah yang kecil ini bukan suatu hal yang boleh dipermain-mainkan.

Setidak-tidaknya sudah ada saling cabar-mencabar antara Gapena dan Kumpulan Prihatin yang disifatkan sebagai pertubuhan yang longgar kerana tak didaftarkan secara sah. Tapi, inti semangat perjuangan Kumpulan Prihatin tak boleh dipandang rendah kerana landasan wadah ini menempatkan golongan cendekiawan universiti.

"Untuk pengetahuan semua," dalam nada suaranya yang rendah Dr Abu Bakar menyebut, "ada sebuah persatuan muda yang masih bergiat cergas dalam urusan membantah PPSMI ini. Nama persatuan itu ialah PKPIM."

"Tempoh hari, mereka ada buat program di Kuantan. Malangnya, saya seorang saja yang hadir dari Kuala Lumpur.

"Mereka juga ada membuat bantahan di internet tentang PPSMI ini. Jadi, saudara semua boleh war-warkan kepada semua orang agar sejuta tandatangan boleh dihimpunkan," kata beliau lagi.

"Boleh ulang sekali lagi laman web tu?" Dato' Dr Firdaus Abdullah mencelah dari bawah pentas forum. Dia kelihatan sedang mencatatkan sesuatu.

"http://www.pkpim.net," ujar Dr Abu Bakar dengan ringkas.

"Saya tak tahu pun tentang perjumpaan di Kuantan itu," Dr Abdul Latiff menoleh ke arah Prof Abu Bakar Abdul Hamid. "Kalau saya tahu, saya pun akan pergi.."

Bantahan di Putrajaya

16 Disember lalu persidangan meja bulat mengenai PPSMI dilakukan antara Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Dr Wee Ka Siong bersama pertubuhan pelajar itu.

Seperti biasa, Dr Wee Ka Siong berkata bahawa hasil persidangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ayat-ayat klise yang diberikan ini tentunya memenatkan. Tapi, hanya itulah yang mampu dilakukan buat sementara ini. Tetapi, ada sedikit ketegasan oleh Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz.

"Kami dengan tegas, terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang," kata beliau selepas menyerahkan 'Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI' kepada Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.

Bantahan itu, menurutnya, telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 tandatangan dalam tempoh 14 hari dalam kalangan mahasiswa seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.

Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu, katanya, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunakan segala saluran yang ada sebagai langkah bagi memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati semua pihak.

Ugutan pertubuhan pelajar

"Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak melangkah lebih jauh sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu," kata beliau.

Cara Dr Abdul Latiff agak kemas dan bernada serius apabila beliau menyebutkan tarikh 15 Mac sebagai tanda amaran kepada Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein.

Hanya, anjakan tarikh itu sepatutnya diawalkan dan janganlah terlalu dekat kepada tarikh Perhimpunan Agung Umno. Bukankah ugutan ini berasal daripada ahli akademik? Tidak perlulah diambil perhitungan sangat dengan tarikh yang ada kaitan dengan politik.

Selepas tarikh itu, kata Dr Abdul Latiff, beliau dan rakan-rakannya akan meminta menteri meletak jawatan. Jika ugutan, maka sebaik-baiknya 40 hari atau sebulan saja. Tiga bulan itu, akan menyebabkan menteri pelajaran tidak terasa sangat kesan ugutannya.

Namun, ugutan PKPIM itu tidak disertakan pula dengan tarikh ajal kepada Hishammudin itu. Apa-apa pun.. sekalung tahniah dan penghargaan dilafazkan kerana persatuan pelajar itu telah cuba melakukan segala yang terbaik setakat ini.

"Kesan dasar ini tidak dirasai pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya tanggung oleh generasi masa hadapan. Maka, perjuangan ini adalah tanggungjawab yang wajib digalas seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan Malaysia.

"PKPIM turut memandang tinggi kepada ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Dong Jiao Zong, dan sebagainya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Faisal berkata, PKPIM akan terus memberikan sokongan ke atas usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuang nasib bahasa Melayu.

http://bmppsmi.blogspot.com

11:09 p.m, 21 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Guru-guru di seluruh Malaysia yang mengajar Sains dan Matematik dalam BI digalakkan mengirim saranan dan bantahan ke mel-e ibnuamir@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya dengan subjek PPSMI.

Sunday, December 21, 2008

PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI


Naib Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz(tengah) bersama Exco Pendidikan Abu Qassim Nor Azmi(kanan) ketika menyerahkan Petisyen kepada Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Wee Ka Siong (kiri).


PKPIM TETAP BANTAH DASAR PPSMI

Rabu, 17 Disember 2008



PKPIM merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Dr Wee Ka Siong selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat PPSMI, yang menyatakan bahawa hasil dari sesi persidangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan bertegas untuk terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang.



Selepas berakhirnya Persidangan Meja Bulat semalam, Naib Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyerahkan “Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI” kepada YB Timbalan Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra (PICC), Putrajaya.


Petisyen tersebut telah berjaya mengumpulkan hampir seribu tandatangan dalam masa 14 hari dari kalangan mahasiswa di seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.


Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu dari pupus ditelan zaman, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunapakai segala saluran yang ada sebagai langkah untuk memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati oleh semua pihak. Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak untuk melangkah lebih jauh lagi sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu.


Kesan dari dasar PPSMI ini tidak akan dirasai oleh generasi pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya akan ditanggung oleh kami sebagai generasi masa hadapan. Maka, perjuangan untuk menolak dasar PPSMI ini merupakan tanggungjawab yang wajib digalas oleh seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan negara Malaysia .


PKPIM turut memandang tinggi ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, PLM, Dong Jiao Zong, dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM akan terus komited dan konsisten memberikan sokongan terhadap usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuangkan nasib bahasa Melayu.

Friday, December 19, 2008

35 warga Thailand kunjungi PKPIM

18 Disember 2008, Khamis

Seramai 35 orang warga Thailand telah mengunjungi Sekretariat PKPIM Pusat pada pukul 2.00 petang tadi bersempena dengan program lawatan selama tiga hari ke Malaysia . Program yang dianjurkan oleh Young Muslim Association of Thailand (YMAT) itu telah menghimpunkan ramai keluarga mangsa ketika insiden pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisik, Pattani empat tahun yang lalu.

Dalam insiden yang berlaku pada 28 April 2004 itu, beratus-ratus penduduk Islam di selatan bertindak menawan masjid tersebut dan pihak berkuasa telah membunuh 107 penduduk yang dipercayai anggota puak pemisah dalam serbuan balas.

Peristiwa itu dianggap pencetus kepada kebangkitan semula pejuang pemisah di wilayah didominasi oleh penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. Penduduk di wilayah itu mendakwa mereka dilayan sebagai warga kelas kedua oleh kerajaan yang dikuasai oleh penduduk beragama Buddha.

Menurut pengarah program Wan Abdul Rahman Wan Hussein, lawatan tersebut bertujuan untuk mempererat hubungan rumpun Melayu Muslim Malayisa-Thailand disamping mengeratkan lagi persefahaman yang terjalin antara PKPIM dan YMAT. Dalam pada itu, program tersebut juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman, gerak kerja, dan cabaran yang dilalui oleh gerakan Islam di Malaysia.



Dalam majlis kunjungan hormat tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah membentangkan satu persembahan multimedia yang bertajuk “Hala Tuju Gerakan Pelajar Islam”. Persembahan tersebut telah menerangkan beberapa sudut yang menjadi tunjang kepada gerakan dakwah di Malaysia yang mencakupi aspek visi dan method aktivism.



Dalam perkembangan berkaitan, wakil Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Najmuddin Nawi turut terlibat dalam sesi penerangan bersama semua tetamu yang hadir. Majlis yang telah dipengerusikan oleh Akmal Afiq itu turut melibatkan dua orang wakil kementerian Thailand yang datang sebagai mewakili pihak kerajaan.

Wednesday, December 17, 2008

Perhimpunan Agung UMNO : Apa yang Agung?



Saya masih teringat hikayat yang diceritakan kepada saya tentang sorakan kuat yang menggegar dewan sempena Perhimpunan Agung UMNO dahulu. Tidak kurang juga sokongan padu seluruh perwakilan kepada semua barisan pimpinan membuktikan keterampilan yang ada pada diri mereka.

Namun, segalanya berlalu... zaman keemasan iaitu era Mahathir-Anwar sudah mustahil untuk diganti. Mahathir terkenal dengan wawasan yang jelas dan pengaruh antarabangsa. Pelbagai gelaran dicanang kepada beliau membuktikan sifat kepahlawanan. Tidak kurang juga Anwar yang berpengaruh di kalangan NGO dan dunia Arab serta mahasiswa. Penglibatan beliau dalam gerakan pelajar (Presiden PKPIM), NGO (Presiden Abim)dan hubungan rapat beliau dengan tokoh barat dan Islam menjanjikan pemimpin perwira akan menggantikan pemimpin berkepahlawanan.

Kini segala-galanya hampa...sebelum perhimpunan lagi Presiden UMNO sudah mengibarkan bendera putih mengaku kalah kepada timbalannya yang lemah dari aspek susur galur aktivisme dan pemikiran.

Untuk tontonan umum saya muatkan Video khas Pidato Anwar ketika Perhimpunan Agung UMNO dahulu...Untuk kenang-kenangan


Perhimpunan Agung Umno ' 97 - Anwar Ibrahim - Click here for the funniest movie of the week

Tuesday, December 2, 2008

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI



PETISYEN ONLINE

Klik Petition Online di atas untuk menyatakan sokongan.

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan yang berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam pada itu, pelaksanaan dasar PPSMI yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah
menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan
oleh Menteri daripada subseksyen ini”

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin Melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.

Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia:

• Mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains
dan Matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.
• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.
• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang
yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.
• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang
diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.

Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Gerakan Anti PPSMI (GAP)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
www.pkpim.net
spp@pkpim.net

 
Photography Templates | Slideshow Software