KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
29 September 2010
PERHALUSI DASAR PEMBAYARAN PTPTN MELALUI POTONGAN GAJI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada laporan baru-baru ini bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan dasar potongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjaman yang gagal melunaskan bayaran tertunggak mulai Jun tahun hadapan.
PKPIM berpandangan bahawa dasar pemotongan gaji berkenaan seharusnya diperhalusi dan dikaji sedalam-dalamnya dengan mengambil beberapa pertimbangan sebelum ianya dilaksanakan secara mengejut.
Bagi PKPIM dasar yang dibuat ini tidak seharusnya memukul rata seluruh siswazah dengan dikenakan secara wajib kepada semua serta pada kadar yang sama memandangkan setiap siswazah mempunyai latar belakang kewangan dan gaji yang berbeza. Maka, pihak kerajaan seharusnya menetapkan kadar gaji minima yang layak untuk dipotong terlebih dahulu sebelum sebarang pemotongan dibuat.
Dalam pada itu, pemotongan juga harus dibuat setelah melihat kondisi keperluan kewangan siswazah terutama mereka yang berasal dari keluarga yang susah. Hakikat bahawa terdapat siswazah yang terpaksa menghulurkan lebih dari separuh dari gaji mereka untuk menyara keluarga adalah satu fenomena yang kita tidak boleh nafikan.
Maka, golongan yang berhadapan dengan situasi kewangan yang merumitkan berkenaan seharusnya diberikan pengecualian dari dasar pemotongan gaji tersebut memandangkan mereka ini boleh dikatakan termasuk dalam golongan yang berpendapatan di bawah paras minima.
Namun, PKPIM secara dasarnya bersetuju dengan dasar baru ini tetapi ia harus disusuli dengan kesediaan pihak PTPTN sendiri untuk menghapuskan sebarang bentuk caj bunga termasuk caj perkhidmatan pada kadar satu peratus. Ini memandangkan terdapat di kalangan siswazah yang terbeban membuat pembayaran ansuran secara bulanan hanya untuk membayar kadar caj bunga tanpa mengurangkan walau sedikit jumlah hutang sebenar.
Justeru, bagi memastikan pembayaran semula PTPTN dibuat secara penuh, gaji siswazah ini tidak seharusnya dibebankan hanya untuk membayar kadar caj faedah semata-mata. Maka, jumlah bayaran yang dibuat siswazah nanti tidak akan hanya disia-siakan untuk membayar “harga tali lembu dari harga sebenar seekor lembu”.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menegaskan bahawa dasar baru berkenaan juga seharusnya diberikan penerangan yang jelas kepada umum khususnya kepada semua peminjam bagi mengelak timbulnya sebarang bentuk salah faham antara peminjam dan PTPTN yang akan menyebabkan beberapa masalah susulan berlaku.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Tuesday, September 28, 2010
PERHALUSI DASAR PEMBAYARAN PTPTN MELALUI POTONGAN GAJI
Posted by Faisal Aziz on 8:08 PM
0 comments:
Post a Comment