Thursday, September 9, 2010

PERUTUSAN PRESIDEN PKPIM SEMPENA AIDILFITRI 1431 H



Assalamualaikum Warahmatullah

Allahuakbar… Allahuakbar… Allahuakbar…Firman Allah swt

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Alhamdulillah, segala syukur kita angkat hanya kepada Allah, Selawat dan salam ke atas nabi junjugan besar Rasulullah Sallahu’alaihi wassalam, juga kepada sahabat-sahabat baginda dan kepada mereka yang memperjuangankan agama Allah di muka bumi ini.

Kepada Allah SWT sekali lagi kita sembahkan pujian dan syukur kepada Allah kerana telah memberi keizinan kepada kita untuk mendampingi Ramadhan di samping meraikan keagungan Syawal pada tahun ini. Kali ini kita telah melepasi Madrasah Ramadhan buat kesekian kalinya, di mana sepanjang Ramadhan suatu ujian tahunan telah diatur Allah buat hambanya bagi memperbaharui komitmen, naluri dan semangat Islamiyyah khusus buat mujahidin yang terus berdiri dalam lapangan gerakan Islam. Tahap mujahadah kita selepas ini merupakan cerminan kepada tahap kesempurnaan pengabdian dan pengorbanan kita dalam madrasah ini.

Dalam memperbaharui mujahadah, seharusnya kita sedari bahawa sebagai gerakan Islam seperti PKPIM, kita tidak mampu memikul sebanyak ahli yang pasif yang hanya kekal pada nama, kerana keanggotaan dalam sesebuah gerakan Islam ialah secara amali, anggota yang dapat melambangkan ciri-ciri keislaman, satu keperibadian tersendiri sebagai pendokong agama Allah. Baca Lagi..

Sementara itu, pastinya Ramadhan kita akan menempuhi kerumitan dan hambatan seandainya tasawwur (worldview) Ramadhan kita sempitkan. Justeru, kemenangan itu bukan saja zahir kepada kemenangan mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara terlarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu yang disebut “Eid al-Fitr”.

Kalimat ‘al-fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia untuk kembali kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya mereka yang disebut sebagai ahli al-fitrah ini dianggap bersih daripada sebarang dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Sebaik saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan amal seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda untuk menzahirkan kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Di hari yang mulia ini juga, semoga ikatan persaudaraan Ukhuwwah fillah sesama kita akan senantiasa diperbaharui serta mampu untuk dibulatkan usaha bersama ke arah melaksanakan taklifan berat ini dengan mempertemukan titik temu dalam kalangan aktivis Islam merentasi jurang perbezaan fahaman, idologi, pendirian, bangsa dan lain-lain lagi.

Semoga dengan transformasi mujahadah dan ghayah, generasi kita akan diangkat sebagai golongan yang menduduki martabat reformis untuk mengambalikan kekuatan umat Islam sebagaimana tertonjolnya generasi terdahulu yang hebat di usia mudanya, seperti Panglima Tariq Bin Ziyad, Sultan Salahuddin Ayubi, serta Sultan Muhammad Al-Fatih.

Akhir kalam, di kempatan ini juga saya mewakili saff pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada Seluruh Pelajar Islam di Malaysia, pimpinan Badan Gabungan Negeri PKPIM, pimpinan PKPIM di peringkat kampus, dan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Allahuakbar..Allahuakbar.. Allahuakbar.....

"Hidup Biar Berjasa"


Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz

Presiden PKPIM 2010/2011

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software