Tuesday, February 22, 2011

Lawatan Kerja PKPIM & PEPIAT ke Selatan Thailand




Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam malaysia (PKPIM) telah mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Selatan Thailand yang meliputi beberapa wilayah utama iaitu Yala, Pattani, Narathiwat, dan Tak Bai bermula pada 17 Februari 2011 hingga 20 Februari 2011.

Lawatan disertai oleh Setiausaha Agung PEPIAT Muhammad Faisal Abdul Aziz yang juga merupakan Presiden PKPIM, Timb SUA PEPIAT, Ahmad Fahmi Samsudin yang merupakan juga Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Timb HEWI 1- Fatin Nur Majdina Nordin, Timb HEWI 2 - Siti Nur Sakinah Ahmad Budiman, PSUA 2 - Mohd Shahril Effendi Mohd Yunus, Ahmad Afif Ahmad Mohtari Yasim (Exco Pendidikan PKPIM), dan Atiqah Syairah Shaharuddin (Exco Latihan & Pembangunan).

Lawatan kerja yang turut melibatkan agenda Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) ini dimulakan dengan progam latihan kepimpinan khusus untuk anak Yatim di bawah jagaan Badan Kebajikan & Anak Yatim Tabal (AYATA) di Ma’had Nuruddin, Tak Bai.

Agenda lawatan diikuti dengan kunjungan hormat anggota Dewan Pelajar, pensyarah, dan pihak pentadbiran Universiti Princess of Narathiwat. Dalam kunjungan yang amat positif berkenaan, pimpinan pelajar universiti saling bertukar pandangan bersama PKPIM berhubung beberapa isu dan permasalahan pelajar Islam di sana.

Selepas selesai kunjungan hormat, PKPIM dibawa bertemu dengan Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (FEHRD) dan anggota kakitangan. Pertemuan yang kesekian kali tersebut telah memutuskan beberapa persetujuan antaranya termasuk meneruskan produk antarabangsa PKPIM iaitu siri program “English Camp” khusus buat anak-anak yatim Selatan Thailand.


Bersama FEHRD, PKPIM berkesempatan bertemu beberapa warga Muslim yang hidup dalam keadaan terlalu daif dan menyedihkan akibat kehilangan anggota keluarga ekoran menjadi mangsa kepada operasi ketenteraan Thailand.

Lantaran, PKPIM & PEPIAT bersetuju untuk mengusulkan kepada kedutaan Thailand supaya ditarik balik perintah Darurat serta pelaksanaan Undang-undang Tentera di wilayah berkenaan.

Siri lawatan diakhiri dengan pertemuan bersama pihak pentadbir dan pimpinan pelajar Universiti Islam Yala dan diikuti dengan ziarah Masjid Kerisik. PKPIM dan PEPIAT berharap agar isu Selatan Thailand ini sentiasa menjadi agenda utama kita khususnya umat Islam Malaysia untuk bersama-sama membangunkan masyarakat Islam di sana.

Sekalung penghargaan dirakamkan buat beberapa institusi seperti AYATA dan FEHRD yang sudi menerima kunjungan PKPIM di sana.

 
Photography Templates | Slideshow Software