KENYATAAN MEDIA
6 Februari 2011
PKPIM MINTA KERAJAAN TURUT BERSEDIA UNTUK BANTU PELAJAR MALAYSIA DI NEGARA ARAB LAIN
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada usaha yang dijalankan kerajaan untuk mengeluarkan kesemua pelajar Malaysia di Mesir sebagai jalan untuk menyelamatkan mereka akibat dari pergolakan yang berlaku.
PKPIM meminta kerajaan untuk turut menyediakan satu pelan khas sebagai persediaan untuk menyelamatkan pelajar Malaysia yang berada di beberapa negara Arab lain seperti Syria, Jordan, Yaman, termasuk Arab Saudi.
Faktor desakan ini adalah memandangkan berlandaskan kajian dan teori politik di Timur Tengah, pergolakan politik ini tidak akan berakhir di Mesir sebaliknya akan merebak ke rantau negara Arab yang lain.
PKPIM juga merujuk kepada pandangan yang dikeluarkan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Dr Redzuan Osman yang menyatakan Yaman adalah antara negara Arab yang berkemungkinan besar akan berlaku pergolakan “besar-besaran” selepas Mesir dan Tunisia.
Sementara itu, PKPIM juga menyifatkan pergolakan yang berlaku di Mesir adalah merupakan satu kebangkitan rakyat Arab Timur Tengah kearah pemulihan demokrasi setelah sekian lama rantau Arab dikongkong pemimpin diktator yang pro kepada Amerika.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengalu-alukan usaha yang dilakukan kerajaan khususnya pihak Wisma Putra yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab menyelamatkan pelajar kita di Mesir. ..
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
0 comments:
Post a Comment