Wednesday, March 16, 2011

ISU Al-KITAB: PKPIM ANJUR GERAKAN KEMPEN KESEDARAN IJTIMA’I


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

17 Mac 2011/ 12 Rabiul Akhir 1432


ISU Al-KITAB: PKPIM ANJUR GERAKAN KEMPEN KESEDARAN IJTIMA’I


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konflik agama yang kian hangat dibicarakan dalam media hari ini berhubung dengan terjemahan Bible atau Al-Kitab ke dalam bahasa Kebangsaan yang masih berada di landasan buntu.


PKPIM menyedari terdapat kerisauan dalam kalangan sebilangan masyarakat Islam berhubung perkara berkenaan lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan agenda Kristianisasi terhadap generasi muda Melayu.


Namun, PKPIM secara tegas menyeru agar seluruh pihak berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain berhubung perkara sedemikian memandangkan agenda Kristianisasi ini berlaku disebabkan kegagalan kita sendiri dalam mempersiap satu generasi yang kukuh pegangan aqidah dan jelas tasawwur Islam.


Lantaran itu, PKPIM mengambil inisiatif melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima’I (GKKI) yang membawa tema Islam Warnai Hidupku secara besar-besaran sebagai satu tindakan responsif terhadap krisis yang berlaku ini.


Tujuan utama pelancaran GKKI-PKPIM adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan yang berlaku berikutan implikasi Al-Kitab terhadap Islam dan masyarakat umum.


GKKI-PKPIM yang akan dianjurkan pada 19-20 Mac 2011 ini di Masjid Taman Melati, Gombak ini akan turut dianjurkan di beberapa daerah, negeri dan kampus menerusi cawangan PKPIM yang wujud di kawasan berkenaan.


Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyanggah pandangan beberapa pihak yang membantah Bible dari diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan memandangkan Bahasa Melayu secara umum sudah diterima sebagai bahasa kebangsaan untuk semua tanpa mengira kelompok bangsa atau agama.


Dalam masa yang sama, bahasa kebangsaan ini juga merupakan satu-satu bahasa yang difahami sebilangan masyarakat Kristian di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


Namun, PKPIM konsisten dengan pendirian untuk menentang beberapa istilah dari diguna pakai seperti Kalimah Allah, Solat, dan sebagainya memandangkan wujud pelbagai istilah lain dalam bahasa Melayu yang boleh digunakan serta mendesak kerajaan agar menghadkan pengedaran Bible tersebut dari masuk ke semenanjung Malaysia.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software