Wednesday, March 23, 2011

VEDEO SEKS: PKPIM GESA MASUKKAN ELEMEN QAZAF DALAM KANUN KESEKSAAN

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

23 MAC 2011 / 18 RABIULAKHIR 1432 H

VEDEO SEKS: PKPIM GESA MASUKKAN ELEMEN QAZAF DALAM KANUN KESEKSAAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada isu panas yang melibatkan konspirasi Datuk "T" untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang pemimpin pembangkang menerusi pendedahan klip vedeo seks baru-baru ini.

PKPIM berpandangan pertuduhan dengan cara sedemikian tidak sah memandangkan ia dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan undang-undang Syariah.

Hal ini kerana dakwaan sedemikian adalah sesatu yang cukup berat untuk ditanggung oleh tertuduh memandangkan ia melibatkan harga diri, maruah, dan air muka individu berkenaan. Lantaran itu, disebabkan faktor berkenaan Islam telah menggariskan prosedur khusus dengan mensyaratkan empat orang saksi yang adil yang benar-benar melihat aksi sedemikian seperti melihat masuknya celak ke dalam penutupnya dan bukan dengan hanya sekadar menonton video yang samar-samar hitam putih.

Dalam pada itu, dalam jenayah seperti hudud, pembuktian seharusnya dibuat bukan sekadar menjangkaui keraguan munasabah, tetapi menjangkaui sebarang bayang-bayang keraguan untuk memastikan tertuduh benar-benar bersalah dan bagi mengelakkan sebarang bentuk kezaliman kepada tertuduh.

Namun, dalam perkembangan politik semasa, prinsip memelihara kemuliaan insan, maruah dan harga diri individu seringkali diabaikan apatah lagi ia dianggap sebagai senjata yang paling ampuh untuk menjatuhkan seseorang.

Maka, demi memastikan agar prinsip ini terus subur dalam masyarakat, PKPIM menggesa agar eleman Qazaf yang mengenakan hukuman berat kepada penuduh jika gagal membawa empat orang saksi yang adil dimasukkan dalam Kanun Keseksaan supaya masyarakat kita akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan yang melibatkan maruah seseorang.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM bimbang situasi sedemikian akan meletakkan masyarakat berada dalam keadaan terumbang ambing dan hilang kredibiliti untuk menjadi masyarakat contoh. Hal ini berlaku apabila senjata ini sudah dibudayakan setiap kali apabila berlaku pertelingkahan.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

PRESIDEN

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA

1 comments:

Panglima Hikayat said...

Sewajarnya begitu, disokong.

 
Photography Templates | Slideshow Software