Friday, May 27, 2011

HIMPUNAN 1 JUTA BELIA: PKPIM GESA BAWA KEMPEN 1 BELIA 1 NGO


KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

28 MEI 2011 / 24 JAMADLAKHIR 1432 H

HIMPUNAN 1 JUTA BELIA: PKPIM GESA BAWA KEMPEN 1 BELIA 1 NGO

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada program Himpunan 1 Juta Belia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya pada 28 Mei 2011 bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara.

PKPIM mengalu-alukan usaha baik pihak kerajaan dalam menganjurkan program seumpama itu sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada golongan belia seluruh negara.

Namun, PKPIM merasakan setelah lebih lima dekad usia negara, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memupuk kesedaran kepada golongan belia akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam mencorak hala tuju dan menggerakkan dasar utama negara.

Situasi hari ini amat mendukacitakan apabila statistik menunjukkan seramai 8.2 juta belia berusia antara 15 dan 40 tahun telah dikenal pasti masih belum berpersatuan walaupun terdapat 7,914 persatuan belia berdaftar di seluruh negara.

Statistik ini membawa petunjuk bahawa sebilangan besar dari komposisi belia di Malaysia masih memencilkan diri dari terlibat aktif dalam menjadi nadi penggerak kepada hala tuju dan dasar kebangsaan.

Justeru, PKPIM menggesa agar pihak kerajaan melancarkan dan memperhebat kempen “1 Belia 1 NGO” bagi memastikan golongan belia berperanan sebagai pemangkin agenda negara menerusi sekurang-kurangnya satu platform persatuan.

Dalam pada itu, PKPIM juga menggesa agar himpunan 1 juta belia ini dijadikan pentas untuk memperhebat kempen daftar mengundi bagi menyedarkan sebilangan belia yang masih belum berdaftar sebagai pemilih.

Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan masih terdapat belia belum mendaftarkan diri sebagai pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan nisbah 1:40.

Lantaran, PKPIM gusar dengan peratusan besar belia yang hanya menjadi golongan tunggu dan lihat atau “benificiaries” tanpa mempeduli apa yang berlaku dalam kancah sosial, politik, dan ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM memuji program kerohanian dan wacana ilmu seperti Tadarrus Belia, Kolokium Tokoh Belia, dan Konvensyen Belia Kebangsaan 2011 yang dianjurkan sempena Himpunan 1 Juta Belia sebagai medan untuk memperkasa pemikiran dan memperkuat elemen keagamaan dalam kalangan belia kita.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

PRESIDEN

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software