Tuesday, May 31, 2011

PKPIM MAHU AHLI PARLIMEN BELIA BAWAH 25 TAHUN



KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
            1 JUN 2011 / 28 JAMADLAKHIR 1432 H

PKPIM MAHU AHLI PARLIMEN BELIA BAWAH 25 TAHUN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rafiee yang tidak bersetuju dengan cadangan melantik Ahli Parlimen Belia di bawah umur 25 tahun dengan menyifatkan usia paling sesuai adalah 26 hingga 30 tahun.

PKPIM berpandangan usaha pihak kerajaan menubuhkan Parlimen Belia antara lain adalah untuk menggandingkan pandangan seluruh golongan belia yang menurut Akta Pembangunan Belia adalah golongan yang turut berusia 25 tahun ke bawah. Maka, untuk merealisasikan tujuan berkenaan ia sememangnya memerlukan cadangan dan partisipasi dari golongan yang lebih segar iaitu antara 22 hingga 25 tahun untuk digandingkan dengan mereka yang berada pada usia akhir belia.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan dengan kematangan dalam mengendalikan peranan besar sebagai pemimpin belia menerusi platform ini persoalan tersebut tidak boleh diukur dengan perbezaan tahap usia atau “seniority” kerana terdapat juga dalam kalangan mereka yang sudah memperoleh mandat kepimpinan yang besar dalam menangani permasalahan kelompok mereka. 

Sebagai contoh golongan mahasiswa ketika berusia bawah 25 tahun sudah diberi pendedahan memimpin meneraju tampuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan menerusi pilihan raya kampus termasuk beberapa NGO pelajar di peringkat kebangsaan.

Sementara itu negara kita juga pernah mencoret sejarah apabila berjaya menampilkan beberapa tokoh yang sudah menjadi ahli Parlimen Malaysia ketika berusia bawah 25 tahun. Contoh yang paling ketara adalah Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak yang memegang mandat sebagai ahli Parlimen Pekan ketika berusia 23 tahun dan seterusnya menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom, dan Pos ketika berusia 25 tahun. Ini termasuk Datul Lee Lam Thye yang telah dipilih menjadi ahli Parlimen Bukit Bintang ketika berusia 22 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Model Parlimen Belia di luar negara juga meletakkan kriteria usia yang terlalu muda bagi memberi peluang untuk menggilap kepimpinan belia. Ini dapat dilihat menerusi model Parliman Belia United Kingdom atau “UK Youth Parliament” (UKYP) yang meletakkan lingkungan usia anggota antara 11-18 tahun. 

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA
(PKPIM)

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software