Ayat 46 menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra unggul al-siddiq, peribadi berintegriti tinggi, watak terpadu, manusia serba benar: pemikiran, percakapan dan perbuatannya. Peribadi sedemikian adalah jelmaan makna integriti paling tepat dan sempurna, iaitu kesepaduan dan keutuhan watak, peribadi tauhidik yang integrated. Justeru, integriti pada hakikatnya lebih merujuk persoalan siapa kita (who we are), daripada persoalan apa yang harus kita lakukan (what we should do). Dari peribadi yang baik akan lahir perilaku dan tindak- tanduk yang baik. (Untuk versi rakaman Kuliah Tafsir Maudhuiy ini sila klik di sini).
Kekuatan integriti dalam pengertian tersebut adalah faktor kunci dalam pengurusan, khususnya untuk mendapatkan kepercayaan (trust) dari semua pihak. Tanpa kepercayaan tidak akan ada sokongan, dan tanpa sokongan tidak akan ada kejayaan. Tahap integriti adalah juga tahap kebolehpercayaan. Panggilan al-siddiq yang terangkai dengan namanya adalah indikasi jelas pengiktirafan masyarakat terhadap ketinggian tahap integritinya, yang tentunya telah teruji dan terbukti dalam rekod masa lalunya.
Kurnia ilmu (mentakbir mimpi) tidak digunakan untuk kepentingan diri, tetapi dimanfaatkan demi kepentingan umat. Kalau mahu, Nabi Yusuf `a.s. boleh menjadikan khidmat kepakarannya itu sebagai syarat pembebasan dirinya yang sudah bertahun-tahun merengkuk dalam penjara. Pada saat kehidupan rakyat terancam bahaya kemarau panjang yang bererti malapetaka kebuluran, yang difikirkan bukan kepentingan diri, tetapi survival umat. Tanpa menuntut sebarang imbalan, Nabi Yusuf `a.s. memberikan khidmatnya lebih daripada yang diminta, bukan sekadar memaknai mimpi sebagai petanda bencana yang akan berlaku, tetapi juga merumuskan sebuah pakej penyelamat ekonomi Mesir.
Pakej penyelamat tersebut mengandungi pemerincian tentang senario ekonomi negara dalam jangka masa 15 tahun, termasuk krisis (kemarau panjang) yang akan berlaku dan formula mengatasinya. Pakej sedemikian mencerminkan kualiti pemimpin-pengurus yang memiliki visi yang jelas (clear vision). Dengan wawasan dan daya renung yang futuristic seperti itu seorang pemimpin-pengurus dapat bersiap menghadapi segala kemungkinan dengan langkah dan sterategi proaktif-antisipatif. Memang, clear vision adalah keperluan asasi dalam pengurusan krisis (crisis management).
Dalam pakej penyelamat seperti yang dinyatakan dalam ayat 47, Nabi Yusuf `a.s. menyarankan kerja kuat bercucuk-tanam selama tujuh tahun. Kata da’aban dalam ayat tersebut yang diterjemahkan oleh A.Yusuf `Ali dengan kata diligently sow membawa makna penguatan etos kerja. Untuk menambah penghasilan budaya kerja kuat perlu dipertahan dan ditingkatkan. Strategi tujuh tahun pertama bukan sekadar menanam seperti biasa, tetapi memaksimumkan guna tenaga rakyat, di samping memaksimumkan pengusahaan tanah dengan objektif yang terfokus untuk memaksimumkan kadar penghasilan.
Pembangunan ekonomi tidak hanya bergantung kepada sumber asli, modal dan infrastruktur; tetapi tidak kurang pentingnya adalah nilai-nilai budaya, terutama budaya kerja kuat. Tanpa dukungan the right culture atau budaya yang tepat pembangunan ekonomi tidak akan mencapai prestasi yang tinggi. Idea besar yang mendasari perancangan ekonomi gaya Nabi Yusuf `a.s. ialah prinsip keseimbangan antara penghasilan, penggunaan (konsumsi) dan penabungan. Dasar pengurusan
ekonomi berhemat dan berimbang seperti itu memang menepati orientasi proaktif-antisipatif, juga selaras dengan semangat menolak pemborosan dan pembaziran. Selain itu dasar ekonomi Yusuf `a.s. juga memanfaatkan kaedah-kaedah saintifik sebagaimana yang diindikasikan lewat cara menyimpan hasil tuaian dengan mengekalkan biji-biji gandum di tangkainya. Cara tersebut menjadikannya tahan lebih lama, dan ini penting kerana simpanan itulah yang akan dimakan selama tujuh tahun kemarau panjang, di samping dijadikan benih untuk ditanam apabila kemarau berakhir dan tanah kembali subur. Memang dasar ekonomi tersebut terkesan amat menekankan kewaspadaan menghadapi bahaya (kebuluran), namun ia tetap memberikan harapan masa depan yang cerah.(Untuk Nota Kuliah penuh sila klik sini)
0 comments:
Post a Comment