Tuesday, May 6, 2008

[SIRI 1] 13 Mei : Permasalahan Melayu dan agenda penyelesaian yang baru.


Selepas beberapa peristiwa penting berlaku dalam lanskap politik dan sosial negara, seperti peristiwa 13 Mei 1969, pelbagai pendekatan di ambil oleh pihak pemerintah bagi memastikan sejarah hitam tersebut tidak berulang. Dasar demi dasar digubal bagi memuaskan hati semua pihak termasuklah Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) pada tahun 1990.

Dalam usaha untuk mencorak suatu agenda Melayu yang bersifat menyeluruh, punca-punca kejatuhan Melayu perlu kita selami secara bersama. Menurut Dato Dr Hassan Ahmad dalam kertas kerja beliau bertajuk Pembangunan Melayu Dan Realiti Perubahan Lanskap Politik Negara dalam suatu program yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Pendidikan Dan Pembangunan Melayu (IPPPM), terdapat empat faktor utama mengapa pembangunan Melayu tidak dapat bertahan.

Faktor pertama adalah kerana orang Melayu tidak pandai menggunakan kuasa politik yang ada sejak 1955 secara bijak dan tegas. Semenjak pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin, kita tidak lagi agresif untuk membangunkan bangsa Melayu dalam aspek ekonomi dan pendidikan. Di samping itu kegagalan kita untuk menerangkan bukan Melayu bahawa konsep DEB bukan bersifat merampas hak mereka tetapi berorientasikan perkongsian juga menyumbang kepada masalah berkenaan.

Kedua, pemimpin Melayu tidak lagi mempunyai semangat kebangsaan Melayu Islam yang kuat. Nilai wang dan rasuah lebih diutamakan dari kepentingan bangsa dan agama. Maka ramailah dikalangan mereka yang sanggup menggadaikan masa depan bangsa hanya kerana kepentingan peribadi. Di samping itu, kegagalan kita untuk memastikan DEB bermanfaat kepada seluruh orang Melayu juga menyumbang kepada masalah berkenaan. Melayu yang berkebolehan tidak diberi peluang untuk menyaingi “kroni” pihak atasan yang mendapat konsesi melalui tender tertutup atau tender runding harga.





Keikhlasan dan kepintaran Tun Abdul Razak tidak diwarisi anaknya...

Ketiga adalah kerana orang melayu tidak bersatu dalam behadapan dengan permasalahan bangsa dan kepentingan agama. Senario politik melayu lebih bersifat penentangan dan permusuhan sesama sendiri tetapi politik orang Cina bersifat saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa komponen utama penyatuan melayu adalah Islam. Dalam buku “The Early Islamic Conquest” yang dikarang oleh Fred McGraw Donner, Nabi Muhammad SAW atas nama Islam telah berjaya membentuk aturan hidup dan masyarakat arab yang baru, iaitu sebuah masyarakat agama dan politik atau “relegiopolitical” yang berakar umbi dan disatukan oleh wawasan atau pegangan agama.

Fred Donner - Pengarang Buku The Early Islamic Conquests

"BERSAMBUNG...."

1 comments:

Ahmad Shahir Abdul Aziz said...

Dalam hal ini, semua pemimpin Melayu harus bertanggungjawab dalam memastikan kebangkitan semula bangsa dalam era pembangunan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pendidikan

 
Photography Templates | Slideshow Software