Dalam keghairahan kita menaikkan kuota biasiswa sebanyak 35% sebagai hadiah kepada bukan bumiputera, isu-isu sampingan yang melibatkan sensitiviti penduduk peribumi dalam negara juga harus diambil kira. Sepertimana kita sedia maklum, biasiswa pendidikan ini adalah merupakan hak penuh pelajar melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, PKPIM juga menyokong pemberian hak kepada bukan Bumiputera jika terdapat di kalangan mereka yang layak menerima bantuan kewangan. Segala bentuk diskriminasi yang dilakukan ke atas mereka tidak wajar berlaku.
Justeru, bagi PKPIM, peningkatan kuota yang banyak untuk bukan bumiputera bukanlah merupakan jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengembangkan pembangunan pendidikan negara. Permasalahan akan terus berlarutan jika sistem kuota ini terus dilaksanakan. Ini kerana peratus kuota boleh meningkat dan menurun pada bila-bila masa.
Cuba bayangkan jika jumlah kaum bukan bumiputera yang layak diberikan biasiswa menjangkau 45 peratus? Adakah kuota ini akan dinaikkan lagi sehingga 50 peratus atau akan mencecah 60%, suatu peratusan yang melebihi kaum bumiputera? Dalam masa yang sama, jika tidak dinaikkan ke parutusan tersebut, ia tetap mencerminkan unsur-unsur diskriminasi.
Bagi tujuan pendidikan, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa bumiputera memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Bagi pelajar bukan Melayu pula suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi harus diberikan. Untuk tujuan tersebut, saya ingin mencadangkan agar suatu skim berupa amanah saham mahasiswa diwujudkan. Skim ini secara tidak langsung akan membantu melabur kewangan mahasiswa bagi menampung bebanan mahasiswa untuk membayar semula pinjaman.
Dalam pada itu, mungkin ada yang berpandangan bahawa pemberian biasiswa dan bantuan kewangan pendidikan tidak lagi boleh disalurkan memandangkan jumlah kuantiti mahasiswa yang begitu ramai berbanding zaman dahulu. Namun, jika kita lihat, hasil pendapatan ekonomi negara juga sebenarnya meningkat jauh lebih tinggi dari semasa ke semasa. Dengan peralihan dari dasar pertanian ke perindustrian dan perkhidmatan serta pertumbuhan syarikta-syarikat besar yang menggalakkan dalam negara, ia seharusnya dimanfaatkan kerajaan.
Kerajaan harus menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk membuat pelaburan pendidikan. Sebelum ini kita hanya melihat syarikat GLC seperti TNB, TM, dan Petronas sahaja yang bersungguh-sungguh memberi sumbangan dalam aspek pendidikan. Maka, sudah tiba masanya pelaburan tersebut dicontohi oleh syarikat-syarikat besar lain. Antara usaha yang dilihat amat berkesan dalam pembangunan pendidikan termasuklah penubuhan universiti syarikat, skim bantuan untuk anak-anak perkerja, biasiswa untuk bakal pekerja syarikat dan sebagainya.
Kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus keatas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan. Kita seharusnya mencontohi kejayaan pertubuhan pendidikan bangsa lain seperti Pertubuhan Jawatankuasa Kesatuan Sekolah-sekolah Cina (Dong Zong) yang dimana keseluruhan dana mereka ditampung oleh ahli korporat dan syarikat konglomerat dari kalangan mereka sendiri.
Friday, May 30, 2008
Kenaikan Kuota Biasiswa Bukan Penyelesaian
Posted by Faisal Aziz on 7:31 PM
0 comments:
Post a Comment