Secara sedar atau tidak, kerajaan hari ini ke arah untuk memperkenalkan Modul Ekonomi Baru (MEB) yang akan diumumkan menjelang 30 Mac ini bagi menggantikan beberapa dasar ekonomi sedia ada seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memastikan dasar fiskal negara terus relevan dan memenuhi tuntutan zaman.
Namun, seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, MEB ini akan dipamerkan kepada rakyat terlebih dahulu bagi mendapatkan input-input yang relevan oleh anggota masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan agensi kerajaan sebelum ia dilaksanakan dengan menggunapakai beberapa sistem fiskal baru. Lantaran itu, menurut beliau penggubalan MEB dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun ini.
Beberapa pendekatan baru yang akan diperkenalkan ini pada hakikatnya bertujuan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara yang kini berada pada tahap paling tinggi sejak 20 tahun kebelakangan ini. Tujuan ini dilihat amat bertepatan dengan ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengurangkan defisit negara sebaik saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu.
Mengambil contoh cukai barangan dan perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST), ia telah dirancang semenjak tahun 1989 lagi bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (STT) mulai 2011. Menerusi pelaksanaan GST ini, ia dijangka akan mendatangkan pendapatan sekitar RM8.8 bilion setiap tahun kepada negara.
Namun, pelaksanaan dasar percukaian baru ini dilihat amat dipengaruhi oleh situasi ketidakstabilan politik semasa. Rang undang-undang GST sendiri telah ditangguhkan bacaan kedua di Parlimen pada sesi Mac/April memandangkan terdapat suara dari pihak tertentu yang terus membantah pelaksanaan cukai ini. Sementara itu, menurut beberapa penganalis politik, berdasarkan perkembangan tersebut, besar kemungkinan GST tidak akan diperkenalkan sehingga ke tarikh pilihan raya umum ke tiga belas.
Dalam pada itu, fenomena ini juga boleh dilihat menerusi tindakan kerajaan yang telah menangguhkan pengumuman tarif elektrik baru dan menarik balik rancangan mereka untuk menghentikan atau mengurangkan subsidi petrol kepada rakyat secara umum.
Menurut Penasihat Kastam Dato Zaleha Hamzah, GST adalah cukai penggunaan atau “consumption tax” yang di mana kesannya akan dirasai oleh kita jika kita menggunakan sesuatu barangan. Secara mudah, GST ini tidak beza dengan sistem cukai bertingkat yang peringkat awalnya akan dikenakan kepada pengilang sesuatu produk, dan ia secara tidak langsung akan disalurkan oleh pengilang menerusi caj yang ditetapkan kepada pemborong. Kemudian, pemborong pula akan menyalurkan bebanan GST ini kepada peruncit dan jumlah GST yang terakhir akan disalurkan kepada harga pengguna.
Sementara itu, beberapa mekanisme GST sedang dikaji bagi memastikan sistem cukai yang akan dilaksanakan ini benar-benar adil. Menurut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Abd. Aziz Abu Bakar, 60% dari kategori barang keperluan yang diguna oleh mereka yang berpendapatan rendah seperti produk pertanian serta makanan asas akan dikecualikan dari sistem GST ini bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat. Namun, sebaliknya 20% barang yang dikategorikan sebagai barang mewah yang digunakan oleh golongan yang berpendapatan tinggi akan dikenakan cukai GST.
Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain pula berpendapat bahawa dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai. Maka, menurut beliau lagi, pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah.
Ini ekoran dari jumlah cukai yang dikenakan menerusi GST ini adalah jauh lebih rendah dibandingkan dengan cukai STT sedia ada. Ini dapat dilihat apabila kerajaan memutuskan untuk mengenakan jumlah 4% untuk cukai GST dibandingkan 5% untuk cukai jualan dan 10% untuk cukai perkhidmatan yang terangkum dalam STT.
Justeru itu, secara logiknya dengan pelaksanaan GST pengguna hanya perlu membayar cukai sebanyak empat peratus berbanding 10 peratus bagi cukai perkhidmatan dan jualan sebanyak lima peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, berhubung mekanisme yang dikenakan ke atas peruncit, kerajaan akan menggunakan sistem “trash hole” yang meletakkan had jumlah barangan tertentu yang melayakkan seseorang itu dikenakan GST. Ini bermaksud, jika seseorang peniaga menawarkan barangan tidak melebihi had tertentu dalam jangka masa tertentu, peniaga terbabit tidak akan dikenakan GST dan tidak wajar untuk cukai tersebut dikenakan oleh peruncit kepada pengguna lain.
Sementara itu, sistem GST ini juga telah dilaksanakan oleh 146 negara di seluruh dunia dan seluruh nagara ASEAN melainkan Brunei dan Myanmar. Maka, Malaysia berpeluang untuk menjadikan negara-negara berkenaan sebagai contoh dan modul bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan.
Namun, beberapa pertimbangan perlu diambil kira bagi memastikan mekanisme GST ini tidak tersasar dari matlamat asal serta tidak memberi kesan inflasi kepada negara. Maka, untuk itu, kerajaan seharusnya memberi pengecualian cukai-cukai tertentu seperti eksais dan sebagainya kepada syarikat kecil dan sederhana pada peringkat permulaan pelaksanaan GST ini. Ini bagi mengelakkan bebanan basar yang terpaksa ditanggung mereka ekoran faktor modal mereka yang masih belum bersedia dengan sistem cukai baru ini.
Dalam pada itu, satu mekanisme yang terbaik bagi memastikan ketelusan sistem cukai ini juga seharusnya diperkenalkan. Ini memandangkan bagi sesuatu sistem cukai, kos bagi mekanisme yang digunakan untuk mengelakkan pemalsuan dan penyalahgunaan pelaksanaan adalah terlalu tinggi. Justeru, ia akhirnya akan dilihat berlawanan dengan matlamat asal untuk mengurangkan defisit negara bilamana berlaku peningkatan kos lain yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Selain itu, usaha untuk menggubal satu akta undang-undang untuk menyekat pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga menerusi caj yang dikenakan kepada pembeli tidak seharusnya dipandang remeh. Justeru itu, kita menyambut baik jaminan kerajaan untuk membentangkan Akta Anti Mengaut Keuntungan Berlebihan pada bulan Mac ini sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada pertengahan 2011.
Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, akta itu penting bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti mengambil keuntungan berlebihan oleh para peniaga.
Berhubung dengan jumlah caj yang dikenakan, pihak kerajaan harus memastikan mekanisme pelaksanaan benar-benar membawa kebaikan kepada negara tanpa perlu meningkatkan jumlah caj GST dari semasa ke semasa. Ini memandangkan, meskipun GST ini telah dilaksanakan sejumlah negara tetapi tarif cukainya tetap meningkat dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, GST telah diperkenalkan kepada negara Singapura pada 1 April 1994 dengan kadar 3%. Namun, menjelang 1 Januari 2003, kadar tarif meningkat kepada 4% dan kemudiannya 5% pada 1 Januari 2004 dan yang terkini 7% semenjak 1 Julai 2007. Perkara yang sama juga berlaku kepada negara-negara lain termasuk New Zealand dari 10% pada i Oktober 1986 kepada 12.5% Jun 1989 dan 15% menjelang May ini.
Lantaran itu, kita seharusnya bersama-sama mengkaji dan meneliti dasar ini untuk memastikan kadar tarif 4% ini kekal dan tidak akan sama sekali meningkat dari semasa ke semasa. Sementara itu, beberapa mekanisme lain seperti bentuk pemberian insentif kerajaan juga harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan negara kita ini tidak diselubungi masalah inflasi.
Menurut teori pakar Ekonomi Islam Ibn Khaldun, apabila subsidi diberikan menerusi pengecualian atau pengurangan cukai, maka perbelanjaan rakyat akan meningkat. Maka, sumber pendapatan kerajaan juga akan turut meningkat secara tidak langsung tanpa bergantung kepada jumlah cukai yang dikutip kerajaan.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Monday, March 15, 2010
Meneliti Mekanisme Pelaksanaan GST
Posted by Faisal Aziz on 11:34 PM
0 comments:
Post a Comment