Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menghantar wakil untuk mewakili Malaysia ke ‘The 3 rd International Youth Gathering ‘yang berlangsung di Jakarta dan Bandung padai 17 hingga 24 Januari 2010 yang lalu.
Perhimpunan ini dianjurkan oleh The Union of Non-Govermental Organizations of Islamic World (UNIW-www.theunity.org) dengan kerjasama Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI), Nuansa Islam Universitas Indonesia (SALAM UI), Komuniti Kemanusian Indonesia(KKI ), Persatuan Umat Islam (PUI) dan Rumah Zakat Indonesia(RZ1). Ia merupakan perhimpunan kali pertama dianjurkan di Indonesia setelah perhimpunan pertama dan kedua yang telah diadakan di Istanbul, Turki.
UNIW merupakan persatuan NGO-NGO Islam sedunia yang ditubuhkan pada 2005 berpusat di Istanbul,Turki. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH), Future Global Network (FGN), Yayasan Takmir Pendidikan (YTP), Global Peace Mission(GPM) merupakan NGO Malaysia yang berdaftar dibawah gabungan UNIW ini. Dalam pada itu, untuk program ‘The 3 rd International Youth Gathering’ ini ,Malaysia telah menghantar seramai 14 orang wakil iaitu masing-masing dua orang bagi mewakili PKPIM, Abim, WADAH, FGN, YTP,GPM dan dua orang lagi bagi mewakili Haluan Siswa.
Sementara itu, seramai 155 peserta lelaki dan perempuan dari 22 buah negara seperti Turki, Indonesia, Malaysia, Albania, Macedonia, Burkina Faso, Maghribi, Sudan, Kuwait dan sebagainya telah menyertai perhimpunan pemuda antarabangsa ini. Dari kalangan negara anggota, Turki telah menghantar jumlah peserta paling ramai dan diikuti tuan rumah, Indonesia.
Antara pengisian program ini ialah ‘International Muslim Youth Conference On Education ‘dengan ucaptama oleh Siddiq Buckley, pakar pendidikan dari Australia bertajuk ‘Access to education for muslims:facts,figures and ideals’.
Turut diadakan pada program ini ialah pembentangan tentang isu-isu pendidikan oleh wakil negara masing-masing dan juga bengkel mengenalpasti masalah dan strategi memperkasakan pendidikan. Malaysia telah diwakili oleh Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam sesi perkongsian pandangan berhubung formula pemerkasaan umat Islam dunia dari perspektif negara masing-masing. Dalam sesi tersebut, wakil Malaysia tersebut sempat berkongsi pandangan beberapa idea besar yang dikemukakan beberapa tokoh dunia seperti Malik Bennabi, Ismail, Faruqi, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Samuel Huntington, John El-Esposito, dan sebagainya.
Dalam program ini juga para peserta berkesempatan untuk menziarahi beberapa orang tokoh di Indonesia seperti mantan Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Ir Tifatul Sembiring yang kini Menteri Komunikasi Indonesia, tokoh muda dari Parti Keadilan Sejahtera, Anis Matta dan beberapa Menteri Kabinet Indonesia lain. Para peserta juga berkesempatan untuk melawat Parlimen Indonesia, Taman Mini Indonesia Indah, Taman Tema Rekreasi Candi Bentar Ancol, dan sebagainya.
Dalam perkembangan berkaitan, program ini diakhiri dengan siri lawatan santai ke Bandung. Ketika di Bandung para peserta berpeluang bermain ‘Flying fox’,permainan ‘bola orang buta ‘ dimana peserta diminta menutup mata masing-masing sambil bermain bola sepak dan juga malam kebudayaan yang diisi oleh persembahan pencak silat Sunda yang menampilkan pesilat kanak-kanak,remaja,dan juga orang tua,persembahan muzik jawa,nasyid dan juga persembahan angklong.
Program antarabangsa ini secara tidak langsung mampu memperluaskan lagi rangkaian antarabangsa antara PKPIM dengan NGO-NGO di luar negara.
Friday, March 5, 2010
PKPIM wakili Malaysia ke ‘The 3 rd International Youth Gathering'
Posted by Faisal Aziz on 4:00 AM
0 comments:
Post a Comment