Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menerusi Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), yang merupakan salah satu Badan Gabungan Negeri PKPIM telah menganjurkan Program Menara Gading 2010 di Kompleks Mustika Embun, Jln Rahman Andak, Johor Bharu, Johor.
Program yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari 2010 iaitu bersamaan 27 hingga 29 Safar 1431H lalu bertujuan untuk mengumpulkan seramai mungkin pelajar dari negeri Johor yang bakal melanjutkan pelajaran ke universiti bagi membuka ruang dan peluang untuk mereka mendapat pendedahan sebagai persediaan menghadapi cabaran mendatang. Selain itu, program ini juga merupakan medium bagi ahli-ahli PKPIM yang merupakan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi untuk turun padang berbakti kepada generasi kemudian.
Dalam pada itu, program berkenaan telah disertai hampir 60 orang pelajar yang terdiri dari lepasan SPM, STPM dan STAM dari sekitar Johor Bharu. Program tersebut juga telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor, Prof. Madya Dr. Shahrum Shah bin Abdullah.
Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 3 hari program berkenaan adalah sesi ceramah, slot penerangan IPTA sebagai persediaan kepada para peserta, sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk menggarap kefahaman slot-slot yang diberi, Muhasabah Mahasiswa, “explore mix”, sidang pleno/parlimen bagi mengasah bakat berhujah dan sebagainya.
Majlis penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Negeri Johor Saudara Anuar bin Manap. Turut hadir dalam majlis penutup berkenaan adalah Naib Presiden MBM/Negeri Johor, Saudara Mohammad Khairullah bin Mohd Zainudin yang juga Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ).
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM berharap Program Menara Gading ini dapat mempersiapkan para peserta sebagai golongan pelajar yang bersedia dengan segala ilmu dan pengalaman serta pengetahuan sebelum mereka berada dalam persaingan intelektual di menara gading kelak. Di samping itu, PKPIM turut berharap dengan penerapan kefahaman dan kualiti mahasiswa yang diberikan ini berupaya menjadikan mereka mahasiswa yang fleksibel yang bukan sahaja belajar semata-mata, tetapi turut menyumbang tenaga, masa dan buah fikir kepada pembangunan segenap lapisan masyarakat.
Wednesday, March 3, 2010
PKPIM anjur Program Menara Gading Johor.
Posted by Faisal Aziz on 1:37 AM
1 comments:
salam..minta rujuk laporan sebenar pada abg hanif..ade sedikit kekhilafan..
KPIJ
Post a Comment