Tuesday, June 15, 2010

Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10)


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM) akan menganjurkan Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10) pada 25-27 Jun 2010 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

PMGK’10 ini bertujuan untuk melatih generasi mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Hasrat ini dilaksanakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang tinggi.

Dalam pada itu, ia juga dilaksanakan untuk membantu mendedahkan kepada para pelajar tentang kehidupan di kampus serta memupuk sahsiah yang tinggi dengan memiliki matlamat yang jelas dan mampu untuk membangunkan diri, keluarga dan negara berlandaskan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul.

Sementara itu, PMGK’10 yang bertemakan “Ke arah Keunggulan Keperibadian Mahasiswa” ini akan menghimpunkan lebih dari 150 peserta yang terdiri dari pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM 2009 yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS.

Bagi memastikan program ini berjaya mengubah paradigma para pelajar ke arah yang lebih positif seiring dengan arus pembangunan dan perkembangan intelektual pada hari ini, mereka akan disajikan dengan beberapa slot pengisian ceramah dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) oleh pelatih yang berpengalaman.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini boleh terus berhubung melalui pihak jawatankuasa program Sheril Aida Sulainan di talian 0132770351 atau 03-61842286.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM berharap penglibatan dari para pelajar akan dapat bersama-sama membantu mencapai objektif penganjuran Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2010 (PMGK’10) ini.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software