Thursday, July 12, 2007

DEB tidak harus disalah tafsir

Konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB)yang dilaksanakan kerajaan adalah suatu dasar yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Justeru ia memerlukan pemahaman yang lebih meluas yang merangkumi aspek Perlembagaan dan undang-undang negara, kedudukan ekonomi dan sosial semasa, dan termasuk aspek sejarah penubuhan negara sebelum kita mencapai kemerdekaan. Kenyataan yang dibuat oleh Duta dan Ketua Perwakilan Suruhanjaya Eropah ke Malaysia Thierry Rommel pada 21 Jun lalu yang mendakwa bahawa DEB tidak relevan kerana bersifat diskriminasi yang dilihat lebih banyak melindungi kaum Melayu dan bumiputra jelas menunjukkan kecetekan ilmu dan pemahaman beliau mengenai konsep sebenar dasar tersebut.

Dasar Ekonomi Baru yang telah dibentangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1970 adalah suatu dasar yang dilaksanakan menerusi kajian secara terperinci berlandaskan kepada beberapa perjanjian yang terdapat dalam usaha untuk membentuk suatu konsep yang dikenali sebagai ‘perkongsian kuasa’. Konsep perkongsian kuasa ini telah didirikan sekian lama atas semangat untuk memacu kejayaan negara secara kolektif tanpa mengira kaum. Antara perkara pokok perjanjian yang mempengaruhi kekuatan konsep ini adalah prinsip yang dikenali sebagai “kontrak sosial”, iaitu suatu perjanjian yang telah dicapai sebelum merdeka. Maka prinsip kontrak sosial yang telah dimeterai oleh tokoh-tokoh terdahulu yang menjadi landasan kepada teras kepada dasar-dasar pembangunan negara seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Jikalau kita menelusuri sejarah kontrak sosial ini, dua bentuk persetujuan telah dicapai antara bangsa Melayu dan kaum bukan Melayu. Pertama, kaum bukan Melayu hendaklah menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah pewaris Tanah Melayu, maka warisan Melayu seperti agama Islam, bahasa Melayu, tanah-tanah orang melayu dan hak-hak untuk memerintah negeri Melayu hendaklah dipelihara, dijamin dan dikekalkan selepas kemerdekaan dicapai.

Perjanjian yang kedua ialah orang Melayu bersetuju i) bahawa tiap-tiap penduduk Tanah Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum merdeka hendaklah diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu menerusi undang-undang secara automatik, ii) hak budaya kaum lain termasuk bahasa dan agama mereka dipelihara iaitu tidak dihapuskan, iii) orang melayu bersetuju berkongsi dengan kaum-kaum bukan Melayu dalam aspek pemerintahan.

Maka persetujuan ini telah diletakkan sebagai isi kandungan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Artikel 153 yang menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu termasuk peribumi Sabah dan Sarawak dalam bidang pendidikan (seperti biasiswa, kemudahan latihan dan kuota tempat di institusi pendidikan awam), perkhidmatan awam (kuota dalam pengisian jawatan), bidang ekonomi dan perniagaan (kuota dalam pemberian permit dan lesen) dan hak Melayu dalam tanah rizab.

Persoalannya adakah pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut menyedari akan kewujudan kontrak sosial ini? Dan sejauh manakah mereka sanggup untuk menerima dan menghormatinya?. Senario pada hari ini menunjukkan betapa masih ada lagi pihak-pihak yang tidak memahami ruang lingkup perkongsian kuasa dan prinsip perjanjian ini tetapi lantang memberi komentar yang tidak berasas. Seperti contoh, sehingga kini kita masih menghadapi pelbagai persoalan dan cabaran yang dilontarkan oleh pihak tertentu yang dilihat lebih bersifat provokatif untuk mengeruhkan perpaduan kaum. Maka dalam menjawab persoalan ini, pemahaman yang lebih mendalam berhubung konsep dan prinsip asas tadi harus dijelaskan kepada seluruh pihak.

Terdahulu negara tersentak dengan ancaman Suqiu terhadap “hak-hak keistimewaan” dan “ketuanan Melayu”menerusi satu memorandum yang mengandungi 83 isi tuntutan yang dikemukakan lebih dari 2,000 persatuan cina terhadap kerajaan. Menurut Datuk Dr Hasan Ahmad, tuntutan tersebut dianggap oleh kaum lain sebagai tuntutan untuk mengubah atau mencabar atau memusnahkan kontrak sosial. Sekiranya kontrak sosial mahu diubah oleh dasar atau tuntutan baru itu, maka orang Melayu berhak menuntut supaya dasar tersebut dibatalkan.

Pada hakikatnya, prinsip yang meliputi kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu tidak boleh disentuh, dicabar atau dijadikan bahan permainan termasuk dalam Parlimen. Menurut Akta Hasutan 1948, tindakan seperti membentangkan draf cadangan pindaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen dianggap sebagai “menghasut” dan bersalah di sisi undang-undang.

Selain itu, sejauh manakah kebenaran dakwaan yang mengatakan bahawa dasar-dasar nasional khususnya dalam bidang ekonomi bersifat diskriminasi kaum? Mereka yang membuat dakwaan tersebut tidak mengkaji dasar negara secara mendalam sebaliknya hanya menggunakan proses pelaksanaan dasar tersebut sebagai kayu pengukur. Sekiranya pelaksanaan dasar tersebut dilihat secara literal sememangnya kita akan melihat wujud kelebihan bantuan diberikan kepada orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak berbanding kaum lain.

Namun, hakikat yang menentukan sama ada sesuatu dasar itu diskriminasi atau tidak adalah kesan langsung dari pelaksanaan dasar itu, dan bukan penglihatan kepada pelaksanaan dasar itu secara literal semata-mata. Seperti contoh, ada pihak yang mendesak agar kuota pendidikan diberikan kepada mereka yang layak menerusi persaingan tanpa mengira kaum. Sedangkan secara realiti, kedudukan orang Melayu secara keseluruhan dalam bidang pendidikan masih dianggap lemah dan tidak mampu mengatasi kaum Cina. Sekiranya ia diterima, kesannya, bukan persamaan kaum yang akan wujud tetapi jurang diskriminasi perkauman sedia ada akan lebih tinggi, kerana orang Melayu akan ditinggalkan lebih jauh oleh kaum lain.

Maka samalah perumpamaannya jika ia diperhatikan dari sudut ekonomi. Kerajaan mahu atau tidak harus mengekalkan dasar-dasar yang dilihat lebih cenderong kearah untuk membantu orang Melayu seperti DEB. Ini kerana, menurut statistik yang dikeluarkan kerajaan dalam RMK-9 yang lalu, pegangan ekuiti orang Melayu dalam ekonomi masih berada di sekitar 18%. Dalam pada itu, statistik juga menunjukkan masih ramai orang Melayu berada di bawah garis kemiskinan negara iaitu yang pendapatan mereka berada di bawah RM500. Maka, sekiranya kerajaan melaksanakan dasar yang adil tanpa mengira kaum dari pandangan mata sahaja dengan tidak lagi memberi bantuan dan kelebihan kepada orang Melayu, maka kesannya akan wujud jurang diskriminasi kaum dalam bidang ekonomi yang lebih buruk kerana orang Melayu akan ketinggalan jauh ke belakang. Ini kerana dari aspek ekonomi, orang Melayu masih tidak dapat bersaing dengan kaum lain untuk memajukan ekonomi mereka.

Inilah yang dikatakan persamaan disisi undang-undang tetapi dari segi ekonomi dan sosial, diskriminasi tetap berlaku. Maka penilaian diskriminasi perlu dilihat dari aspek untuk melahirkan masyarakat yang adil dan seimbang dari semua sudut. Contohnya dalam aspek tarif cukai pendapatan juga menggunakan prinsip ini dengan mewajibkan bayaran mengikut jumlah kadar pendapatan. Mengapakah tarif cukai itu tidak dipungut dengan kadar yang sama kepada seluruh rakyat? Jawapannya adalah untuk melahirkan masyarakat yang benar-benar seimbang.

Semangat perpaduan kaum yang telah terjalin seharusnya dipertahankan oleh semua rakyat. Justeru seluruh pihak harus berperanan untuk masing-masing memahami hakikat kosep perkongsian kuasa dan kontrak sosial untuk memastikan dengan pemahaman yang mendalam di kalangan rakyat ini akan dapat menangkis dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan tali perpaduan. Ini juga dapat mempereratkan perpaduan yang telah terjalin serta mengekalkan kestabilan politik dan sosial tanah air.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software