Thursday, July 12, 2007

FTA : Antara Pro & Kontra

Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dibentuk menerusi jalinan kerjasama antara dua atau lebih negara yang bersetuju secara dasar untuk mengurangkan tarif atau tidak mengenakan sebarang tarif ke atas semua produk ataupun sejumlah produk yang diperdagangkan di antara negara-negara yang terlibat. Secara mudah, ianya ditafsirkan dengan istilah kebebasan dan tanpa dihalangi oleh sebarang sekatan dalam aspek perdagangan untuk memastikan hubungan perdagangan yang bersifat multilateral berjalan dengan licin.

Malaysia adalah antara negara yang aktif dalam usaha untuk membentuk hubungan kesepakatan seperti ini. Setakat ini Malaysia telah melaksanakan beberapa pendekatan untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam perdagangan dunia seperti menerusi proses perjanjian perdagangan bebas dua hala -FTA, menerusi blok dagangan serantau - Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), menerusi kerjasama ekonomi serantau Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan sebagainya.

Sementara itu, Malaysia juga yakin bahawa kerjasama ini akan membawa kepada pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA) yang dibentuk daripada satu jaringan beberapa FTA yang lebih kecil termasuk ASEAN-China FTA, ASEAN-Jepun FTA, ASEAN-Korea FTA, Jepun-China FTA, Jepun-Korea FTA dan China-Korea FTA. Tidak dapat dinafikan sekiranya blok perdagangan bebas dapat dibina menerusi Asia Timur, maka kita akan memperoleh manfaat yang cukup banyak menerusi jaringan yang besar ini. Atas dasar itulah Dr Mahathir pernah mencadangkan supaya ditubuhkan Persidangan Ekonomi Asia Timur (EAEC), namun ditolak AS kerana dilihat mampu menyaingi blok ekonomi negaranya.

Dalam rundingan yang dibuat, produk yang sering dibincangkan dengan negara terlibat ialah produk berasaskan telekomunikasi, minyak sawit, perubatan, kewangan hak paten, pertanian, kelengkapan elektrik, peralatan optik dan instrumen, perhutanan, penternakan haiwan dan perikanan, hartanah, borong dan peruncitan dan lain-lain.

Dalam scenario politik dan ekonomi antarabangsa pada masa kini, prinsip globalisasi sememangnya dijadikan landasan utama untuk mengejar kepentingan material yang terbentuk hasil daripada dasar kapitalisme. Secara mahu atau tidak, hakikat bahawa nama globalisasi atau kebebasan ekonomi adalah suatu alat yang dipergunakan oleh kuasa besar demi mencapai matlamat kapitalisme terpaksa diterima.

Justeru, dalam usaha untuk mewujudkan iklim perdagangan yang lebih sihat dan lancar, prinsip pembahagian keadilan kepada semua pihak harus dijadikan asas utama. Maka konsep yang dikenali sebagai situasi menang-menang seharusnya diletakkan sebagai matlamat utama oleh kedua-dua pihak.

Dunia pada hari ini sememangnya menghadapi kesukaran untuk mewujudkan suatu jalinan kerjasama perdagangan yang betul-betul kukuh dan bebas ekoran daripada sikap prejudis dan mementingkan negara masing-masing. Secara rambang, selagi kecenderungan ini masih menebal di kalangan negara terlibat, maka selagi itulah sukar untuk kita membentuk satu kawasan perdagangan yang bebas dan adil.

Pendekatan berhati-hati Malaysia dalam menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini dengan memilih negara-negara tertentu sebagai rakan dagangan bebas wajar diteruskan demi memelihara kepentingan negara. Sehingga kini, Malaysia sedang merancang untuk melaksanakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan beberapa negara seperti Pakistan , Jepun , Chile , dan Amerika Syarikat (AS). Dalam pada itu, menerusi ASEAN, Malaysia sedang berunding dengan Korea, Australia, New Zealand, China dan India berhubung dengan pelaksanaan FTA ini.

Dalam rundingan yang dibuat dengan negara terlibat berhubung perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini, kita perlu mengambil kira segala faktor dan akibat kerana implikasinya bukan sahaja dapat dilihat dari sudut ekonomi tetapi juga sosial dan politik. Seperti contoh, ianya melibatkan kepentingan golongan tertentu dalam sesebuah masyarakat seperti petani yang masih dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah.

Dalam isu beras contohnya, sekiranya tidak berlaku sekatan ke atas kemasukan beras maka akan berlaku lambakan beras dari AS dalam pasaran negara. Kita berasa lega dengan penjelasan yang di buat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato Seri Rafidah Aziz ketika menghadiri siding kemuncak ASEAN di Cebu, Filipina yang menegaskan bahawa beras dan tembakau tidak akan disenaraikan dalam mana-mana perjanjian FTA kerana komoditi itu adalah mata pencarian utama petani di negara ini.

Sekiranya beras disenaraikan dalam rundingan Perdagangan Bebas Amerika Syarikat (USFTA) maka beras yang diimport dari AS mencapai 25 peratus lebih murah daripada kos pengeluaran, maka industri pertanian beras dalam negara sudah tentu akan menghadapi risiko. Tambahan pula, pada ketika ini permasalahan seperti penyeludupan beras masih di tahap kritikal. Menurut statistik, lebih 120,000 hingga 200,000 tan beras berjaya diseludup ke negara ini setiap tahun.

Dalam pada itu, situasi pembeli beras pada hari ini lebih menggemari deras luar. Sebahagian besar penduduk di Malaysia hanya membeli beras dari Thailand kerana lebih bermutu tinggi dan harganya murah. Secara logiknya apa akan berlaku sekiranya beras dari AS di bawa masuk tanpa senarang sekatam? Jadi tidak hairanlah mengapa sebelum ini, pesawah yang mengusahakan tanaman padi gusar dengan desas-desus mengatakan beras dibincangkan dalam FTA.

Selain itu, Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Antarabangsa, Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa kementerian itu, Rubiah Abd. Rahman menegaskan cadangan perjanjian USFTA dengan Malaysia menetapkan lapan jenis padi di bawah Kod Tarif Kastam Malaysia dikategorikan sebagai produk di bawah Senarai Pengecualian. Ini bermakna produk-produk ini tidak akan ditawarkan untuk pengurangan atau penghapusan duti import di bawah USFTA

Kita menyambut baik kenyataan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan mengurangkan atau memansuhkan duti import produk beras dari AS. Sekiranya duti import beras AS dikurangkan atau dimansuhkan, nasib petani kita tidak akan dapat dibela lagi ekoran penggantungan mutlak terhadap bekalan beras dari AS.

Terdahulu, ketua perunding AS, Barbara Weisel pernah berkata bahawa beras AS tidak kompetitif dalam pasaran Malaysia kerana harganya terlalu tinggi. Namun sekiranya difikirkan tentang pendekatan teknologi yang digunakan AS yang lebih terkehadapan dalam menghasilkan padi yang lebih bermutu berbanding dengan padi kita dengan kos pengeluaran yang murah, adakah kenyataan beliau itu masih relevan untuk dipakai? Hakikatnya, petani dan peladang di AS diberikan subsidi yang tinggi secara langsung oleh kerajaan mereka. Mereka juga menggunakan teknologi dan kejuruteraan genetik, dan mendapat hasil yang jauh lebih bermutu dan berproduktiviti tinggi. Sementara itu, untuk memelihara keutuhan sektor ini, mereka diberi perlindungan istimewa dan tidak ada bahan pertanian asing dibenarkan untuk diimport oleh AS.

Cuba kita bayangkan kesan yang berlaku sekiranya berlaku penggantungan terhadap bekalan beras dari AS. Sejarah membuktukan dagaimana di Rusia akibat daripada kekurangan bekalan gandum, AS telah menawarkan bekalan makanan tersebut dengan bersyarat. Akhirnya berlakulah keterikatan dan Rusia tidak lagi mampu untuk berbuat apa-apa untuk menentang AS kerana kebergantungan mereka kepada bekalan gandum AS.

Dalam pembentukan FTA, sememangnya masa yang lama akan diambil untuk memeterai perjanjian disebabkan terlalu banyak yang perlu dikaji. Sebagai contoh hasil rundingan FTA di antara Malaysia dan AS akan hanya dimeterai pada 2010 sekiranya semua berjalan secara lancar.

Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa terdapat kebaikan yang dapat dikecapi menerusi FTA. Seperti contoh FTA yang berjaya akan memudahkan perdagangan dan pelaburan serta melancarkan aktiviti eksport negara terbabit. Contohnya, produk-produk Malaysia akan lebih mudah memasuki pasaran negara itu berbanding pesaingnya yang tidak mempunyai hubungan FTA dengan negara terbabit. Tetapi perkara sama juga berlaku terhadap produk barangan negara terbabit ke atas pasaran kita.

Dalam hubungan dagangan dua hala, AS adalah satu-satunya rakan dagangan terbesar Malaysia , tetapi Malaysia pula adalah rakan dagangan ke 10 terbesar AS. Maka pembahagian keuntungan itu diramalkan akan lebih cenderung kepada AS memandangkan AS adalah negara dagangan yang terbesar dan kukuh serta memiliki produk dagangan yang lebih berkualiti berbanding barangan keluaran negara.

Dengan perjanjian ini juga, rakyat akan diberikan pendedahan supaya mampu bersaing secara terbuka dalam FTA yang dibentuk. Rakyat sememangnya wajar melihat FTA sebagai satu cabaran besar untuk mereka menjadi pengusaha utama yang berjaya dalam sesuatu industri. Namun, rakyat khususnya petani harus diberikan tempoh masa untuk mereka menjadi warga tani berilmu dan mampu bersaing hingga ke peringkat global.

Namun, jaminan ketua perunding AS, Barbara Weisel bahawa AS akan bersifat mendesak liberalisasi keutamaan bumiputera dalam telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, penghantara ekspres, komputer dan pengedaran kuasa harus disambut baik. Katanya, isu-isu keutamaan bumiputera perlu diusahakan sebelum kedua-dua pihak boleh menghasilkan persetujuan yang komprehensif.

Dalam perkembangan lain, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi pusingan rundingan sebelum menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) mereka sepertimana yang dinyatakan oleh Penolong Wakil Perdagangan AS bagi Asia Pasifik, Barbara Weisel. Rundingan FTA itu baru menangguhkan pusingan keempat.


Pusingan keempat rundingan itu yang diadakan di San Francisco , California , pada 8-12 Januari lalu telah memasuki hari keempat. Mesyuarat berikutnya akan diadakan bulan depan di Malaysia. Dalam pada itu, rundingan tersebut perlu diselesaikan menjelang Mac 2007, 90 hari sebelum lembaga perundingan perdagangan Presiden AS, George W. Bush, tamat tempoh pada bulan Jun tahun ini.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa perjanjian ini ada pro dan kontranya dan sekiranya dicongak secara rambang, kontra itu lebih cenderung dalam memberi kesan kepada masa depan ekonomi perdagangan Malaysia . Maka kita seharusnya lebih bersikap berhati-hati san tidak terburu-buru dalam memastikan kepentingan ekonomi perdagangan negara tidak terjejas. Gagasan liberalisasi, globalisasi dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) akan memberi impak buruk yang cukup besar kepada negara sekiranya ia tidak diperhalusi dengan cermat dan bijaksana.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software