Thursday, July 12, 2007

Mahasiswa Perlu Jadi Ikon Masyarakat

Universiti adalah merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk melahirkan ramai tokoh masyarakat pada masa akan datang. Tidak ketinggalan, ia juga diibaratkan seperti kilang yang akan mencetak generasi baru yang bertamadun yang bakal mencorak masyarakat dan negara. Itulah objektif sebenar penubuhan sesebuah universiti bagi semua negara di seluruh dunia. Justeru, tahniah diucapkan kepada meraka yang telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading kerana merekalah yang akan menjadi generasi pelapis bagi menentukan hala tuju masyarakat dan negara.

Namun, persoalannya, sejauh manakah kemampuan mahasiswa itu sendiri untuk bersedia menjadi penyumbang utama kepada pembangunan agama, bangsa dan negara suatu masa nanti? Presiden Sukarno pernah berkata “kepimpinan itu tidak bisa lahir dari mahasiswanya yang hanya menjadi ulat buku dan terperap dalam dewan kuliah semata-mata, akan tetapi kepimpinan itu bisa lahir dari mahasiswanya yang turut terjun ke dalam kancah masyarakat”. Maka, jelas di sini bahawa mahasiswa kini perlu sedar akan amanah, tugas, serta tanggungjawab yang harus ditunaikan oleh mereka kepada masyarakat bagi melatih daya kepimpinan, membentuk sahsiah diri serta mencetuskan kepelbagaian idea dalam menangani pelbagai isu. Inilah salah satu daripada cita-cita dan idealisme perjuangan mahasiswa yang harus didokong.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Muhamad juga pernah menekankan bahawa mahasiswa perlu berfikiran kritikal dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa. Maka, berlandaskan kenyataan beliau ini, kita sebagai mahasiswa harus menyahut saranan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan iltizam sebagai bekalan sebelum menampilkan diri sebagai anggota masyarakat selepas tamat pengajian kelak. Maka, mentaliti golongan mahasiswa yang masih lagi kaku, lesu serta tiada hala tuju seharusnya diubah kerana ia akan memberikan gambaran yang salah tentang identiti mahasiswa yang sebenar. Mereka yang beranggapan bahawa zaman mahasiswa hanyalah zaman untuk mendapatkan segulung ijazah juga harus digantikan dengan kesedaran untuk bersama-sama membawa gagasan idealisme perjuangan mahasiswa yang besar ini demi kebaikan negara.

Jika difikirkan, bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mahasiswa sama ada dalam bentuk pinjaman atau biasiswa adalah datangnya dari usaha rakyat sendiri. Hasil dari segala bentuk bayaran yang ditunaikan sepertimana yang diwajibkan keatas mereka, seperti cukai pendapatan, cukai pintu, cukai perkhidmatan, dan sebagainya, kerajaan memperolehi sejumlah dana yang banyak. Maka, hasil daripada perolehan dana yang banyak ini, sejumlah bantuan kewangan mampu untuk disalurkan kepada mahasiswa. Lantaran itu, kita harus menghargai pengorbanan yang disumbangkan oleh masyarakat kepada kita dengan bersama-sama turun ke akar umbi untuk menyelami permasalahan yang mereka hadapi disamping mencari alternatif yang terbaik sebagai solusi.

Dalam pada itu, Prof. Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan “universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar”. Maka, daripada konotasi kata-kata beliau ini dapat menyedarkan kita bahawa universiti bukan lagi medan untuk kita memiliki sifat individualistik, pentingkan diri sendiri, serta hanya untuk kita suka berfoya-foya, sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai medan untuk kita menjadi juara dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa yang melanda masyarakat sama ada yang bersifat nasional mahupun antarabangsa. Ini secara tidak langsung akan dapat menonjolkan imej kita sebagai mahasiswa yang menjadi ikon kepada masyarakat.

Namun, sejauh manakah kesanggupan kita untuk bersama-sama turun membangunkan masyarakat yang sememangnya memerlukan kita? Dalam keadaan kita kini yang memperolehi ratusan ribu mahasiswa disamping penubuhan beberapa buah universiti yang semakin banyak, persoalan kualiti sebeginilah yang menjadi aset penting untuk dijadikan ukuran. Ini kerana walau sebanyak manapun jumlah mahasiswa yang kita miliki, tetapi masing-masing tidak menunjukkan kesungguhan untuk mendokong idealisme dan cita-cita mahasiswa ini dalam membantu membangunkan masyarakat dan negara, ia tetap dianggap sebagai suatu yang merugikan negara.

Lantaran itu, jika kita tidak melakukan perubahan, mahasiswa akan terus tenggelam dalam arus kini yang semakin mencabar. Kesannya, mahasiswa akan hilang keyakinan diri, malu untuk berhadapan dengan masyarakat, tidak lagi bangga untuk menampilkan diri sebagai seorang mahasiswa, takut untuk berhadapan dengan cabaran, serta masih tercari-cari matlamat hidup mereka yang sebenar.

Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman mereka menjadi mahasiswa, tetapi ia secara tidak langsung akan terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Maka tidak hairanlah mengapa ramai kelompok yang mengisi sektor pekerjaan pada hari ini masih belum bersedia dan tidak bersungguh-sungguh untuk berhadapan dengan tanggungjawab yang lebih besar, takut untuk menghadapi cabaran kerana khuatir akan risiko yang bakal dihadapi, mudah mengalami tekanan perasaan ekoran hilangnya motivasi diri, dan sebagainya. Pada hal mereka juga dahulunya pernah memiliki ikon tersebut semasa menjadi mahasiswa.

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara dalam jangka masa 10 atau 20 tahun akan datang sekiranya generasi mahasiswa kini masih di takuk lama dengan meneruskan tradisi kelesuan generasi-generasi mahasiswa sebelum ini? Maka mahasiswa harus mengambil kesempatan yang ada dengan menjadikan zaman keemasan ini sebagai medan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang bermanfaat.

Maka, kita tidak seharusnya berpeluk tubuh dengan menyerahkan tanggungjawab untuk membangunkan masyarakat dan negara kepada pihak kerajaan semata-mata. Sebaliknya, mahasiswa pada hari ini harus menjadi peneraju kepada pembangunan negara dengan menjuarai setiap isu yang merangkumi ruang lingkup masyarakat. Itulah yang diistilahkan sebagai "Mahasiswa Jurubicara Masyarakat". Sebagai ikon kepada masyarakat, kita perlu memberi sumbangan yang bermakna kepada mereka dengan bersama-sama membantu pihak yang bertanggungjawab agar hasrat negara untuk memacu pembangunan negara dan masyarakat secara seimbang berjaya dikecapi.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software