Pergelutan dan dilemma yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mampu disembunyikan lagi. Sebaliknya ia telah menjadi bahan perbualan yang hangat dipekatakan oleh sebilangan besar peminat bola sepak dalam negara. Ia juga telah dilihat oleh mereka sebagai petanda akan ketidakmampuan badan induk bola sepak negara itu untuk menyelesaikan masalah semasa yang sedang dihadapi. Persoalannya, adakah FAM sebagai badan induk bola sepak yang telah ditubuhkan sekian lama masih mencari-cari jawapan yang harus diberikan kepada Konfederasi bola Sepak Asia (AFC)?
Dilema tersebut muncul apabila FAM berdahadapan dua penganjuran bola sepak antarabangsa yang berlangsung dalam tarikh yang sama. Berdasarkan jadual, Juara liga Perdana Inggeris Manchaster United akan berkunjung ke Malaysia untuk penganjuran perlawanan persahabatan menentang skuad pilihan Malaysia pada 27 Julai nanti. Tetapi, dalam masa yang sama Malaysia bersama Thailand , Indonesia , dan Vietnam telah diamanahkan oleh AFC untuk menjadi tuan rumah dalam kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung dari 9 hingga 29 Julai.
Maka, Konfederasi bola sepak Asia (AFC) sebagai badan yang mewakili FIFA di Asia telah mengambil tindakan drastik dengan mendesak supaya satu perjanjian bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dimeterai untuk melindungi kejohanan Piala Asia. Dalam perjanjian tersebut, FAM perlu menjaga nama baik bola sepak Asia dengan menghormati kejohanan tersebut. Ini termasuklah tidak boleh melibatkan diri dalam mana-mana perlawanan atau membenarkan perlawanan lain berlangsung sepanjang tempoh kejohanan yang akan bermula nanti. Ini bermakna, sekiranya perlawanan itu dilangsungkan oleh badan lain atau kerajaan tanpa mendapat kebenaran FAM sekalipun dianggap melanggar peraturan.
Kita tidak boleh menyalahkan AFC atas tindakan drastik tersebut, kerana tindakan tersebut adalah sesuatu yang munasabah untuk menjaga kepentingan dan prestij kejohanan Piala tersebut.
Maka dalam permasalahan ini, FAM perlu membuat pilihan bijak dan terbaik serta mangambil kira kesan jangka panjang. FAM juga harus menilai antara dua pilihan, mana satu yang akan memberi kesan yang lebih buruk. Jika dilihat, kehadiran Manchaster United hanyalah tidak lebih dari untuk melakukan perlawanan persahabatan dan mendapat promosi untuk hanya jangka masa yang pendek.
Sebaliknya, kesan yang lebih buruk akan diterima jika FAM mahu meneruskan aksi persahabatan dengan kelab Inggeris itu. Antaranya, FAM boleh menanggung risiko digantung keanggotaannya oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengakibatkan seluruh kojohanan bola sepak dalam negara diishtihar tidak sah. Skuad Negara juga tidak akan dibenarkan untuk menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Sea, Piala Asia, dan Piala Dunia.
Justeru keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru sebaliknya, kajian yang meluas terutama dari aspek undang-undang dan peraturan FIFA harus diberi penekanan terlebih dahulu oleh FAM sebelum sebarang keputusan itu dibuat. Kita khuatir Malaysia akan senasib dengan negara yang digantung sekian lama oleh FIFA hanya kerana membuat keputusan yang salah seperti yang berlaku kepada Kenya.
Dari aspek pelancongan, kehadiran kelab Inggeris itu dilihat hanya mampu menarik pelancong dalam negara berbanding kejohanan Piala Asia yang mampu menarik pelancong dari Iran dan China . Maka, demi kepentingan bola sepak Malaysia untuk jangka masa panjang, FAM hanya mempunyai satu pilihan sama ada membatalkan terus perlawanan pesahabatan itu, atau menangguhkannya ke tarikh yang lebih sesuai. Lantaran itu, kita menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya program perlawanan persahabatan itu tidak diteruskan.
Tidak dapat dinafikan, untuk membuat keputusan itu, FAM terpaksa meminggirkan kehendak sebilangan besar rayat Malaysia yang mahu program tersebut diteruskan.Dalam undian SMS menerusi buletin utama TV 3 pada 13 Mei lalu, sebanyak 80% mahu program tersebut diteruskan. Dalam aspek ini, sebilangan besar penyokong kelab Inggeris itu harus berfikir dengan lebih rasional dan mengambil kira kepentingan masa depan bola sepak negara. Janganlah hanya kerana mahu perlawanan persahabatan tersebut diteruskan, masa depan bola sepak negara yang menjadi mangsa digantung.
Sebaliknya, kejayaan kita menjadi tuan rumah Piala Asia adalah satu-satunya peluang besar yang diperoleh kerana kita dapat keistimewaan untuk layak ke kejohanan tersebut secara automatik setelah sekian lama kita tidak menyertainya menerusi tiket perlawanan kelayakan.
Maka kita harus bersyukur dengan peluang yang terhidang dihadapan mata dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan tersebut. Jangan kerana mahu mendapat dua perkara, kesemuanya tercicir seperti kata pepatah "yang dikendong keciciran, yang dikejar tidak dapat". Jangan hanya kerana mahu melansungkan aksi persahabatan dengan kelab Inggeris itu, kita hilang kepercayaan dari AFC dan FIFA.
Thursday, July 12, 2007
MU & AFC : FAM perlu berhati-hati buat keputusan
Posted by Faisal Aziz on 11:12 AM
0 comments:
Post a Comment