Tuesday, September 16, 2008

PANEL AKUI AUKU MENGONGKONG KEBEBASAN MAHASISWA


Oleh Khairina Yasin - Berita Harian 11 September 2008

PANEL Program Dialog Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini sepakat mengakui akta itu adalah undang-undang 'drakonian' yang memenjarakan kebebasan mahasiswa.

Program dialog disertai panel kalangan ahli Parlimen dari tiga parti politik iaitu Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah (Umno); Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff Ahli (Parti Keadilan Rakyat), Salahuddin Ayub (Pas) dan wakil mahasiswa, Muhammad Faisal Abdul Aziz sependapat kewujudan undang-undang berkenaan melemahkan usaha membentuk barisan pelapis kepimpinan negara pada masa depan.

Pengarah program, Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, berkata penganjuran dialog itu bertujuan membuka mata ramai mahasiswa mengenai rang undang-undang itu.

Katanya, pada sesi dialog yang berlangsung selama tiga jam itu, rata-rata ahli panel memberi pelbagai pandangan dan ulasan masing-masing berkaitan AUKU.


“Keperluan undang-undang itu dipinda turut diperkatakan termasuk gesaan untuk memansuhkannya yang dilihat menyekat kebebasan mahasiswa terbabit secara langsung dalam proses pembangunan negara seperti ditegaskan Salahuddin.

“Yusmadi pula menekankan kepada aspek perundangan dan falsafah AUKU yang menyarankan agar mahasiswa kini tidak terikat dengan orientasi lama yang mana gerakan mahasiswa mengikut hirarki atau berpusat berbanding kini yang bersifat horizontal,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, tiga jenis orientasi gerakan mahasiswa iaitu aktiviti, bakti dan advokasi dijelaskan Saifuddin yang berpendapat advokasi sebagai ciri utama membezakan mahasiswa dengan pelajar sekolah tetapi dihalang AUKU.

Katanya, Saifuddin turut menjelaskan undang-undang mahasiswa itu sudah melalui banyak pindaan namun sesetengah bahagian yang tidak dipinda kini menjadi isu utama pelbagai pihak.

“Muhammad Faisal pula menegaskan mahasiswa memerlukan kebebasan dalam mendewasakan dan mematangkan diri bagi menghadapi cabaran dunia sebenar,” katanya.

Dialog isu kontroversi dipengerusikan Mohd Saifullah Zulkifli diselang seli dengan jenaka dan sindiran berbaur politik yang mengundang gelak tawa hampir 600 hadirin kalangan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Program dialog itu diadakan di Auditorium Utama, UIAM anjuran Badan Perwakilan Pelajar Mahallah As-Siddiq dengan kerjasama Kelab Intelektual Muda dan Sekretariat Akademik dan Penyelidikan, Persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software