Tuesday, June 30, 2009

“PERHALUSI CADANGAN BIASISWA NASIONAL”




Siaran Media:
“PERHALUSI CADANGAN BIASISWA NASIONAL”

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini. Biasiswa tersebut dicadangkan untuk diberi berdasarkan merit sepenuhnya. Ini bermakna biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar berkelayakan yang terbaik tanpa mengira kaum.

PKPIM berpandangan bahawa cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan baik dan teliti tanpa menidakkan sedikit pun hak kaum lain untuk memperolehi bantuan tajaan bagi menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. PKPIM ingin menarik perhatian semua kepada beberapa isu penting yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya sebelum bersetuju dengan cadangan mewujudkan Biasiswa Nasional.

Pertama; PKPIM melahirkan kegusaran terhadap masa depan para pelajar Bumiputra yang berada di luar bandar. Perbezaan ketara dapat dilihat di antara kedudukan para pelajar Bandar dan para pelajar luar Bandar dari sudut infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang tidak dinafikan, mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Dengan segala kekurangan dan kelemahan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang dihadapi oleh para pelajar luar bandar berbanding para pelajar di bandar, adilkah mereka bersaing untuk merebutkan tajaan biasiswa yang ditawarkan?

Kedua; PKPIM ingin memperingatkan tentang kewujudan Perkara 153 Kurungan (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perizapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya termasuk biasiswa untuk orang Melayu dan Bumiputra bagi mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak. Sekalipun, Biasiswa Nasional adalah dibezakan dengan biasiswa JPA sedia ada, namun perlu diingatkan bahawa biasiswa JPA sedia itu juga sudah diperkurangkan kuotanya untuk Bumiputra sehingga tinggal 55 peratus berbanding 90 peratus sebelum ini. Maka, apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan pendidikan para pelajar Bumiputra dapat dijamin?

Ketiga, PKPIM melahirkan kerisauan terhadap tindak tanduk kerajaan yang seolah-olah melatah dengan isu kesamarataan yang dibangkitkan oleh parti pembangkang. Dengan mengambil definasi keadilan sebagai memberikan hak kepada yang berhak, maka adalah perlu untuk kerajaan menilai pemberian biasiswa bukan hanya kepada yang berkelayakan dan terbaik semata-mata, tetapi turut mengambil kira mereka yang berkelayakan dan memerlukan. Bukanlah soal perbezaan kaum yang menjadi persoalan utama sekarang, tetapi soal siapa yang lebih memerlukan tanpa menidakkan keperluan kelayakan yang perlu ada padanya untuk mendapat biasiswa.

Justeru, PKPIM menyarankan kepada kerajaan untuk memberikan tumpuan penuh kepada usaha untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pendidikan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang rata-ratanya dipenuhi oleh mereka yang tidak berkemampuan terlebih dahulu. Jika segala permasalahan pendidikan di sekolah berkenaan telah diselesaikan, maka wajarlah pemberian sebarang keistimewaan dibuka kepada persaingan berasaskan merit.
Dalam perkembangan berkaitan, isu yang melibatkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan juga harus diberi perhatian. Sebaran polisi yang dicadangkan dan diputuskan perlaksanaannya harus menurut peruntukan yang diwartakan.

Oleh yang demikian, prinsip satu Malaysia itu perlu dilaksanakan dan direalisasi berlandaskan lunas undang-undang dan perlembagaan persekutuan. Maka, bagi tujuan pendidikan, kerajaan seharusnya menyalurkan biasiswa penuh kepada seluruh mahasiswa bumiputera memandangkan perkara tersebut adalah salah satu hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, tanpa menafikan masa depan pelajar bukan bumiputera, kerajaan turut digesa untuk menyalurkan suatu skim bantuan kewangan khas yang mencukupi kepada mereka yang layak. Untuk tujuan tersebut, kerajaan harus menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan. Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh mengenakan cukai beberapa peratus ke atas keuntungan syarikat besar khusus bagi tujuan pendidikan.

Maka, sudah tiba masanya bagi kerajaan memikirkan pendekatan yang terbaik yang mampu memuaskan hati semua pihak bagi menangani isu biasiswa ini bagi memastikan masyarakat yang seimbang dapat dilahirkan pada masa akan datang. Sementara itu, peruntukan keistimewaan yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seharusnya terus diambil kira dan dihormati oleh semua pihak terutamanya ketika memutuskan sesuatu dasar.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
NAIB PRESIDEN,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM Pusat,
Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur,

Tel: 03-61842286
Faks: 0361842285

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software