Isnin 15 Jun 2009 – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini dikunjungi oleh Exco International Islamic Federation of Students Organizations (IIFSO) Dr Ahmed Abdelatti di pejabat Islamic Outreach Abim (IOA), Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Kunjungan tersebut dibuat bertujuan untuk berkongsi beberapa agenda besar dan pelan jangka panjang IIFSO pada masa akan datang. Antara agenda besar yang diutarakan wakil berkenaan termasuklah Muktamar yang dijadualkan akan berlangsung pada Oktober depan di Jakarta.
Beliau yang sebelum ini telah melawat beberapa pertubuhan Islam di Malaysia mengakhiri siri lawatan beliau bersama PKPIM sebelum terus bergegas ke pusat World Assembly of Muslim Youth (WAMY) untuk menghadiri suatu mesyuarat.
Dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah memberikan penerangan ringkas mengenai PKPIM dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia kepada beliau. Penerangan tersebut disusuli dengan pembentangan oleh wakil berkenaan berhubung beberapa perkara seperti peranan dan perencanaan IIFSO pada masa mendatang serta harapan besar IIFSO kepada Malaysia.
Menurut beliau, IIFSO yang ditubuhkan pada tahun 1968 masih dalam proses untuk aktif semula setelah mengalami masalah dalaman yang menyebabkan pertubuhan pelajar dunia tersebut mengalami kemunduran pada tahun 1995-2005.
Menurut beliau lagi, PKPIM yang merupakan antara pertubuhan tertua yang menganggotai IIFSO perlu terus bergerak bersama-sama di bawah payung kesatuan Islam yang dinaungi IIFSO untuk memastikan matlamat untuk mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia dapat dikecapi. Mengambil contoh peranan yang dimainkan mantan pimpinan PKPIM di dalam IIFSO dahulu, peranan yang sama perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan dakwah dan hubungan akrab serta persefahaman yang sekian lama terjalin berkekalan.
Pertemuan tersebut turut disertai beberapa Exco PKPIM seperti M.K Muzammil, Mariati Roslan, Lina Mursyidah Hamzah dan beberapa aktivis lain seperti Muhammad Mu’izzuddin Mustaffar, Mohamad Fairul Mohd Nawawi, dan Naheed Azhari. Pertemuan diakhiri dengan penyerahan cenderamata PKPIM oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada wakil berkenaan.
Thursday, June 18, 2009
PKPIM dikunjungi oleh wakil IIFSO
Posted by Faisal Aziz on 12:09 AM
0 comments:
Post a Comment