Wednesday, June 24, 2009

Pemansuhan PPSMI: Kerajaan Perlu Tegas


SHAH ALAM, 24 Jun- Gerakan Pemansuhan PPSMI (GMP) menyambut baik janji Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan keputusan muktamad isu perlaksanaan polisi PPSMI pada awal Julai depan.

Setiausaha PPSMI (GMP), Hasni Abas mahu pemansuhan PPSMI dilakukan segera setelah mengambil kira pendapat dan nasihat seluruh rakyat Malaysia.

“ Kerajaan melaungkan slogan 1Malaysia sebagai teras kepada perpaduan dan kemajuan negara. Oleh yang demikian slogan tersebut mesti didokong dan dibuktikan melalui keputusan tersebut’’, katanya kepada TVAntara petang tadi.

Tambah Hasni, pihak GMP sedia bersemuka dengan kerajaan bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil sebagai usaha memantapkan modul pembelajaran dan pengajaran dalam Bahasa Melayu pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata beliau yakin kerajaan akan mengumumkan keputusan PPSMI pada tempoh masa yang mereka janjikan.

Namun begitu, beliau tidak dapat meneka akan keputusan yang bakal diambil kerana kerajaan tidak memberi sebarang gambaran awal keputusan mereka.

“ Kerajaan perlu bertegas dengan tuntutan pemansuhan ini supaya segala persiapan untuk kembali kepada kaedah pembelajaran dalam Bahasa Melayu dilaksanakan secepat mungkin” kata Suhaizan.

Menurutnya, beliau khuatir sekiranya kerajaan lewat memberi jawapan bakal memberi kesan negatif kepada para pelajar.

“ Desakan orang ramai agar PPSMI dimansuhkan kerana tidak mahu melihat lebih banyak keciciran dan jurang antara penduduk luar bandar dengan penduduk bandar”

“ Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang mudah difahami majoriti rakyat Malaysia maka sudah tentulah ia memberi kelebihan kepada penguasaan pelajar dalam Matematik dan Sains” tambah beliau lagi.

Suhaizan menambah, bantahan lebih hebat akan meledak di seluruh negara jika PPSMI tetap diteruskan dan kemungkinan besar satu perhimpunan membantah PPSMI seperti pada 7 Mac lalu akan berulang.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Faisal Abdul Aziz gembira dengan penjelasan Muhyiddin yang dilihat sebagai langkah proaktif lebih baik daripada menteri pelajaran sebelumnya.

Faisal juga mahukan keputusan perlaksanaan PPSMI nanti tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

“ Keputusan kerajaan nanti mesti mengutamakan kehendak rakyat dan bukannya dilakukan mengikut telunjuk pihak-pihak berkepentingan yang menunggu peluang mengaut keuntungan semata-mata” ujarnya lagi.

Menurut Faisal, dasar penggunaan Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah yang dipelopori mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melahirkan ramai tokoh terbilang dan tiada sebabnya ia dipinggirkan.

Sumber : www.tvantara.com

 
Photography Templates | Slideshow Software