Friday, June 12, 2009

PKPIM Bawa Suara Rakyat Palestin Ke Peringkat Antarabangsa


Muhammad Faisal Abdul Aziz sedang membentangkan kertas kerja

Simposium Antarabangsa Palestin anjuran Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) pada 30 – 31 Mei 2009 yang lalu telah menampilkan pelbagai tokoh Islam antarabangsa dari pelabagai negara sebagai usaha untuk mencari solusi jangka panjang terhadap krisis yang berlaku di rantau berkenaan. Apa yang menarik, Simposium berkenaan telah mengiktiraf ketokohan beberapa pemimpin NGO Islam di Malaysia apabila mereka dijemput oleh pihak penganjur untuk membentangkan kertas kerja.

Pemimpin Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) En Ahmad Azam Abdul Rahman antara wakil Malaysia yang dijemput untuk berkongsi idea bersama puluhan NGO Islam dari seluruh dunia. Beliau yang sebelum ini pernah membentangkan kertas kerja berkenaan isu "Islamphobia" pada tahun 2008 yang lalu, turut diberi penghormatan untuk memberikan ucaptama dalam simposium berkenaan. Selain Wadah, beliau turut aktif bersuara dalam isu yang melibatkan persoalan antarabangsa menerusi platform Future Global Network (FGN),

Di samping itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) juga telah menempa sejarah apabila menjadi satu-satunya pertubuhan mahasiswa yang dijemput untuk mewakili Malaysia untuk membentangkan kertas kerja berkenaan isu rakyat Palestin di pentas simposium antarabangsa berkenaan. En Muhammad Faisal Abdul Aziz yang merupakan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM adalah tokoh paling muda di kalangan semua pembentang yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja di pentas simposium berkenaan yang dianjurkan di Istanbul, Turki.



Sementara itu, PKPIM yang juga merupakan anggota gabungan Union of NGOs of Islamic World (UNIW), sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menganjurkan simposium tersebut turut diberi kuota untuk menghantar tiga orang perwakilan.

Mereka yang mewakili PKPIM dalam simposium berkenaan termasuklah Naib Presiden Antarabangsa, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Kebangsaan Hasnul Hanif Harun, dan AJK Sekretariat Massa Hafidz Hakimi Haron. Selain PKPIM pertubuhan lain yang hadir termasuklah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah penceradasan Umat Malaysia (Wadah), Global Peace Mission Malaysia, Yayasan Takmir Pendidikan, dan yayasan Islam Hadhari.

Simposium yang kali pertama dianjurkan pertubuhan dunia berkenaan turut menjemput seorang lagi wakil Malaysia yang lain iaitu En Kazi Mahmood dari World Future Online.

Simposium Antarabangsa berkenaan telah dibahagikan kepada empat sesi untuk hari pertama dan kedua. Sesi dimulakan dengan topik yang menjurus kepada perbincangan bagi tajuk “Isu Palestin Dalam Proses Sejarah”. Dalam sesi berkenaan, beberapa tokoh dari Turki dan Al-Quds seperti Prof. Dr. Ahmet Agırakca, Prof. Dr. M. Lutfullah Karaman, Abdulmecit Agbariye, dan sebagainya telah melontarkan pandangan masing-masing berkenaan dengan kajian sejarah penubuhahan negara haram Israel pada tahun 1948.

Sesi tersebut disusuli dengan topik “Struktur Politik Palestin & Pendekatan Terhadap Isu Palestin”. Topik tersebut telah dibentang dan dikupas dengan meluas oleh lima orang pembentang iaitu Dr. Ghulam Nabi Fai dari Amerika Syarikat (USA), Hassan Abu Nimah dan Marwan Shehadeh dari Jordan, Ali Oner dan Aytunc Altındal dari Turki.



Dalam sesi ini, pembentang rata-ratanya berkongsi tentang kegagalan beberapa siri proses damai antara Palestin dan Israel yang meliputi beberapa aspek termasuklah faktor dan pendekatan lapuk yang digunakan yang di mana menjadi penyumbang terbesar kepada kebuntuan tersebut.


Faisal dan Hanif berbincang sesuatu bersama perwakilan dari Turki




Dalam pada itu, sesi ketiga yang mengupas tentang isu “Palestin dan Status Perundangan” pula merupakan antara sesi perbincangan yang menarik untuk dikongsi. Pembentang pertama Dr Azzam Tamimi dari England telah mengupas pandangannya dalam sebuah kertas kerja yang bertajuk “Hamas: Dari penentang kepada kerajaan” menegaskan bahawa keengganan untuk mengiktiraf Hamas sebagai sebuah kerajaan yang sah dari sudut undang-undang merupakan antara faktor mengapa permasalahan Palestin berterusan.



Di samping itu, dalam kertas kerja “Pendudukan Palestin: Suatu Anachronism Perang Dingin” yang dibentangkan oleh wakil Malaysia Kazi Mahmood pula menyatakan kesan buruk yang ditimbulkan NATO sekiranya Israel diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah. Manakala, dalam siri perbahasan kertas kerja yang bertajuk “Satu Negara: Cadangan Kepada Pengakhiran Kebuntuan” pula, pembentang dari Amerika Syarikat, Ali Ebu Nimah dengan terang-terangan telah menyalahkan kerajaan Boneka Palestin Mahmud Abbas yang menjadi dalang terhadap kesengsaraan sistem demokrasi Palestin.



Hari pertama diakhiri dengan sesi perbincangan bagi tajuk “Media dan Palestin” yang dikupas oleh beberapa pembentang dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Mesir, Al-Quds, dan Turki. Berdasarkan perspektif para pembentang, mereka rata-ratanya menilai tulang belakang kepada liputan media antarabangsa terkemuka seperti CNN, BBC, dan Aljazeera telah dipengaruhi oleh kuasa barat sehingga condong untuk membawa liputan yang disifatkan tidak tepat dan berat sebelah.

Sesi bagi hari kedua pula dimulakan dengan perbincangan tentang “Penafian Hak Asasi Manusia oleh Israel dan Jenayah Perangnya”. Sesi tersebut mendapat perhatian umum apabila beberapa tokoh barat turut sama berkongsi kajian berkenaan isu tersebut yang sekian lama menyelubungi kehidupan rakyat Palestin. Antara tokoh yang dinyatakan termasuklah Gonzalo Boye dari Sepanyol dan Dr. Haytham Manna dari Perancis yang telah membuat kajian terperinci dan mendalam berhubung pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku ke atas umat Islam Palestin.

Sesi tersebut disusuli dengan perbincangan menyeluruh berkenaan dengan isu Pelarian Palestin. Pembentang dari Lubnan, Ali Hweydi dan Mahmoud Khaled Al Hanafi telah berkongsi dengan hadirin tentang kesengsaraan dan kesempitan hidup yang dilalui oleh pelarian Palestin yang berteduh di beberapa kem di Lubnan.

Manakala pembentang dari Syria, Tarek Hammoud pula turut berkongsi permasalahan yang sama terhadap pelarian yang berkeliaran di sekitar Syria. Mereka turut berkongsi beberapa perkara yang bersangkutan dengan kesan jangka panjang terhadap sosio hidup dan ekonomi kedua-dua negara berkenaan sekiranya pelarian Palestin berterusan menetap di kem-kem yang dinyatakan.

Dalam pada itu, pembentang dari Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz pula telah menerangkan tentang projek penempatan semula pelarian Palestin di bawah pelan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNHCR. Berdasarkan lawatan kerja beliau pada tahun 2008 ke tiga kem pelarian di Syria iaitu Al-Walid, El-Hol, dan Al-Tanf, terdapat keperluan yang mendesak bagi negara kaya untuk membantu pelarian yang hidup seperti “bergantung tidak bertali” kerana tidak dibenarkan berkerja dan mendapat pendidikan atas sebab status mereka sebagai pelarian.

Beliau menerusi PKPIM yang juga diamanahkan oleh agensi berkenaan sebagai pelobi negara-negara Islam bagi memastikan projek penempatan semula rakyat Palestin diterima oleh negara berkenaan telah mengesyorkan Negara Islam untuk mengambil tanggungjawab dengan menerima inisiatif berkenaan demi memastikan masa depan generasi muda Palestin terus cerah.

Dalam sesi ketiga, topik “Keberkesanan NGO dan bantuan Kemanusiaan” telah dibahas oleh beberapa tokoh pembentang dari pelbagai rantau. Prof. Dr. Jameela al Shanty telah mengupas kajian berkenaan “Kesan Pencerobohan Gaza Terhadap Hak Asasi Wanita”, manakala pembentang dari Malaysia Ahmad Azzam Abdulrahman telah berkongsi pandangan dengan hadirin menerusi kertas kerja “Krisis Palestin: Pemerkasaan Multipolarismdan peranan Masyarakat Sivil”.

Dalam pembentangan tersebut, beliau yang juga mantan Presidan ABIM telah menyarankan masyarakat Islam supaya melakukan reformasi di peringkat dalaman dan luaran sepertimana yang dilakukan Sultan Muhammad Al-Fateh untuk menawan kota Istanbul. Menurut beliau lagi, tanpa perubahan tersebut, kemenangan sama sekali tidak akan berpihak kepada Palestin. Sementara itu, beliau turut mengkritik sikap individualistik dan dokongan nasionalisme Arab yang menebal yang menjadi punca utama kepada kejatuhan Empayar Islam Uthmaniah pada tahun 1924.

Di samping itu, sesi yang membincangkan tentang solusi permasalahan Palestin telah mengakhiri Simposium berkenaan. Dalam sesi ini, empat tokoh akademik dari beberapa universiti diberi kesempatan untuk melontarkan pandangan. Mereka termasuklah Assoc. Dr. Berdal Aral dan Assoc. Dr. Ferhan Mucahet Chak dari Turki, Prof. Dr. Sameer Kantakji dari Norway, dan Prof. Dr. Muhammad Sharkawe dari Arab Saudi.

Simposium berkenaan diakhiri dengan ucapan penggulungan dan “Resolusi Pendirian Terakhir” yang dibaca oleh Timbalan Setiausaha Agung UNIW, Ali Kurt.

1 comments:

Fatimah bintun Qamar said...

Syabas!

Moga usaha ini akan membuahkan hasil.insyaAllah

Dr Azzam tamimy pun ad rupanya

 
Photography Templates | Slideshow Software