KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
13 Mei 2010/ 28 Jamadil Awwal 1431 H
PKPIM BANTAH PEMBERIAN LESEN JUDI PIALA DUNIA
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan yang telah memberikan lesen pertaruhan judi sempena Piala Dunia 2010 secara rasmi kepada Kumpulan BERJAYA.
PKPIM membantah sekeras-kerasnya pemberian lesen ini memandangkan ia amat bercanggah dengan nilai-nilai murni ketimuran dan akhlak Islam yang didokong oleh masyarakat Malaysia secara umum sekian lama.
Selain itu, PKPIM berpandangan pemberian lesen ini juga akan menggalakkan amalan judi yang tidak terkawal dalam kalangan rakyat Malaysia. Ibarat “mencurah minyak ke atas api yang membara” memberi lesen ini seolah-olah menggalakkan lagi gejala maksiat yang secara terang-terangan membawa kepada permasalahan sosial yang melampau seperti masalah keruntuhan institusi keluarga di mana pengabaian nafkah kepada anak-anak dan isteri akan berlaku dan ini akan menyebabkan keluarga tersebut hidup dalam keadaan kucar-kacir.
Dalam pada itu, pemberian lesen ini juga akan membawa kepada implikasi peminjaman wang secara haram seperti Along. Maka, ini sedikit sebanyak akan membantutkan usaha kerajaan yang selama ini yang ingin membanteras gejala Along di Malaysia.
Kerajaan juga sepatutunya menjaga sensitiviti masyarakat Islam di mana judi itu sendiri adalah haram di sisi syarak. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al Maidah ayat 90 yang bermaksud “ Wahai orang-orang Yang beriman, Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Di samping itu, tindakan kerajaan ini juga menunjukkan seolah-olah mereka mahu menghalalkan amalan perjudian di Malaysia sedangkan kebanyakan masyarakat bukan Islam di Malaysia juga tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi ini di mana ia lebih mendatangkan kesan negatif berbanding positif.
Justeru, PKPIM dengan ini menggesa dengan tegas agar pihak kerajaan menarik balik lesen pertaruhan yang telah diberikan kepada mana-mana pihak. Selain itu, kami juga menggesa semua pihak khususnya NGO Islam untuk turut menyatakan bantahan secara terbuka bagi memastikan pemberian lesen ini ditarik balik.
Dalam perkembangan berkaitan, kami akan menjalankan kempen benci judi di seluruh negara khususnya dalam kalangan generasi mahasiswa sebagai usaha untuk membentuk kumpulan pendesak bagi memaksa kerajaan menarik balik lesen yang telah diberikan.
Thursday, May 13, 2010
PKPIM BANTAH PEMBERIAN LESEN JUDI PIALA DUNIA
Posted by Faisal Aziz on 3:53 AM
0 comments:
Post a Comment