Monday, May 31, 2010

PKPIM KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA KEBEBASAN


KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
1 Jun 2010/ 18 Jamadil Akhir 1431 H
PKPIM KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA KEBEBASAN


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa yang membawa bekalan perubatan, makanan, bahan binaan dan lain-lain keperluan asas menuju Gaza.

Dalam perkembangan terbaru itu, PKPIM beranggapan serangan kejam yang mengakibatkan kematian seramai 15 orang adalah salah dan tiada justifikasi di bawah undang-undang antarabangsa. Menurut laporan antarabangsa juga, kapal-kapal itu hanya membawa 5,000 tan bahan-bahan pembinaan semula, peralatan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza dan ia sama sekali bukan merupakan satu ancaman yang di rancang ke atas rakyat Israel.

Sementara itu, PKPIM juga menyifatkan ia sebagai satu penerusan kepada bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama ini. Siri ketidakperikemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Islam Palestin ini bukan kali pertama dilakukan oleh regim zionis, tetapi sudah berlarutan semenjak puluhan tahun lagi yang tujuan akhir mereka adalah untuk melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai secara halus. Baca seterusnya...

Dalam pada itu, PKPIM juga mendesak seluruh dunia Islam khususnya dunia Arab termasuk kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra untuk bertegas dalam isu ini dengan mengisytiharkan kecaman secara terbuka ke atas serangan kejam yang dilakukan oleh Israel ini. PKPIM juga mendesak agar negara-negara yang bersimpati untuk mengkaji semula hubungan diplomatik dengan kerajaan Israel.

PKPIM juga menggesa pihak kerajaan agar bertindak dengan menyuarakan kekejaman ini secara lantang menerusi beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN, dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga menyeru seluruh dunia untuk mengecam dan membuat sesuatu sebagai bentuk tekanan terhadap Israel. Justeru, PKPIM menyeru agar seluruh rakyat Malaysia untuk turut menyertai siri-siri bantahan aman yang dilakukan oleh mana-mana pihak-pihak termasuk badan bukan kerajaan NGO sebagai tanda sokongan padu rakyat Malaysia terhadap usaha-usaha keamanan dan mengecam keganasan oleh Israel.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software